Saturday, June 18, 2005

Rekod `lintang-pukang' -- Punca PTPTN gagal dapatkan semula hutang berjuta ringgit

KUALA LUMPUR 17 Jun - Pengurusan rekod yang `lintang-pukang' antara punca Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilanda masalah mendapatkan balik hutang berjumlah lebih berjuta-juta ringgit daripada bekas peminjam.

Malah, disebabkan kepincangan ini, menyaksikan terdapat banyak kes bekas peminjam `terlepas' daripada membayar hutang kepada PTPTN.

Senario ini berlaku disebabkan rekod butir-butir pinjaman bekas peminjam tidak terdapat dalam simpanan PTPTN.

Kemelut baru yang melanda PTPTN ini didedahkan sendiri oleh bekas peminjam PTPTN kepada Utusan Malaysia hari ini.

Menurut mereka, masalah pengurusan maklumat yang kurang cekap bukan sahaja berlaku ketika proses pembayaran balik, tetapi juga semasa pelajar masih menuntut di universiti.

Beberapa kes yang diperoleh oleh wartawan Utusan Malaysia hasil daripada siasatan membuktikan masalah ini perlu ditangani segera.

KES 1: Seorang bekas pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) tidak pernah mendapat sebarang surat pemberitahuan mengenai status pinjamannya. Apabila beliau menyemak statusnya melalui laman web PTPTN, didapati namanya berstatus `tiada dalam rekod'.

KES 2: Seorang bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendakwa diminta membayar lebih daripada jumlah sebenar yang dipinjam. Masalah hanya dapat diselesaikan selepas beliau sendiri berulang-alik ke UiTM untuk membuat pengesahan mengenai status bayaran pinjamannya.

KES 3: Ekoran sistem pengurusan maklumat yang tidak tepat, seorang bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendapat pinjaman dua kali dalam satu semester berjumlah RM3,026 (tidak termasuk yuran) semasa tahun akhir pengajian pada tahun 2003.

KES 4: Seorang bekas pelajar kursus Sains Politik UIAM yang sudah tamat pengajian pada 2001, tetapi masih menerima wang pinjaman berjumlah kira-kira RM2,000 walaupun sudah menamatkan pengajian.

Sumber itu memberitahu, masalah berpunca berikutan pengurusan maklumat yang tidak efisien sehingga ada bekas peminjam mengalami kesukaran untuk membuat bayaran balik.

``Sewaktu tempoh matang untuk memungut balik pinjaman tahun lalu, rekod yang sedia ada tidak membantu untuk melancarkan proses pembayaran. Tidak terurus dan lintang-pukang,'' katanya.

Pendedahan bekas peminjam itu kepada Utusan Malaysia ekoran laporan muka depan akhbar ini hari ini.

Laporan itu mendedahkan mengenai masalah baru PTPTN iaitu - masalah `fail hilang' - sehingga mengakibatkan `operasi pemutihan data' dilancarkan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Razali Ismail yang menyedari masalah ini kemudian mengarahkan diwujudkan sistem kawalan maklumat berpusat.

Ia bertujuan bagi membolehkan pihaknya memantau dan mengemas kini maklumat peminjam dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd Salleh hari ini berkata, hanya salinan (transkrip) peperiksaan sahaja yang hilang dan bukan fail nama peminjam seperti yang dilaporkan media.

PTPTN menjadi percakapan umum apabila agensi itu terpaksa `berusaha keras' untuk mendapatkan balik hutang daripada bekas peminjam.

PTPTN sebelum ini mengumumkan bahawa setakat 31 Disember tahun lalu, hanya RM93 juta daripada RM7 bilion pinjaman, berjaya dikutip semula.

Sebanyak 189,000 pelajar yang membuat pinjaman daripada tabung itu telah menamatkan pengajian dan daripada jumlah itu hanya 33,000 orang pembayar aktif dan 20,000 orang lagi ditangguhkan kerana menyambung pelajaran ke peringkat sarjana.

Daripada jumlah tersebut, terdapat kira-kira 74 peratus lagi yang tidak memberi maklum balas dan membayar.

Satu sumber lain pula berkata:

``Kita perlu bersifat jujur dalam hal ini. Pelajar-pelajar hendak pinjam, PTPTN bagi.

Tetapi bila hendak bayar tiada rekod. Jadi macam mana hendak bayar hutang?''

Keadaan itu katanya, menimbulkan implikasi negatif kepada keupayaan perbadanan itu untuk memungut balik wang pinjaman sehingga peratusan bekas peminjam yang patut membayar balik tahun lalu hanya berada pada paras kurang daripada 30 peratus.

Malah, kepincangan ini juga katanya telah menimbulkan persepsi `ambil mudah' di kalangan bekas peminjam sehingga mewujudkan `sindrom liat membayar hutang' di kalangan bekas-bekas peminjamnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com