Saturday, June 18, 2005

“Jarum dan Kondom Percuma” - Satu Lagi Projek 'Gila' Kerajaan BN

KENYATAAN MEDIA (19 Jun 2005)

Image hosted by Photobucket.com

Kuala Lumpur, 19 Jun 2005 : Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal terhadap tindakan pihak Kerajaan BN dibawah pimpinan Pak Lah yang enggan mendengar pandangan rakyat terhadap isu pemberian jarum, dan kondom percuma bermula Oktober ini.

Adalah menjadi satu trend bagi Pak Lah pada hari ini untuk menuruti bulat – bulat saranan dari Menteri di Kementerian tertentu bagi menangani isu – isu besar dalam Negara tanpa membuat kajian yang terperinci dan perbahasan yang menyeluruh. Pak Lah gagal memainkan peranan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang mampu berdikari. Beliau hanya mampu menjadi ‘Pak Angguk ‘ kepada apa jua saranan yang diberikan oleh anak buahnya di Peringkat Kementerian dan Kabinet.

Pandangan dan idea yang tidak diperhalusi seperti isu pemberian jarum dan kondom percuma melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) benar – benar menyentap rasa kesal rakyat diatas ketidakefisienan pengurusan Pak Lah yang gelabah dalam menangi isu HIV/AIDS dalam Negara.

Keputusan muktamad telah dibuat tanpa meminta pandangan pihak – pihak lain terlebih dahulu. Melalui media tempatan Pak Lah dan Dr. Chua hanya memasarkan idea politik mereka untuk meminta pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan, tetapi hakikatnya keputusan telah dibuat. Kenyataan Pak Lah bahawa projek ini tetap dilaksanakan pada Oktober ini menutup ruang perbincangan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan khalayak sebenarnya. Tindakkan tidak ikhlas ini mengelirukan rakyat dan memberikan laluan yang amat mudah untuk Kerajaan BN melaksanakan Idea dangkal ini.

Berita Harian baru-baru ini melaporkan bahawa Dr Chua telah mengatakan

“kerajaan dijangka cuma membelanjakan RM145 juta setahun bagi memberi jarum suntikan dan kondom percuma kepada 130,000 penagih dadah, yang dipercayai mampu mencegah 90,000 kes baru jangkitan HIV. Perbelanjaan itu tiga kali ganda lebih murah berbanding kos membeli ubat untuk 90,000 penghidap HIV baru yang dianggarkan RM500 juta setahun.”

Alasan ini dilihat seperti satu pandangan yang logik dan bijak. Namun mengikut perincian yang dibuat, jumlah penagih dadah ini hanyalah 0.5% dari Jumlah keseluruhan rakyat Malaysia sehingga suku tahun kedua 2005 yang keseluruhannya kini berjumlah 26.13 juta orang.

DPPWP juga mendapati bahawa 85% dari jumlah penagih yang dilaporkan oleh KKM merupakan penagih yang bekerja dan mereka adalah kelompok 1% dari jumlah keseluruhan tenaga kerja aktif dalam Negara yang berjumlah 10.55 juta orang.

Keadaan ini seharusnya menjelaskan kita bahawa para penagih yang direkodkan ini kebanyakannya terdiri dari mereka yang bekerja dan mampu membeli dadah sendiri. Jadi saranan kerajaan membelanjakan RM 145 juta untuk memberikan jarum suntikan dan kondom percuma untuk mereka dilihat sebagai elaun untuk mereka meneruskan aktiviti yang tidak sihat.

Penagih ini tetap akan mencari sumber – sumber dadah ‘asli’ sebagai makanan utama dan Metadon percuma yang diberikan oleh kerajaan hanyalah ‘Vitamin’ untuk mereka yang hakikatnya juga adalah dadah.

Menurut Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dalam tulisan beliau dalam Majalah Kosmik Bil. 3 tahun 1995 yang bertajuk ‘KUMPULAN DADAH NARKOTIK ‘;

“Metadon ialah satu lagi narkotik tiruan. Selalunya ia digunakan untuk mengawal proses detoksifikasi ataupun ‘pembuangan’ narkotik lain daripada tubuh penagih. Ini kerana walaupun kesannya sama dengan narkotik lain, kesan tersebut tidak seteruk dan secepat jenis lain. Metadon juga boleh disalahgunakan dan menyebabkan maut. “

Jelas di sini bahawa Projek KKM ini, juga pastinya tidak dapat menyelesaikan isu penagihan baru dan berulang yang terus meningkat. Adakah kerana Kerajaan ingin menjimatkan budget, jalan pintas sebegini perlu dikuatkuasakan.

Walaupun di Iran, projek sebegini berjaya namun peningkatan penagih baru tetap berlaku. Di Amerika, projek ini telah gagal dan menyebabkan peningkatan mendadak penagih dadah baru.

Kerajaan melalui Jabatan Anti Narkotik PDRM seharusnya menyelesaikan isu pengedaran dadah dalam negara. Malaysia yang kini dijadikan Negara Transit kepada Industri Perdagangan Dadah Antarabangsa bagi Asia Tenggara seharusnya punyai agenda yang serius untuk membanteras sindiket dadah yang berleluasa dalam Negara.

Kerajaan gagal menangani perkembangan Industri Dadah dalam Negara, jadi mengapa perlu Kerajaan menaburkan baja bagi membiakkan benih penagihan ini. Isu penularan penyakit HIV hanyalah satu alasan untuk meluluskan agenda bodoh Kerajaan bagi mendorong penagih dadah yang menguasai 85% dari jumlah penghidap penyakit HIV yang dikesan hingga 2003 meneruskan aktiviti.

Kondom percuma yang bakal diedarkan pula bakal meningkatkan lagi pendapatan tahunan sindiket pelacuran dalam Negara kerana mereka tidak perlu lagi memasukkan pakej Kondom percuma dalam perniagaan yang mana telah diberikan subsidi oleh Kerajaan BN.

Menurut Pegawai Pencegah Maksiat, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Asisten Supritendan Choo Lily, sejak 1996 hingga Februari 2003, sebanyak 17,448 wanita rakyat asing telah ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti Pelacuran. DPPWP menjangkakan bahawa sindiket ini bakal meningkatkan kapasiti perkhidmatan mereka ekoran Skim Penggalakan Kerajaan BN melalui kondom percuma.

Pihak Kerajaan BN harus menerima hakikat bahawa mereka tidak boleh mengawal aktiviti Seks penghidap HIV dan pengedaran Kondom percuma itu nanti, pastinya tidak akan dapat memastikan bahawa orang yang diberikan Kondom itu akan mengunakannya ketika bersama dengan Isteri sahaja.

Penyalahgunaan kondom untuk tujuan melanggan pelacur atau melakukan aktiviti Seks bebas pastinya akan berlaku. Ini akan seterusnya akan menggalakan perkembangan Industri Maksiat dalam Negara.

Jadi, DPPWP bertanya kepada pihak Kerajaan BN, di manakah logik yang mereka ingin gunakan bagi menyelesaikan masalah dadah dan penghidap HIV dalam Negara? Dalam kesungguhan Kerajaan BN untuk mengurangkan kos membeli ubat untuk 90,000 penghidap HIV yang dianggarkan RM500 juta setahun ini Kerajaan BN sebenarnya telah merangka pelan jangka panjang untuk meningkatkan kewujudan kumpulan pengidap HIV generasi baru.

Kerana ingin menyelesaikan masalah 130, 000 orang penagih ini Kerajaan bakal mewujudkan 50% lagi penagih baru dan penghidap HIV setiap tahun melalui Skim Penggalakan Pemberian Jarum Suntikan percuma.

Percubaan yang tidak mendatangkan faedah ini, seharusnya tidak dilaksanakan kerana pada masa akan datang budget RM 145 juta oleh Kerajaan ini tetap akan meningkat ke angka RM 500 juta atau lebih ekoran Kerajaan sendiri tidak dapat mengawal kepesatan Industri Pengedaran Dadah dan Pelacuran dalam Negara secara serius. Jika tiada punca atau sumber pastilah gejala Dadah dan HIV tidak melanda Negara.

Oleh itu DPPWP berharap agar Kerajaan menghapuskan Punca penyebaran dadah dan HIV ini secara serius. Jika dilihat dari data penghidap penyakit HIV ini, kebanyakkan sumber utama mereka mendapat penyakit ini adalah dari perkongsian jarum suntikkan dan penjualan dadah dipasaran serta pelacuran yang dilakukan dibalik Kelab – Kelab Malam dan pusat maksiat lainnya.

Oleh itu, pihak Kerajaan harus telus untuk memantau dan mengurangkan kewujudan pusat Hiburan ini. Kerajaan bangga mengatakan bahawa projek pemberian Jarum dan Kondom di Iran berjaya mengatasi masalah HIV, namun hakikatnya Kerajaan tidak mengambil insiatif seperti Kerajaan Iran yang mengurangkan pusat – pusat maksiat yang menjadi sarang penetasan HIV ini sebenarnya.

DPPWP berharap agar Kerajaan mengambil kira pandangan rakyat dan NGOs dan tidak terus menguatkuasakan cadangan atas nama Skim Perintis atau Eksperimen. Eksperimen bernilai RM 145 juta ini amat berat bagi rakyat meluluskannya memandangkan keadaan ekonomi semasa tidak mengizinkan. Subsidi diesel yang bakal dihapuskan seharus tidak berlaku seandainya projek ‘gila’ KKM ini tidak dilakukan.

Kerana 130 000 orang penagih ini, Kerajaan bakal menyusahkan 26 juta rakyat Malaysia yang tidak bersalah. Rakyat bakal mengecapi kenaikkan harga barang dan Cukai yang tinggi bagi menyara 130 000 penagih dadah ini. Inilah Projek sebenar Kerajaan BN yang hakikatnya hanya tahu untuk menyusahkan rakyat.

Kini, tradisi membela rakyat telah hilang dari agenda Kerajaan, BN yang ada pada hari ini telah merosakkan kerajaan. Projek Jarum dan kondom ini pula bakal menjadi rebutan bagi Pemimpin BN menaikkan kroni masing – masing melalui tender penyediaan prasarana untuk projek ‘gila’ ini. DPPWP menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar berani untuk menegur kesilapan pengurusan Kerajaan BN dan bangkit membuat perubahan dalam Pilihanraya akan datang.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekut
uan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com