Saturday, June 18, 2005

Rafidah bawa isu landskap RM51 juta MPKK ke Kabinet

KUALA TERENGGANU 17 Jun - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, beliau akan membawa isu pembiayaan landskap yang terlalu besar di Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) kepada Kabinet.

Menurut Rafidah, beliau akan mengemukakan isu itu kepada Kabinet bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut sama ada ia adalah satu dasar atau sebaliknya.

``Satu lagi yang akan saya timbulkan ialah pelantikan perunding landskap bagi satu-satu kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT),'' katanya.

Menteri itu menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Temu Murni Wanita Bestari di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Dalam satu taklimat di MPKK semalam, Rafidah telah menyatakan rasa tidak puas hatinya kerana peruntukan landskap di bandar itu mencecah juta berbanding permohonan untuk golongan miskin yang hanya RM1.5 juta.

Turut ditegur oleh Rafidah pada pertemuan itu ialah cadangan pembinaan tandas awam bernilai RM200,000 oleh MPKK.

Taklimat itu diberikan oleh Setiausaha MPKK, Ahmat Zainuddin Md. Zaidi berhubung permohonan sebanyak RM51 juta bagi projek taman dan landskap di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Sehubungan itu, Rafidah tidak menolak kemungkinan trend pembiayaan landskap yang terlalu besar turut berlaku di tempat lain.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar berkata, justeru setiap wakil rakyat perlu prihatin dengan perkara itu kerana ia bukannya satu keutamaan jika hendak dibandingkan dengan bantuan untuk orang miskin, pembinaan sekolah atau aktiviti pembelaan Orang Asli.

``Di MPKK, perunding ini yang dilantik oleh Jabatan Landskap Negara untuk mendapatkan khidmat mereka dibayar RM300,000. Saya fikir perkara ini juga perlu dikemukakan kepada Kabinet,'' katanya.

Mengulas lanjut, Rafidah berkata, tidak salah mendapatkan peruntukan bagi menceriakan satu-satu kawasan tetapi perbelanjaannya perlu realistik dengan keadaan semasa.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com