Saturday, June 18, 2005

Campur tangan politik halang kemajuan universiti - Jomo

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Hrkh) - Institusi pengajian tinggi tempatan perlu bebas daripada campur tangan politik dan diberikan autonomi untuk bebas daripada kemelut yang melanda hari ini dan mencapai kedudukan universiti bertaraf dunia.

Bekas pensyarah Universiti Malaya, Dr Jomo Kwame Sundram menyatakan demikian dalam forum bertajuk 'Ke Arah Universiti Bertaraf Dunia' di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini, hari ini.

"Masalah yang dihadapi hari ini memerlukan penyelesaian politik, dan universiti juga perlu diberikan autonomi yang bermakna," katanya di forum anjuran Persatuan Sains Sosial Malaysia itu.

Jomo turut mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya bebas sebagai salah satu perkara yang boleh dilakukan untuk memulihkan kualiti universiti.

Menurut beliau, masalah yang semakin parah ini dapat dilihat melalui usaha berkempen untuk mendapatkan jawatan tinggi di universiti seperti naib canselor.


"Untuk dilantik ke jawatan tinggi di universiti, mereka yang ingin mendapatkan jawatan terbabit berkempen dengan biro pendidikan Pemuda Umno," jelasnya.

Menurut beliau lagi, keadaan campurtangan politik seperti ini menyebabkan mereka yang tidak mematuhi kehendak parti pemerintah mudah untuk hilang jawatan, manakala mereka yang patuh dapat mengekalkan jawatan.

Katanya, pada masa sama, prestij universiti juga merosot dengan teruk sehingga universiti dianggap sesetengah pihak sebagai hanya tempat mencari makan, dan sangat kurang mereka yang benar-benar berminat dengan dunia akademik berminat untuk bekerja di universiti.

"Kita tidak akan keluar dari kemelut ini tanpa keberanian politik untuk berubah."

"Perubahan yang dilaksanakan mestilah juga bersifat jangka panjang melibatkan soal pokok dan hala tuju pendidikan tinggi," tegasnya.

Jomo menjelaskan fenomena ini sebagai obsesi pemerintah untuk mengawal universiti selepas satu tindakan mahasiswa menghasilkan manifesto sebelum pilihan raya pada 1969 menyumbang kepada kekalahan besar parti Perikatan ketika itu.

Forum ini berlangsung berlatarkan kemelut yang melanda institusi pengajian tinggi tempatan yang mendapat perhatian media kebelakangan ini, terutama isu cuti tanpa gaji dua tahun Prof Madya Edmund Terence Gomez daripada Universiti Malaya dan dakwaan beliau bahawa berlaku penyelewengan melibatkan markah peperiksaan dilakukan oleh pensyarah di universiti terbabit. - HZ/mns

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com