Sunday, June 19, 2005

Isu tanah: Mustafa cabar Idris berdebat

Image hosted by Photobucket.com


KUALA TERENGGANU, 19 Jun (Hrkh) – Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali mengulangi cabaran untuk berdebat dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh mengenai isu tanah rakyat.

Beliau sedia berdebat dengan Idris yang juga pengerusi perhubungan Umno negeri mengenai polisi kerajaan PAS dan Barisan Nasional (BN) dalam isu tanah rakyat sekarang.
“Masalah tanah ini, saya sedia berdebat dengan Idris Jusoh, apa polisi kerajaan PAS dan apa polisi kerajaan BN, di mana-mana sahaja any where. Saya sendiri sanggup berdebat dengan Idris Jusoh, tidak ada wakil dan saya sendiri,” tegasnya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri, di sini hari ini.

Sidang media itu diadakan setelah selesai perhimpunan aman di hadapan Wisma Darul Iman sebagai membantah kezaliman kerajaan BN negeri meroboh masjid dan rumah peserta rancangan tanah berkelompok (RTB) serta merampas tanah rakyat.

Katanya, pihak Umno boleh menentukan masa, tarikh dan tempat yang dikehendaki bagi menjayakan debat tersebut.

Menurutnya, debat mengenai isu tanah rakyat perlu diadakan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap hak rakyat di negeri ini.

“Dia (Umno) boleh letak di mana-mana sahaja masa dan tarikh debat, polisi tanah di bawah PAS dan polisi tanah di bawah BN. Kita mahu hak rakyat dikembalikan,” ujarnya.

Image hosted by Photobucket.com


Sementara itu, ketika bercakap pada sidang media yang sama, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub pula mempersoalkan tindakan Idris selaku ketua kerajaan negeri kerana tidak berbincang dengan rakyat berhubung isu tanah itu.

“Kenapa isu ini, dia tidak boleh bincang dengan rakyat, kenapa dia tidak boleh selesaikan isu ini dengan cara rundingan dengan rakyat,” ujarnya.

Tambahnya, apa yang dikesalkan dan pemimpin PAS serta rakyat turun mengadakan perhimpunan aman itu kerana kerajaan negeri merobohkan rumah peserta RTB dan masjid.

Menurutnya, perbuatan itu merupakan suatu tindakan yang melampau dan zalim serta tidak berperikemanusiaan.

“Jadi apa yang berlaku hari ini saya harap menjadi satu isyarat yang jelas kepada Idris Jusoh supaya dia selesai perkara ini dengan baik, jangan jadi isu ini menjadi isu rakyat.

“Tetapi kalau apa yang berlaku hari ini dan diulangi lagi hari esok, saya tidak yakin rakyat akan boleh bersabar lagi, kita harap ini tidak berlaku dan gunalah ruang ketika kamu berkuasa pada hari ini untuk selesaikan semua isu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau juga mengingatkan Idris supaya tidak bercakap bohong dan membuat tuduhan melulu berhubung isu tanah rakyat.

Tegasnya, PAS sentiasa bersedia untuk berdebat dalam apa juga isu dengan Umno.

Sehubungan itu, beliau menyokong kenyataan Mustafa yang mencabar Idris untuk berdebat dalam isu tanah tersebut.

“Dan kalau dia (Idris) gentleman sediakan tempat untuk adakan debat mengenai isu tanah ini,” ujarnya. – kam/ayu

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com