Monday, June 20, 2005

Langkah hapus subsidi diesel dikaji - Najib

PETALING JAYA 19 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata kerajaan masih meneliti beberapa perkara utama yang memungkinkan subsidi diesel dihapuskan.

Namun begitu, Timbalan Perdana Menteri memberikan jaminan bahawa dalam menghentikan subsidi ke atas bahan bakar itu, kerajaan akan menentukan langkah tersebut tidak membebankan rakyat.

Katanya, perkara utama yang diteliti kerajaan ialah untuk menentukan langkah itu tidak membebankan rakyat dengan kenaikan harga minyak atau diesel, tambahan pula jika keadaan itu akan membawa kepada peningkatan kadar inflasi.

``Pada masa sekarang kita sedang mengkaji perkara ini dan kita akan membuat pertimbangan berasaskan kepada beberapa perkiraan,'' katanya

``Beri sedikit masa kerana kita hendak kaji dari beberapa aspek kerana kita tidak mahu rakyat merasakan beban yang terlalu berat,'' katanya kepada pemberita selepas menyertai pertandingan golf persahabatan antara anggota Parlimen dan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) di sini.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan kerajaan untuk menghapuskan subsidi diesel secara berperingkat dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat juga mesti sedar bahawa kenaikan harga minyak di pasaran dunia akan menyebabkan kemampuan kerajaan untuk terus melindungi rakyat dengan memberikan subsidi akan terbatas kerana kos subsidi akan terus meningkat.

``Jika kos subsidi terus meningkat dengan ketara, bererti wang pembangunan untuk rakyat terpaksa digunakan untuk subsidi. Kita juga tahu bahawa subsidi bukanlah satu cara yang efisien untuk mengagihkan kekayaan negara,'' katanya.

Najib berkata selain itu, kerajaan juga perlu mencari satu sistem untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima subsidi, mendapat kemudahan itu.

Beliau berkata kerajaan ingin memastikan tidak berlaku penyelewengan subsidi diesel termasuk perbuatan tidak bertanggungjawab oleh kumpulan-kumpulan penyangak diesel yang mengambil kesempatan menjual diesel subsidi kepada mereka yang tidak berhak menerimanya.

``Jadi kita sedang mengkaji berasaskan kepada perkiraan-perkiraan itu dan Jemaah Menteri akan membuat ketetapan bila sampai masanya. Di samping itu, kita juga nak mencari jalan supaya penyelewengan diesel ini tidak berterusan,'' katanya.

Kerajaan membelanjakan sekitar RM2.3 bilion dalam subsidi minyak bagi sektor pembuatan dan kenderaan pada 2004. - Bernama

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com