Monday, June 20, 2005

Penubuhan Putera Umno buka laluan PAS ke IPT

Oleh Mohd Sabri Said

KULIM, 20 Jun (Hrkh)- PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menjadikan penubuhan Putera Umno semalam sebagai pemangkin kepadanya untuk memasuki kampus kerana jelas Umno diperbolehkan memasuki kampus.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Dato' Ghazali berkata, penubuhan itu secara langsung membolehkan PAS dan PKR mencari pengaruh di institusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta bersama-sama dengan Puteri atau Putera Umno.
Pelancaran Putera Umno di Melaka semalam dipenuhi dengan pelajar sekolah, universiti dan lain-lain kolej termasuklah pelajar Pusat Asasi Sains Universiti Malaya yang dipaksa menyertai majlis itu.

Oleh itu, katanya, penubuhan Putera Umno di Padang Hang Tuah, Melaka semalam sedikit pun tidak menggugat pembangkang sebaliknya memberi ruang untuk bersama-sama bersaing mendapatkan sokongan di kalangan remaja.

"Kita tahu bila Pemuda Umno tubuh Putera ini menandakan satu gelombang untuk PAS dan pembangkang mengembangkan sayapnya ke menara gading yang selama ini tidak dibenarkan atas alasan jangan libatkan pelajar dengan politik dan biarkan mereka belajar, " ujarnya selepas menyampaikan ucapan di Forum anjuran Surau Al-Muhajirin, Taman Tengku Putra, Kulim semalam.

Bila mereka, menerusi Puteri dan Putera masuk ke IPTA, IPTS atau sekolah maka PAS dan PKR tentu boleh ke situ tanpa halangan.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Azmin Ali semasa ditemui selepas perjumpaan rakyat di Taman Putra, Kilang Lama, Kulim pula menegaskan, penubuhan sayap Pergerakan Pemuda Umno Malaysia itu tidak memberi apa-apa kesan terhadap pembangkang sebaliknya melahirkan daya saing yang sihat.

Asalkan, Putera dan Puteri Umno tidak menyalah guna kuasa kedudukan mereka di samping berani berhadapan dengan gelombang rakyat sebenar.

"Kelebihan mereka berbanding kita ialah 'wang' tanpa wang pergerakan mereka lumpuh. Tetapi PKR terus memperkasakan parti dan memperbanyakkan keahlian, " jelasnya.

Jesteru itu, kepada golongan muda jangan lepas peluang menghayati maksud kemerdekaan dalam kontek sebenar bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 6 Ogos ini di Kuala Lumpur.

Program tersebut akan menampilkan beberapa orang tokoh dari rantau Asia untuk membicarakan kemerdekaan sebenar.

"Marilah anak muda kita bersama menghayati erti kemerdekaan sebenar bersama Anwar Ibrahim kerana negara ini belum merdeka kerana banyak dijajah tanpa sedari, " terangnya.

Siapa pegang kemudi Putera Umno?

Sementara itu, ROSLAN SMS dalam blognya membangkitkan persoalan siapa sebenarnya yang memimpin Putera Umno ini.

Ikuti, tulisan Roslan mengenainya:

"Semalam Pak Lah selaku Presiden Umno telah hadir merasmikan pelancaran gilang-gemilang sayap baru Umno iaitu Putera Umno. Majlis berlangsung di Stadium Hang Tuah Melaka.

Acara yang dipenuhi dengan konsert dan hiburan itu bermula seawal jam 3.00 petang dengan konsert dan persembahan oleh barisan artis jemputan termasuklah Aznil Nawawi dan KRU. Menurut laporan stadium telah dibanjiri lebih 30,000 orang muda-mudi yang pastinya tertarik dan terpikat dengan program hiburan pada malam tersebut.

Menurut Ketua Pemuda Umno Hishamuddin Tun Hussien yang berucap dalam acara tersebut, penubuhan Putera Umno membuktikan komitmen Presiden UMNO yang ingin memastikan anak-anak bangsa Melayu bergerak cemerlang agar hasrat negara menjadi Malaysia maju pada 2020 tercapai.

Putera Umno ini membuka keahliannya kepada golongan remaja dan belia Melayu berusia antara 18 dan 25 tahun dan ianya diketuai oleh salah seorang EXCO Pemuda Umno iaitu Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang akan dikenali sebagai Pengerusi Biro Putera Umno.

Menurut sumber Pemuda Umno memperjudikan nasib para remaja apabila memberikan teraju kepada seorang yang diragui kebersihan serta kedudukannya dalam masyarakat.

Sumber itu berkata bagaimana seorang yang telah dituduh melakukan ugut dengan senjatapi di mahkamah (yang kesnya sedang berjalan di mahkamah) boleh diberikan amanah memimpin anak-anak remaja yang kononnya kelak akan menjadi galang-ganti pemimpin masa depan negara?

Malah menurut sumber itu lagi pemimpin ini mempunyai banyak lagi kes sivil yang sedang menanti di mahkamah berhubung perniagaan dan hutang. Dan anugerah Datuk yang beliau sandang juga turut dipertikaikan. Ini tidak termasuk akhlaknya yang suka berfoya-foya dan pernah terlibat dengan isteri orang.

Sejauh mana kebenaran makulmat ini masih dalam proses disahihkan namun menurut penyampai sumber, sesiapa yang mempertikaikannya bolehlah buat carian sendiri di mahkamah dan bertanya dengan sesiapa sahaja yang kenal rapat dengan pemimpin ini!

Kesimpulannya Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam pernah bersabda:

Jika suatu urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat (kehancuran) nya.(HR. Bukhari Muslim)-zs



0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com