Tuesday, June 21, 2005

4 askar kena 5 tahun sebabkan kematian rakan

KUALA LUMPUR: Empat anggota tentera dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana menyebabkan kematian rakan mereka di berek bujang, Kem Sungai Besi, akibat perselisihan faham berhubung kecurian telefon bimbit.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab, berkata tertuduh, Wan Mohd Shamsulshah Wan Hassan, 25; Hailmy Abdullah, 26; Ahmad Khairi Ghazali, 26, dan Mohd Yussainy Mohd Yulan, 27, yang menyebabkan kematian rakan mereka, prebet Hazri Hussin, tidak patut bertindak sebagai hakim walaupun kecurian itu benar-benar dilakukan mangsa.

“Perbuatan mereka menyebabkan kehilangan satu nyawa. Saya dapati kejadian itu bukannya berlaku secara tiba-tiba tanpa dirancang sebaliknya kepulangan mangsa ke berek bujang petang itu memang ditunggu oleh tertuduh dan orang lain yang terbabit dalam kejadian itu.

“Hukuman perlu menjadi pengajaran untuk orang ramai supaya tidak mengikut kehendak sendiri. Negara jadi kacau jika orang ramai bertindak sedemikian.

“Hukuman juga perlu memberi ingatan kepada semua supaya tidak mudah bertindak mencabut nyawa seseorang,” katanya.

Beliau bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu.

Sehubungan itu, semua tertuduh diarahkan diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin sehingga rayuan kes itu didengar, selain syarat tambahan supaya mereka melaporkan diri di balai polis berhampiran sebelum jam 10 pagi setiap Isnin.

Wan Mohd Shamsulshah, Hailmy, Ahmad Khairi dan Mohd Yussainy didapati bersalah menyebabkan kematian prebet Hazri Hussin, 27, di Berek Bujang 74, Workshop Divisyen, Kem Sungai Besi, Cheras, kira-kira jam 8 malam pada 21 Oktober lalu.

Hazri, yang berasal dari Mersing, Johor, yang mengalami pendarahan dalaman akibat serangan itu, meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada malam sama.

Terdahulu, dalam rayuan bagi meringankan hukuman, peguam Baljeet Singh Sidhu dan Dr Mohd Radzuan Ibrahim memohon supaya mahkamah mengambil kira anak guam mereka sudah lama berkhidmat dengan cemerlang sebagai askar.

“Kami mengakui satu nyawa hilang akibat perbuatan itu tetapi ia disebabkan keadaan dan tertuduh-tertuduh adalah mangsa keadaan itu, yang datang dengan tiba-tiba,” kata Mohd Radzuan.

Timbalan Pendakwa Raya Yusaimi Amer Abdul Karim berkata walaupun mereka tidak mempunyai rekod lampau, mahkamah perlu mengambil kira bahawa mangsa meninggal dunia akibat kejadian itu.

“Biar betapa berat pun hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah, mereka tetap akan kembali ke pangkuan keluarga mereka tetapi tidak bagi mangsa yang hilang buat selama-lamanya,” katanya.

Petikan: “Ini tidak harus dilakukan oleh tentera yang dilatih untuk melindungi negara. Mangsa dihukum tanpa diberi peluang membela diri atau belas kasihan, malah dipukul lama dan dibelasah dalam keadaan kejam walaupun tidak berdaya untuk bergerak.”- Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Zaki Abdul Wahab.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com