Tuesday, June 21, 2005

Jackson ke Malaysia akhir tahun

KOTA BHARU 20 Jun - Raja Pop, Michael Jackson yang menarik perhatian dunia kerana kes mahkamah dan misteri kehidupannya akan beraksi di Malaysia penghujung tahun ini.

Jackson yang baru dibebaskan atas tuduhan pencabulan terhadap kanak-kanak, akan mengadakan persembahan amal anjuran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC).

Persembahan yang dinamakan Come Together As One Charity bertujuan mengutip dana bagi membantu pesakit-pesakit AIDS dan rakyat miskin di negara ini dan beberapa negara lain.

Naib Pengerusi MAYC Kelantan, Zainal Abidin Fathodin berkata, penyanyi itu telah menyatakan persetujuan melalui Jermaine Jackson Production yang telah menghantar surat kepada pihaknya April lalu.

``MAYC Kelantan sudahpun menerima surat pengesahan persetujuan penyanyi itu datang ke negara ini bagi membuat persembahan amal terbabit,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, mengikut cadangan, persembahan amal itu akan diadakan di Stadium Bukit Jalil selama dua malam untuk mengisi dana MAYC Kelantan dan membantu mangsa AIDS dan rakyat miskin termasuk di Afrika.

Beliau berkata, beberapa syarikat korporat di negara ini telah menyatakan persetujuan untuk menjadi penaja utama bagi menjayakan persembahan yang akan melibatkan belanja besar itu.

Katanya, setakat ini harga tiket untuk menyaksikan persembahan itu belum ditentukan lagi.

Kes Jackson mendapat perhatian dunia apabila beliau didakwa mencabul kehormatan seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan seorang pesakit kanser berusia 13 tahun di kediamannya Neverland Ranch pada 2003.

Bagaimanapun, selepas perbicaraan selama 14 minggu, keputusan mahkamah memihak kepada Jackson dan membebaskan beliau daripada kesemua 10 tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Raja Pop tersebut dijangka meninggalkan AS selepas pihak berkuasa menyerahkan kembali pasportnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com