PAS Bantah Konsert 'Inul Live In Genting'
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong penuh bantahan yang diutarakan Oleh Dewan Pemuda PAS Pahang berhubung penganjuran Konsert Inul Darastita di Genting Highlands pada 25 Jun 2005 ini.
Sebelum ini, pada 1 Mei yang lalu beliau telah melakukan aksi 'Gelek Gerudi' (Lihat Gambar DiBawah) di Stadium Merdeka dengan kelulusan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Kali ini, tanpa terduga beliau berani untuk kembali lagi bagi melakukan aksi - aksi serupa yang mana ianya telah turut menerima bantahan dari masyarakat Indonesia melalui Majlis Ulama Indonesia (MUI).
DPPWP menyeru kepada umat Islam di Malaysia agar memboikot artis ini dan tidak menghadiri konsert ini. Pastikan tiada kalangan sahabat dan saudara mara anda membeli tiket untuk melihat persembahan beliau sebagai tanda protes. Perlu diingat bahawa konsert ini bakal berlangsung Di Genting Highland, antara pusat perjudian terbesar di Asia. Fikirkanlah bahana bala Allah yang mungkin terjadi dipuncak genting seandainya kita masih menyokong aktiviti maksiat sebegini.
Tidak salah jika ada artis luar, apa lagi artis muslim dari dalam negara yang ingin mengadakan konsert. Tetapi biarlah dalam keadaan yang menutup aurat, tidak menghairahkan dan melalaikan umat Islam dari mengingati Allah. Hormatilah saudara seagama dan seakidah. Bagi artis - artis bukan beragama Islam, DPPWP menasihatkan agar mereka dapat menjaga adab berpakaian dalam erti kesopanan yang sebenar selaras dengan budaya dan adab resam rakyat Malaysia yang bertatasusila.
____________________________________________________
(Berikut adalah salinan Kenyataan Media dari Dewan Pemuda PAS Pahang)
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang melahirkan rasa kesal dan kecewanya terhadap pentadbiran kerajaan negeri Pahang kerana meluluskan konsert Inul Daratista di Genting Highland pada 25 Jun 2005 akan datang.
Walaupun sudah terantuk beberapa kali namun kerajaan di bawah pimpinan YB Dato` Seri Adnan Yaakob masih belum mahu terngadah. Kesan dari pesta arak recharge@Zoukfest pada 5 march 2005 yang lepas masih belum terubat kini ditambah satu lagi dengan program lain pula.
Kehadiran Inul Darastita ke Genting Highlands pada 25 Jun 2005 ini memperjelaskan lagi tafsiran sebenar perkara 8 rukun Islam Hadhari tajaan UMNO iaitu “Keutuhan Budaya dan Moral” kepada kita. Dewan Pemuda
PAS Negeri Pahang melihat rukun ke 8 Islam hadhari ini, hanyalah tidak lebih dari slogan retorika yang tujuannya untuk mengaburi mata masyarakat Islam dan melayu. Hakikatnya Islam hadhari yang menjanjikan
program bertulis yang hebat nampaknya kini tak lebih daripada cotetan kosong di atas kertas, belum terbukti dipentas kenyataan ia benar-benar berfungsi. Budaya masyarakat Malaysia hari ini dicarca-marbakan dan
berkiblatkan budaya hedonism tajaan barat yang meruntuhkan moral dan jati diri masyarakat.
Inul Darastita atau nama sebenarnya Ainul Rokhimah 25 tahun, telah dilabelkan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) sebagai penari lucah pada ogos 2002 kerana tarian gelek gerudinya. Malah dalam persembahannya di Stadium Merdeka baru-baru ini, unsur-unsur lucah tidak dapat dipisahkan dari tariannya yang merupakan trademark bagi Inul sendiri. Persoalannya apakah yang diinginkan dari artis ini? Adakah hiburan di Malaysia ini telah hilang nilai dan panduannya sehingga membenarkan segala bentuk hiburan asalkan mendapat sambutan dari orang ramai? Apakah Islam Hadhari tidak menyediakan garis panduan hiburan kepada penganjur? Dimana hadharinya bila wanita bergelek lucah di atas pentas. Apakah dengan membanyakkan konsert seperti ini masyarakat kita boleh membangun dan menjadi kuat dan berwibawa? Inikah Hadhari yang hendak dibangunkan?
Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang membantah dan mendesak supaya persembahan Inul pada 25 Jun 2005 ini dibatalkan. Artis yang penuh kontroversi ini tidak selayaknya diberikan ruang untuk mengadakan
persembahan lucahnya kepada rakyat Malaysia. Dewan Pemuda PAS Pahang juga menuntut kerajaan supaya menyediakan garis panduan yang jelas berkaitan dengan bentuk hiburan yang dibenarkan selari dengan ajaran
Islam. Ianya mestilah satu garis panduan umum yang mencakupi semua bentuk hiburan bagi membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara
(PUSPAL) dan pihak penganjur (event management) merangka serta menyusun program dan artis yang memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan.
Perlu ditegaskan di sini, Dewan Pemuda PAS negeri Pahang tidak menghalang hiburan, bahkan merasakan hiburan ini adalah satu keperluan manusia masa kini. Namun yang dipertikaikan disini ialah bentuk hiburan
yang melampau dan merosakkan minda dan jiwa rakyat, hiburan yang melalaikan dan membawa anasir-anasir negatif seperti dadah, arak, pergaulan bebas dan lupa diri kepada pemuda-pemudi di Malaysia. Reality hari ini, hiburan telah lari dari tujuan untuk merehatkan minda dan santai kepada tujuan bisness dan keuntungan. Maka kita saksikan para-para pengusaha pusat hiburan dan pertunjukan pentas berlumba-lumba membawa artis popular tanpa mengira latar belakang artis tersebut
dan kesan persembahannya kepada penonton dan masyarakat. Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang sangat kesal terhadap hal ini.
Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang pada hari ini (21 Jun 2005) menghantar satu memorandum kepada pihak berwajib menyatakan bantahan, pandangan dan cadangan untuk perhatian dan tindakan. Memorandum ini akan diserahkan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Majlis Daerah Bentong dan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang untuk makluman dan tindakan wajar. Sekian
Yang menjalankan amanah
Suhaimi b. Md Saad
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pahang
0 Comments:
Post a Comment
<< Home