Tuesday, June 21, 2005

Lima jawatankuasa kecil ditubuh

Laporan Ridzuan Yop

KUALA LUMPUR: Lima jawatankuasa kecil akan diwujudkan bagi mengkaji secara mendalam dan meneliti 125 cadangan laporan Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar, berkata jawatankuasa kecil itu membabitkan Pengurusan Sumber Manusia yang akan dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam; Logistik dan Kewangan serta Premis dan Bangunan dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Jawatankuasa Etika Kerja dan Pemodenan Pengurusan dipengerusikan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Peguam Negara mempengerusikan Undang-Undang dan Peraturan.

"Jawatankuasa itu akan memperakukan hasil penelitian dan kajian berkenaan kepada Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang meminta penjelasan status pelaksanaan 125 cadangan laporan suruhanjaya itu bagi memperkasakan operasi dan pengurusan PDRM.

Laporan suruhanjaya itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 29 April lalu dan kerajaan kemudiannya bersetuju menjadikan laporan itu sebagai dokumen awam pada 16 Mei lalu.

Noh berkata, komitmen kerajaan dalam usaha penambahbaikan PDRM adalah jelas dan Perdana Menteri sendiri amat mengambil berat mengenai cadangan pelaksanaan penambahbaikan yang dikemukakan suruhanjaya itu.

"Malah, ia terbukti dengan keputusan Abdullah meluluskan peruntukan kewangan sebanyak RM2.5 bilion bagi melaksanakan projek pembangunan PDRM yang baru membabitkan pembinaan pejabat, balai polis dan 25,000 unit rumah pegawai dan anggota di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, laporan suruhanjaya itu diterima baik oleh semua lapisan masyarakat dan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan cadangan itu berdasarkan kepada keutamaan, kesesuaian dan mengikut kemampuan.

Noh berkata, jawatankuasa kerja yang dipengerusikan Perdana Menteri turut dianggotai Menteri Kerja Raya, Menteri Kewangan Kedua, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

"Tujuan utama penubuhan jawatankuasa kerja itu ialah merealisasikan hasrat kerajaan melaksanakan cadangan penambahbaikan itu dalam usaha menjadikan PDRM satu agensi penguatkuasaan yang berwibawa dan cemerlang," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com