Tuesday, June 21, 2005

Penswastaan kesihatan usah beban pesakit

WASHINGTON: Langkah Malaysia menswastakan sistem rawatan kesihatannya perlu dibuat selepas menimbang kebajikan pengguna yang mungkin menjadi mangsa syarikat insurans yang tidak bertanggungjawab, jika ia tidak dikawal.

Penyelidik dari Universiti Malaya, Dr Nik Rosnah Wan Abdullah yang berada di sini untuk membandingkan sistem rawatan kesihatan Malaysia dengan Amerika Syarikat berkata sistem yang digunakan di negara itu tidak boleh diguna pakai di Malaysia.

“Ketika syarikat insurans kesihatan swasta dikawal dengan rapi di peringkat persekutuan mahupun negeri di Amerika Syarikat, insurans kesihatan masih mahal dan tidak mampu dilanggan kira-kira 45 juta daripada rakyat Amerika sendiri,” katanya.

Dr Nik Rosnah adalah felo kanan antarabangsa Institute of Policy Studies, Johns Hopkins University di Baltimore, Maryland di bawah program Fulbright. Di Malaysia, rawatan kesihatan kepada kira-kira 900,000 kakitangan awam dibiayai kerajaan.

Bagaimanapun, masalah pesakit yang terlalu ramai di hospital awam, tempoh menunggu yang lama serta kekurangan doktor menyebabkan ramai pengguna dari kelas pertengahan dan kaya melengkapkan rawatan kesihatan mereka dengan insurans.

“Saya terpaksa menunggu setahun untuk mendapatkan perkhidmatan ujian mamogram, jadi saya bayar RM400 kepada sebuah hospital swasta bagi mendapatkan perkhidmatan itu pada hari yang sama. Malangnya ia tidak dikembalikan (oleh syarikat insurans).

“Masalahnya ialah kebanyakan syarikat insurans kesihatan swasta ini tidak dikawal, menyebabkan timbul banyak aduan pengguna,” kata Dr Nik Rosnah di sini, semalam. – Bernama

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, sebelum ini memberitahu 20 peratus daripada aduan berhubung industri insurans membabitkan insurans kesihatan.

“Banyak syarikat insurans yang menipu di Malaysia. Kita ada dengar mengenai tuntutan tidak dijelaskan, banyak keadaan tidak dilindungi dan maklumat yang diberikan mereka tidak telus,” katanya.

Sementara itu, bagi golongan miskin yang bekerja dalam sektor tidak formal seperti petani dan peniaga kecil, mereka akan dibiarkan mengatasi sendiri masalah mereka jika ada anggota keluarga yang jatuh sakit.

“Banyak yang kita baca di akhbar mengenai golongan yang merayu bantuan orang ramai kerana memerlukan sumbangan untuk sesuatu pembedahan besar atau rawatan penyakit,” katanya. – Bernama

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com