Friday, June 24, 2005

Sothinathan digantung -- Kerana kelantangannya mengkritik kerajaan di Parlimen - PM

Oleh JOHARDY IBRAHIM dan HAMDEN RAMLY

KUALA LUMPUR 22 Jun - Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini membuat keputusan mengejut menggantung jawatan Datuk S. Sothinathan sebagai Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli selama tiga bulan, berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, tindakan itu diambil ekoran kelantangan Sothinathan mengkritik kerajaan berhubung isu Universiti Perubatan Crimea State (CSMU) di persidangan Parlimen semalam.

``Ya, kita telah membuat keputusan atas apa yang telah beliau lakukan di Parlimen.

``Sebagai seorang ahli kerajaan, beliau tidak sepatutnya mengambil tindakan itu.

``Ini telah jelas melanggar disiplin sebagai seorang ahli kerajaan,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pelabur 2005 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sementara itu, Sothinathan, 45, dalam reaksi segeranya berkata kepada Utusan Malaysia malam ini: ``Arahan penggantungan serta-merta ini saya terima sebagai arahan kerajaan. Buat waktu ini saya tidak mahu komen apa-apa mengenai perkara itu.''

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu pula berkata: ``Perdana Menteri mempunyai hak untuk mengambil tindakan itu. Saya tidak ingin beri komen lanjut.''

Tindakan itu diambil setelah Perdana Menteri yang menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara itu mendapat perkenan Seri Paduka untuk penggantungan tersebut.

Perdana Menteri menegaskan penggantungan itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan jawatan Sothinathan sebagai seorang Ahli Parlimen bagi kawasan Teluk Kemang, kerusi yang dipertahankan dalam pilihan raya umum 2004.

Katanya, Sothinathan akan menjawat semula jawatannya sebagai Timbalan Menteri selepas tempoh penggantungan tamat.

``Dia telah digantung dan dia bukan lagi Timbalan Menteri selama tiga bulan. Bagaimanapun dia kekal sebagai Ahli Parlimen,'' katanya.

Difahamkan keputusan penggantungan itu dicapai di mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

Abdullah berkata Sothinathan, setiausaha agung MIC, mungkin anggota pertama Kabinet Malaysia yang digantung jawatan.

Semalam, pada sesi perbahasan di Parlimen, Sothinathan dilaporkan mempersoalkan beberapa tindakan serta keputusan kerajaan dalam menangani isu penarikan balik pengiktirafan ijazah perubatan CSMU di Ukraine oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Tindakan yang dilakukan bersama-sama Ahli Parlimen parti pembangkang itu mencetuskan pertikaman lidah yang bercampur sentimen perkauman sesama penyokong kerajaan dan pembangkang.

Pergeseran dikatakan menjadi `panas' apabila Sothinathan bangkit mencelah ucapan penggulungan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dengan mempersoalkan tahap profesional MMC hingga mendatangkan kesan kepada ramai pelajar perubatan keturunan India.

Sothinathan turut mempertikaikan tindakan Kementerian Pengajian Tinggi yang mengeluarkan surat "tidak membantah" kepada pelajar Malaysia yang tidak layak mengikuti kursus pra-perubatan di CSMU.

``Kerajaan kata masalah ini timbul sejak beberapa tahun lalu tetapi mengapa kementerian masih mengeluarkan surat itu dan mengapa kerajaan tidak ambil tindakan sebelum ini,'' katanya.

Tindakan Sothinathan itu bagaimanapun tidak disenangi oleh beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila berlaku insiden jerit menjerit membabitkan penyokong kerajaan dan pembangkang.

Isu penarikan balik pengiktirafan ijazah perubatan CSMU di Ukraine oleh MMC mula diperjuangkan oleh MIC. Sebanyak 70 peratus pelajar Malaysia di universiti itu berketurunan India.

CMSU merupakan antara beberapa universiti di negara bekas Kesatuan Soviet yang diberikan pengiktirafan oleh MMC bagi menawarkan kursus perubatan kepada pelajar perubatan daripada Malaysia.

Pengiktirafan itu bagaimanapun telah ditarik balik atas alasan kualiti pembelajaran yang diragukan.

Ini termasuklah tindakan CSMU menerima pelajar sastera yang gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti kursus pra-perubatan serta masalah nisbah tenaga pengajar dan pelajar yang dianggap tinggi.

Setakat ini, 1,157 pelajar Malaysia menuntut di CSMU dengan pelajar India mencatat jumlah paling ramai iaitu 581 orang, Melayu (231), Cina (220) dan selebihnya terdiri daripada lain-lain bangsa.

Abdul Latiff semasa menjawab usul tersebut, berkata kerajaan dan MMC tidak menganiaya CSMU apabila menarik balik pengiktirafan itu.

Ini kerana mereka telah diberi peluang selama setahun untuk menjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan oleh MMC sehingga menimbulkan keraguan terhadap mutu pembelajaran di universiti itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com