Tuesday, October 26, 2004

Polis Perlu Siasat Samy Vellu

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menggesa pihak polis menyiasat dan memanggil Menteri Kerja Raya, Dato' S. Samy Vellu untuk memberi keterangan agar masalah sebenar dapat dibongkarkan dan diperjelaskan kepada rakyat.

Salahuddin berkata, saranan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini supaya Samy Vellu meletak jawatan ataupun menukar menteri berkenaan tidak akan menyelesaikan masalah sebenar.

Malah, beliau meragui dengan saranan Ahli Parlimen BN untuk menjatuhkan Samy Vellu, kerana dakwanya ia adalah satu pakatan untuk menyembunyikan masalah yang berlaku dalam Kementerian Kerja Raya.

Bagaimanapun katanya, penyiasatan rapi hendaklah dilakukan ke atas menteri terbabit kerana bertepatan dengan saranan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berhasrat memerangi rasuah sehingga ke akar umbi.

"Jadi, Abdullah harus mengambil perhatian tentang laporan yang saya kemukakan pada hari ini," katanya dalam sidang media sebaik sahaja membuat laporan polis.

Hari ini, Salahuddin membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi mengenai salah laku, penyelewengan, dan kecuaian Samy Vellu sehingga menyebabkan kegagalan dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan.

Selain itu, Salahuddin turut mengemukakan beberapa salah laku oleh Menteri Kerja Raya berkenaan, antaranya mengugut dengan tindakan undang-undang supaya isu keretakan Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) tidak dikaitkan dengan masalah reka bentuk seolah-olah mempunyai motif melindungi pihak tertentu kerana laporan rasmi oleh pasukan penyiasat mengesahkan keretakan berpunca daripada masalah reka bentuk.

Menurutnya lagi, terdapat beberapa kontraktor yang gagal menyempurnakan projek-projek besar seperti Bumi Hiway (M) Sdn Bhd yang terlibat dengan MRR2 masih diberi projek pembinaan seperti Jalan raya Mentakab-Temerloh yang juga dilaporkan mengalami kegagalan.

Di dalam laporan itu juga beliau menjelaskan, Menteri Kerja Raya cuai apabila membiarkan sesebuah projek yang gagal disiapkan untuk terus dikendalikan oleh kontraktor yang sama seolah-olah memberi peluang kontraktor menyiapkan sesuatu projek, sebagaimana berlakunya terhadap projek pembinaan bangunan Matrade oleh Perangsang International Berhad.

Tambahnya, Samy Vellu juga telah cuai dalam melaksanakan tanggungjawabnya apabila gagal membuat persiapan awal kemungkinan kejadian tanah runtuh di Lebuh Raya Utara-Selatan, walaupun ia telah dikenalpasti mempunyai risiko tinggi untuk runtuh sebagaimana yang terjadi di Gua Tempurung.

Baru-baru ini Samy Vellu dikecam oleh Ahli Parlimen BN supaya meletak jawatan berikutan kegagalannya melaksanakan beberapa projek di bawah Kementerian Kerja Raya.

Kecaman tersebut dibuat ekoran daripada berlakunya kegagalan dalam beberapa projek antaranya, keretakkan 31 tiang jejambat MRR2, kes struktur permukaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang tidak rata, serangan kulat di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru, kes tanah runtuh di Gua Tempurung, kelewatan menyiapkan bangunan Matrade dan kes pembinaan Jalan Simpang Pulai-Loging-Mentakab. - Oleh Salmiyah Harun

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com