Monday, October 25, 2004

Aduan Polis Berhubung Kecuaian Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Tarikh : 25 Oktober 2004 / 11 Ramadhan 1424

Daripada : SALAHUDDIN BIN HAJI AYUB
D/a Markaz Tarbiyah PAS Pusat
Lorong Haji Hassan, Off Jalan Batu Geliga,
68100 Batu Caves,
Selangor Darul Ehsan.

Kepada : KETUA POLIS DAERAH DANG WANGI
Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi,
Jalan Campbell,
Kuala Lumpur.

Tuan,

ADUAN POLIS MENGENAI SALAH LAKU, PENYELEWENGAN DAN KECUAIAN MENTERI KERJA RAYA, DATUK SERI S SAMY VELLU SEHINGGA MENYEBABKAN KEGAGALAN DALAM PERLAKSANAAN PROJEK-PROJEK KERAJAAN.

Saya Salahuddin Haji Ayub nombor kad pengenalan 611201-01-5333 (baru) @ 6369264 (lama) di alamat Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Lorong Haji Hassan, Off Jalan Batu Geliga, Taman Melewar, 68100 Batu Caves, Selangor, pekerjaan Ahli Parlimen Malaysia, berbangsa Melayu dan beragama Islam dengan ini mengemukakan aduan polis seperti mengikut kata-kata aduan berikut:

Pada 24 Oktober 2004, bertempat di 18-3, Ting. 2, Kompleks Udarama Jalan 3/64A, Off Jalan Ipoh, 50350 Kuala Lumpur, (alamat dalam daerah polis berkenaan) saya telah membaca akhbar-akhbar Berita Harian, Utusan Melayu dan The Star bertarikh antara 18 Oktober 2004 hingga 24 Oktober 2004 yang melaporkan tentang desakan Ahli-ahli Parlimen supaya Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu meletakkan jawatan di atas isu-isu salah laku, penyelewengan dan kecuaian yang melibatkan kementeriannya. Akhbar-akhbar tersebut telah melaporkan pendedahan Ahli-ahli Parlimen terhadap kegagalan beberapa projek di bawah kementerian tersebut terutama kes keretakan 31 tiang jejambat Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2), kes struktur permukaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang tidak rata, kes serangan kulat di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru, kes tanah runtuh di Gua Tempurung km. 302 Lebuh Raya Utara Selatan, kes kelewatan menyiapkan bangunan Matrade Jalan Duta dan kes pembinaan Jalan Simpang Pulai-Loging-Kampung Raja. Selain itu beberapa kes kecil termasuk pembinaan jalan Temerloh-Mentakab dan isu-isu pembinaan beberapa sekolah turut dibangkitkan.

  1. Saya berpendapat, berasaskan kepada kenyataan-kenyataan Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan juga laporan-laporan media semasa;
  2. Bahawa telah berlaku salah laku, penyelewengan dan kecuaian oleh Menteri Kerjaraya dalam mentadbir kementerian tersebut;
  3. Tindakan Menteri Kerjaraya mengugut dengan tindakan undang-undang supaya isu keretakan MRR2 tidak dikaitkan dengan masalah reka bentuk seolah-olah mempunyai motif melindungi pihak-pihak tertentu, kerana laporan rasmi oleh pasukan penyiasat mengesahkan keretakan tersebut berpunca daripada masalah reka bentuk;
  4. Terdapat beberapa kontraktor yang gagal menyempurnakan projek-projek besar seperti Bumi Hiway (M) Sdn Bhd yang terlibat dengan MRR2 diberi projek lain iaitu pembinaan Jalan Mentakab-Temerloh yang juga dilaporkan mengalami kegagalan untuk disiapkan mengikut jadual;
  5. Telah berlaku kecuaian yang sangat ketara apabila Menteri Kerjaraya gagal mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor-kontraktor tertentu yang tidak menyiapkan projek-projek mengikut jadual atau menyiapkan projek tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan;
  6. Menteri Kerjaraya tidak menjalankan amanahnya dengan berkesan apabila gagal memastikan pemantauan berterusan dilakukan oleh kementeriannya ke atas semua projek sehingga menyebabkan beberapa projek seperti MRR2, Hospital Sultan Ismail dan Lebuhraya Pantai Timur menghadapi masalah setelah disiapkan;
  7. Menteri Kerjaraya tidak menjalankan amanah dengan berkesan sehingga terpaksa diarahkan oleh Perdana Menteri untuk mengambil tindakan ke atas kontraktror enam projek kerajaan yang terbabit;
  8. Menteri Kerjaraya melakukan kecuaian apabila membiarkan satu-satu projek yang gagal disiapkan untuk terus dikendalikan oleh kontraktor yang sama seolah-olah untuk ‘memberi peluang’ kontraktor menyiapkan sesuatu projek, seperti yang berlaku tehadap projek pembinaan bangunan Matrade oleh Perangsang International Sdn Bhd yang sepatutnya siap pada 1997, tetapi baru sekarang ini Perangsang International Sdn Bhd dikenakan tindakan;
  9. Menteri Kerjaraya tidak mahu bertanggungjawab terhadap kegagalan projek-projek kerajaan di bawah kendalian kementeriannya, termasuk sering menyalah pihak lain seperti Kementerian Kewangan yang meluluskan projek;
  10. Menteri Kerjaraya telah cuai dalam menjalankan tanggungjawabnya apabila gagal untuk membuat persiapan awal tentang kemungkinan kejadian tanah runtuh di lebuh raya, walaupun ia telah dikenal pasti mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami keruntuhan seperti yang berlaku di Gua Tempurung;
  11. Terdapat beberapa kontraktor yang diagihkan projek oleh Menteri Kerjaraya adalah di kalangan keluarga terdekat pemimpin tertinggi Umno, iaitu Bumi Hiway (M) Sdn Bhd. dan Perangsang International Sdn Bhd, yang keduanya-duanya adalah dimiliki oleh adik-beradik kepada bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Mohd Taib. Kedua-dua kontraktor ini terlibat dalam beberapa kes yang dibangkitkan di atas.

Oleh demikian, saya menggesa pihak tuan menyiasat aduan saya di atas untuk tujuan bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam diwujudkan dalam pentadbiran awam. Ini sekali gus dapat membasmi unsur-unsur rasuah, salah laku, penyelewengan dan kecuaian di kalangan pemimpin tertinggi kerajaan.

Saya menggesa pihak polis supaya melakukan tangkapan dan penahanan ke atas Menteri Kerjaraya bagi membolehkan satu penyiasatan segera dibuat untuk kepentingan rakyat dan negara. Segala kepentingan rakyat dan negara ini mestilah dipertahankan daripada dicabuli oleh kerakusan pemimpin BN.

Inilah aduan saya.

Bersama-sama ini dilampirkan beberapa keratan akhbar berkaitan dengan isu-isu salah laku, penyelewengan dan kecuaian Menteri Kerjaraya.



Pengadu,


SALAHUDDIN HAJI AYUB

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com