Sunday, October 24, 2004

Manfaatkan ISA Untuk Banteras Politik Wang Dalam UMNO

Kuala Lumpur (DUPP) : BARISAN kepimpinan Umno yang terpilih bagi sessi 2004-2007 dilihat oleh masyarakat termasuk orang-orang Umno sendiri sebagai pimpinan politik wang. Rata-rata calon yang tewas membuat tuduhan umum terbuka betapa politik wang mengalahkan mereka sambil menuntut supaya sistem pemilihan dirombak. Presiden dan Timbalan Presiden Umno yang baru tidak berani menolak gejala amalan hina itu berlaku tetapi sukar bertindak justeru sukar mendapatkan bukti.

Calon-calon yang tewas diragui bersedia menjadi saksi. Dato' Dr Rais Yatim yang tidak bertanding bercakap secara profesional bahawa BPR boleh digunakan bagi mengesan kesalahan politik wang itu justeru ia adalah sebahagian dari amalan rasuah.

Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen, ketua pasukan petugas anti politik wang pemilihan Umno berjanji bertindak sesbebas-bebasnya kiranya ada bukti. Dato' Seri Abdullah sesungguhnya berada dalam dilema yang besar untuk mencapai wawasan pimpinan al-Shafie dan al-Ghazali dengan imej politik barisan Majlis Tertinggi Umno.

Jika ia dibiarkan tanpa tindakan, bererti beliau menjadi kepada pengerusi sebuah MT Umno bersalut politik wang, hilang al-Syafie dan hilang al-ghazali, yang tinggal cuma Islam Hadhari. Islam Hadhari bermula dan beroperasi di bawah pengaruh MT Umno politik wang. Presiden Umno itu mesti bertindak jika mahu dihormati. Presiden Umno itu adalah Perdana Menteri yang berkuasa terus atas BPR dan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Dengan kuasa itu beliau mengarahkan campur tangan BPR dan boleh menggunakan ISA menahan 60 hari terhadap calon-calon yang menang yang disyaki pengamal politik wang. Sekalipun ISA adalah akta zalim, tetapi ia pernah digunakan ke atas seorang tokoh korporat bergelar Raja dari Selangor atas sebab ekonomi. Malah Dato' Zahid Hamidi pernah ditahan 60 hari berhubung dengan isu pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan dibebaskan tanpa syarat, kini kembali dalam MT UMNO menang yang besar.

ISA digunakan untuk menahan selama 60 hari seseorang yang disyaki tetapi sukar mendapatkan bukti. Justeru politik wang adalah rasuah politik, satu ancaman kepada kerajaan dan negara, sama besarnya dengan kedurjanaan keganasan dan pelampau, maka wajar anggota MT Umno tertentu ditahan 60 hari untuk siasatan dan kiranya tidak terlibat, tidak perlu dihantar ke Kemunting.

Jika mereka terlibat terserah kepada menteri berkenaan sama ada dihantar ke Kemunting atau ditahan di Pulau Jerjak atau buang daerah. Jika Dato' Seri Abdullah tidak berani bertindak, maka beliau dan Tengku Ahmad Rithaudeen akan ditertawakan sebagai juru lawak politik wang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com