Sunday, October 24, 2004

Kerajaan digesa bebas tahanan ISA sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR, (Hrkh) - Kerajaan digesa memberi pengampunan dan membebaskan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sempena Aidilfitri ini sama seperti pengampunan yang diberikan kepada pendatang tanpa izin (PTI).

Pengerusi Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak), Haji Mahfuz Omar berkata cadangan kerajaan memberi pengampunan kepada 1.2 juta pendatang tanpa izin (PTI) untuk pulang ke Indonesia adalah baik, tetapi adalah 'lebih baik' untuk kerajaan turut memberikan perhatian kepada tahanan ISA sempena Aidilfitri ini. Atas dasar yang sama, Impak menggesa kerajaan Malaysia membebaskan tahanan ISA lebih-lebih lagi mereka ditahan tanpa sebarang pertuduhan di mahkamah, katanya. "Jika kerajaan boleh memberi pengampunan kepada PTI, mengapa tidak kepada tahanan ISA," ujarnya.Beliau berkata demikian ketika memberi kenyataan berhubung desakan membebaskan tahanan ISA berikutan tindakan kerajaan mengumumkan program pengampunan PTI sempena Aidilfitri.

Semalam Menteri Luar, Dato’ Seri Syed Hamid Albar, berkata hasrat Malaysia memberikan pengampunan itu dinyatakan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Jakarta kelmarin, ketika beliau bertemu Presiden baru Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono. Mengulas lanjut isu itu Mahfuz berkata, kerajaan Malaysia perlu membebaskan tahanan ISA setelah kerajaan boleh memberi pegampunan kepada bukan rakyat Malaysia yang datang menceroboh negara ini. "Jelas sekali PTI melakukan kesalahan dengan datang ke negara ini tanpa izin, tetapi mereka boleh diampunkan dan boleh pulang ke negara asalnya dengan program khas kerajaan, "Mengapa tidak dilakukan hal yang serupa supaya tahanan ISA boleh hidup bebas dan merayakan Aidilfitri dengan keluarga setelah mereka terpisah dua hingga tiga tahun lebih," tegas beliau yang juga AJK PAS Pusat.

Sementara itu Impak turut menggesa kerajaan mengambil tindakan keras ke atas PTI yang melakukan kesalahan jenayah semasa mereka berada di negara ini. Kata Mahfuz, jika tahanan ISA yang belum pasti bersalah boleh ditahan dan dijejaki untuk ditahan, kerajaan juga perlu bertindak sedemikian kepada PTI. Selain itu ujar Mahfuz, Impak mahu kerajaan memberi penjelasan kewajaran tindakan kerajaan meneruskan penahanan ISA walapun negara ini dikatakan terselamat daripada ancaman pengganas. Sedangkan, kata beliau lagi, PTI lebih berbahaya dan memberi ancaman keselamatan kepada negara ini. Tambahnya, pelbagai kesalahan jenayah seperti samun, bunuh dan ragut yang berlaku di dalam negara ini didapati dilakukan oleh PTI. Justeru katanya,atas dasar mengambil iktibar dari bulan yang mulia ini, kerajaan terutamanya Kementerian Keselamatan Dalam negeri (KKDN) membebaskan tahanan ISA segera. "Bebaskan mereka supaya mereka boleh beraya bersama keluarga," tambah beliau.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan program pengampunan yang diumumkan Abdullah, kelmarin tidak terhad kepada pendatang tanpa izin dari Indonesia saja. Syed Hamid Albar berkata, warga Indonesia yang memasuki Malaysia secara haram boleh balik ke kampung halaman dan tiada pertuduhan serta hukuman akan dikenakan kepada mereka.

“Pengampunan ini tidak hanya membabitkan pekerja Indonesia tetapi semua pekerja asing tanpa izin. Kita memberi pengampunan sempena Ramadan bagi membolehkan semua balik ke negara asal.“Pihak berkuasa Malaysia tidak akan mengambil sebarang bentuk tindakan ke atas mereka kerana tinggal di negara ini secara haram,” katanya pada sidang akhbar selepas dikunjungi Timbalan Perdana Menteri Republik Rakyat China, Tang Jiaxuan di Wisma Putra, tengah hari semalam. – Wan Nordin Wan Yaacob

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com