Saturday, October 23, 2004

Lima Kolej Akan Dinaiktaraf Ke Universiti

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Malaysia hari Jumaat mengambil satu lagi langkah ke hadapan dalam usahanya untuk muncul sebagai sebuah pusat utama kecemerlangan pendidikan di rantau ini apabila ia membuka laluan bagi penubuhan sebuah universiti swasta dan menaikkan taraf lima kolej universiti swasta kepada universiti.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Shafie Mohd Salleh yang mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan surat-surat pelawaan untuk menaikkan taraf Kolej Universiti Teknologi Maklumat Asia Pasifik, Kolej Universiti Sunway, Kolej Universiti Help, Universiti Kolej Pengurusan dan Keusahawanan Binary dan Kolej Universiti Antarabangsa Kisdar. Beliau juga menyampaikan surat bagi penubuhan Universiti Antarabangsa Mount Austin.

Dr Shafie juga telah membacakan ucapan Mohd Najib di acara itu. Dalam ucapannya, Mohd Najib berkata sektor swasta telah menghasilkan inovasi kelas dunia yang boleh bersaing di peringkat global. Beliau gembira dengan pencapaian industri pendidikan tinggi swasta sehingga ini dalam menguasai inovasi teknologi dan memperkasakan harta intelek.

Mohd Najib berkata Malaysia berada di peringkat genting pembangunannya di mana ia tidak lagi mampu sekadar menjadi pengimport teknologi dan harta intelek tetapi sebaliknya harus mencari jalan mengeluarkan inovasi kelas dunia. Beliau berkata, dengan pendidikan semakin kompetitif, pendapatan daripada harta intelek mesti mewakili komponen signifikan pendapatan institusi pengajian tinggi.

"Oleh sebab itu, saya berharap keenam-enam institusi itu yang menerima surat pelawaan Jumaat akan terus meningkatkan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan bukan sekadar mencapai pembangunan ekonomi tetapi juga menjana harta intelek kualiti tinggi dan bernilai komersil," katanya lagi.

Mohd Najib juga menekankan pentingnya kursus-kursus yang disediakan oleh universiti-universiti mengikut standard antarabangsa dengan berkata modul kursus dan jaminan kualiti mestilah kukuh.-BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com