Pemuda PAS lancar kempen keselamatan jalan raya menjelang Aidilfitri
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan melancarkan kempen Keselamatan Jalan Raya kepada pengguna jalan raya yang pulang ke kampung menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Penerangan DPPP, Mazlan Aliman berkata, Pemuda PAs akan melancarkan kempen itu pada minggu ketiga Ramadan di seluruh negara. Menurut Mazlan, kempen itu diadakan dalam usaha menyedarkan orang ramai mengenai pemanduan berhemah menjelang musin perayaan yang mana, ketika itu jalan raya akan sesak dengan kenderaan. Sebelum ini kata beliau, terlalu banyak kemalangan ngeri berlaku akibat daripada sikap pemandu yang tidak mahu bertolak ansur dan bersopan di jalan raya. "Kita mahu membantu kerajaan terutamanya pihak polis trafik dalam memastikan Ops Sikap kali ini akan lebih berjaya berbanding tahun sebelumnya," ujar Mazlan ketika memberitahu Harakahdaily mengenai kempen itu.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu Mazlan berkata, tempat sasaran kepada kempen itu adalah seperti stesen bas, plaza tol, kawasan rehat lebuh raya dan disetiap sekatan-sekatan jalan raya yang dikendali oleh pihak polis trafik. Menurut Mazlan, kempen itu akan secara rasminya dilancarkan di Kuala Lumpur iaitu sebelum penghuni ibu kota pulang ke desa untuk berhari raya. Sementara itu kata Mazlan, pihaknya akan bertemu dengan Jabatan Trafik, Ibu Pejabat Polis setiap negeri berunding untuk mendapatkan kerjasama dengan pihak berkuasa.
Katanya lagi, kerjasama itu hanyalah dari sudut membantu pihak berkuasa mengedar risalah keselamatan jalan raya dan pemanduan berhemah. "Kalau sebelum ini pihak berkuasa ada menyebut mereka kekurangan anggota untuk tujuan itu, Pemuda PAS sanggup membantu," ujar beliau. Sehubungan itu kata Mazlan, Sekretariat Pemuda PAS Pusat meminta kepimpian Pemuda Negeri agar melaksanakan penganjuran kempen yang sama di setiap pelosok negeri masing-masing. – WAN/lanh
0 Comments:
Post a Comment
<< Home