Memorandum Kepada Mufti W.Persekutuan Daripada PAS Wilayah Persekutuan
Kepada ,
Sohibus Samahah Dato’ Dr. Mohammed Yusof Hussain
Mufti Wilayah Persekutuan
Jabatan Agama Wilayah Persekutuan
Pusat Islam Malaysia
Jalan Perdana
50519 Kuala Lumpur
ﻪﺘﺎﻜﺮﺒﻮ ﷲﺍﺔﻤﺤﺭﻮ ﻡﻜﻴﻠﻋ ﻢﻼﺴﻠﺍ
MEMORANDUM KEMPEN MEMERANGI GEJALA SOSIAL
Gejala sosial atau keruntuhan akhlak khususnya di kalangan remaja adalah antara isu hangat yang dibincangkan oleh pelbagai lapisan masyarakat kebelakangan ini. Sebahagian besar mereka bersetuju bahawa sebarang bentuk gejala sosial samada pergaulan bebas tanpa batasan antara lelaki dan perempuan, mencabul, khalwat, bersekedudukan, persetubuhan luar nikah, pelacuran, sumbang mahram, rogol, liwat, pesta seks, homoseksual, lesbian, buang bayi, pasar pondan, bohsia, bohjan, skinhead, lepak, vandalisme, buli dan gengsterisme di sekolah, ponteng sekolah, dadah, pil khayal, ketagihan gam, HIV/AIDS, perjudian, minuman keras, keganasan rumahtangga, kes juvana, merompak, meragut, rasuah dan sebagainya perlu dibendung segera kerana ianya seumpama kanser di dalam badan manusia yang jika tidak dirawat akan mendatangkan mudarat atau bahaya maut kepada tuan empunya badan .
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan mempersoalkan mengapa sehingga kini masalah sosial masih tidak selesai bahkan semakin marak menyala dan semakin berleluasa? Bahkan statistik mutakhir gejala sosial menunjukkan keadaan semakin serius dan membimbangkan khususnya di Wilayah Persekutuan ini. Lebih membimbangkan kerana Wilayah Persekutuan adalah ibu kota Malaysia, tempat berhimpunnya seluruh aktiviti pentadbiran negara.
- Maksiat dan mungkar yang merosakkan akhlak dan aqidah remaja dan dewasa kini ternyata kian melebar dan parah dalam Wilayah Persekutuan mutakhir ini ekoran penganjuran seperti :
- Konsert-konsert hiburan luar negara yang berleluasa seperti Konsert Scorpion pada 13 Sept 2004, Konsert Mariah Carey, dan Konsert Linkin Park sedikit masa dulu.
- Pertandingan-pertandingan nyanyian yang begitu meluas liputannya seperti Malaysian Idol, Akademi Fantasia, Who Will Win, Audition dan sebagainya serta diberikan tempat yang begitu baik di media arus perdana.
- Kelab- kelab malam dan premis hiburan yang beroperasi sehingga ke awal pagi (masih banyak terdapat di Bangsar, Bintang Walk, dan ditengah-tengah pusat Bandaraya).
- Operasi dan aktiviti pelacuran dan Mak Nyah melalui hotel-hotel dan rumah-rumah urut masih berlaku meskipun di bulan Ramadhan ini (masih kelihatan di Lorong Haji Taib dan sekitar Chow Kit).
- Terdapat pusat-pusat perjudian yang beroperasi tanpa permit dan mempunyai lesen yang diluluskan (tiada pemantauan kerana pengunjungnya terdiri dari kalangan yang beragama Islam juga).
- Lambakan majalah dan bahan bacaan berunsur seks dan lucah di pasaran tanpa kawalan serius.
- Penjualan VCD lucah atau separa lucah tanpa kawalan pihak berkuasa di merata tempat (seperti di Chow Kit, Lorong Haji Taib, Masjid India dan banyak lagi).
- Artis-artis yang diberikan tempat yang baik baik di media meskipun imej yang ditonjolkan begitu jijik, menjolok mata dan tidak bersih.
Antara faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya gejala sosial adalah seperti kegagalan sistem pendidikan, kurangnya didikan agama, kurangnya kawalan ibubapa, pengaruh bahan bahan lucah terutamanya VCD lucah, pengaruh rancangan TV yang berunsur seks dan keganasan, pengaruh kawan–kawan, pergaulan bebas, pengaruh pusat–pusat hiburan serta pesta–pesta hiburan yang keterlaluan, penguatkuasaan undang–undang yang lemah dan hukuman yang tidak setimpal .
Kerajaan setakat ini telah mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi dan membendung gejala sosial. Namun sehingga kini, langkah–langkah yang telah diambil tersebut masih diragui tentang keberkesanan dan kejayaannya bagi mengatasi dan membendung gejala sosial .
Diatas kesedaran dan keinsafan tentang bahayanya gejala sosial kepada masa hadapan bangsa dan negara, Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan mendesak supaya Jabatan Agama Islam (JAWI) membentuk satu Pelan Tindakan Bersepadu (Holistic Integrated Action Plan) yang menyeluruh dengan melibatkan pelbagai jabatan atau agensi di bawahnya bagi mengatasi serta membendung gejala sosial daripada terus berakar umbi di dalam masyarakat. Pelan Tindakan Bersepadu ini perlu mengenal pasti punca sebenar berlakunya gejala sosial dan juga mengenal pasti kaedah penyelesaian yang berkesan. Antara perkara–perkara penting yang perlu diambil kira bagi memastikan kejayaan dan keberkesanan Pelan Tindakan Bersepadu tersebut adalah seperti berikut :
1.0 PENDEKATAN PENYELESAIAN
Pendekatan penyelesaian yang perlu digunakan adalah seperti berikut :
1.1 PENDEKATAN ‘MENCEGAH’ BUKANNYA “MENGUBATI”
Pendekatan mencegah adalah lebih baik daripada mengubati ( prevention is better than cure ) kerana ianya adalah merupakan pendekatan yang diajarkan oleh Islam. Maksud Hadis Rasulullah saw:
“Barangsiapa diantara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah dengan tanganya. Jika ianya tidak berkuasa, maka hendaklah ia mengubah dengan lidahnya, jika sekiranya ia jugak tidak berkuasa maka hendaklah ia mengubah dengan hatinya dan yang demikian itu adalah selemah – lemah iman .
( Riwayat Muslim )
Pendekatan ini dilaksanakan dengan mengenal pasti sebab–sebab utama kenapa gejala sosial boleh berlaku dan kemudian mengambil tindakan untuk menghapuskan (eliminate) atau mengawal (control) sebab–sebab tersebut. Sebagai contoh, kegiatan perjudian bermaharajalela disebabkan adanya pusat– pusat judi dan juga kedai–kedai judi. Justeru itu ia hendaklah ditutup operasinya melalui peruntukan undang–undang .
1.2 PENDEKATAN “AMAR MA’RUF” DAN “NAHI MUNGKAR”
Firman Allah swt. Yang bermaksud :
“Hendaklah ada diantara kamu suatu ummat yang menyeru kepada kebajikan , menyuruh kepada kebaikan serta melarang dari kemungkaran”
( Ali Imran : 104 )
“Adalah kamu sebaik – baik ummat yang dikeluarkan untuk seluruh manusia , kerana kamu menyuruh kepada kenaikan dan melarang dari kemungkaran”
( Ali Imran 110 )
Kebanyakan tindakan diambil oleh kerajaan adalah tindakan “Amar Ma’ruf” sahaja iaitu menyeru rakyat melakukan kerja–kerja kebaikan tetapi pada masa yang sama membiarkan kemungkaran dan maksiat terus berlaku. Sebagai contoh, kerajaan menganjurkan Program Tilawah Al-Qur’an dan sambutan hari–hari kebesaran dalam Islam tetapi dalam masa yang sama membiarkan konsert hiburan liar seperti Linkin Park, Mariah Carey pada awal Muharram yang lalu dan terbaru kumpulan Scorpion pada 13 Sept 2004 di saat ummat Islam menyambut hari kebesaran Islam Isra’ dan Mi’raj. Kerajaan juga meluaskan pengaruh Pertandingan Nyanyian seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol dan lain-lain lagi.
Keadaan ini samalah seperti usaha kerajaan melalui kempen–kempen mengingatkan orang ramai tentang bahayanya rokok kepada kesihatan, tetapi dalam masa yang sama kerajaan membenarkan rokok dijual secara terbuka kepada orang ramai.
1.2.1 TINDAKAN MELAKSANAKAN AMAR MA’RUF
Masjid-masjid hendaklah dibebaskan sepenuhnya dari dibelenggu dan dikawal. Aktiviti kuliah dan ceramah hendaklah dipergiatkan di setiap masa dan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira fahaman politik asalkan tidak bercanggah dengan hukum syarak (terutama di bulan Ramadhan ini). Oleh itu pihak Mufti hendaklah mengarahkan pihak JAWI membatalkan arahan tidak membenarkan tazkirah diadakan semasa solat tarawih.
Ceramah-ceramah umum hendaklah diperluaskan dan diberi permit di tempat-tempat terbuka seperti di stadium, tanah-tanah lapang dan di tempat umum supaya dapat memberikan masyarakat peluang menuntut ilmu dan mendapatkan kefahaman Islam yang sebenar.
Mengadakan kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan, NGO dan parti-parti Politik dengan mengadakan aktiviti dakwah secara bersepadu.
Mengadakan kempen seperti Bulan Sembahyang, Bulan Menutup Aurat, Bulan Membaca al-Qur’an dan sebagainya.
Menyebarkan pelbagai bentuk risalah dakwah di tempat-tempat umum bertujuan berdakwah kepada masyarakat umum.
1.2.2 PENDEKATAN HUKUMAN SETIMPAL
Hanya syariat Islam yang mampu memberikan hukuman yang setimpal bagi kesalahan yang dilakukan oleh manusia (hanya bagi kesalahan yang hukumannya ditentukan Allah swt / had Allah sahaja) kerana Allah swt. yang menjadikan manusia dan Dialah jua yang mengetahui hukuman yang terbaik dan berkesan untuk manusia. Firman Allah swt. bermaksud :
“ Apakah mereka mahu hukuman Jahiliyyah ? Pada hal siapakah yang hukumannya lebih baik daripada Allah bagi orang – orang yang yakin ”
( Al Maaidah : 50 )
Hukuman yang bersumberkan syariat Islam mempunyai elemen pengajaran , kawalan dan pencegahan yang tidak ada di dalam undang–undang ciptaan manusia .
“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri, maka potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang telah mereka usahakan , suatu hukuman pencegahan dari Allah.Dan ingatlah Allah Maha kuasa lagi maha bijaksana”
( Al Maaidah : 38 )
2.0 PELAN TINDAKAN PENYELESAIAN
2.1 TINDAKAN MENDIDIK (ASPEK PENDIDIKAN)
Pihak berkuasa tempatan dibawah bidang kuasa Mufti dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Pendidikan hendaklah melaksanakan program pembentukan jati diri pelajar dan remaja berasaskan kepada didikan agama. Memiliki jati diri berasaskan kepada didikan agama, barulah seseorang individu itu mempunyai kekuatan untuk membezakan antara baik dan buruk serta dosa dan pahala. Disamping itu seseorang individu tersebut tidak akan mudah terpengaruh atau terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat atau kancah gejala sosial.
2.2. KEGAGALAN SISTEM PENDIDIKAN
2.2.1. Penekanan Kepada Subjek Agama Di Sekolah dan Di IPT
Kegagalan Sistem Pendidikan yang berorientasikan kepada sistem pendidikan barat yang mengenepikan subjek agama melahirkan ramai pelajar-pelajar yang buta agama dan lemah pengetahuan mereka terhadap ilmu asas Islam. Ramai yang tidak mengetahui rukun fardhu ain, fardhu kifayah bahkan ramai yang tidak tahu solat, serta mengucap dua kalimah syahadah. Pelajar-pelajar di sekolah kebangsaan tidak didedahkan dengan asas pengetahuan tentang Bahasa Arab, Ilmu Fikah, Al-Qur’an, Hadis, Tajwid, apatah lagi mengetahui ilmu Nahu, Saraf dan sebagainya.
Di IPTA/S subjek agama masih lagi di anaktirikan. Bagi mereka yang mengambil kursus professional tidak didedahkan dengan subjek agama. Hanya subjek Tamadun Islam sahaja yang diajar. Kesannya, semakin ramailah anak-anak muda jahil dan tidak tahu agama Islam.
2.2.2. Memperbanyakkan Sekolah-Sekolah Agama
Wilayah Persekutuan tidak mempunyai banyak sekolah-sekolah agama baik ditaja kerajaan mahupun dari pihak lain. Sedangkan Wilayah Persekutuan mempunyai bilangan pelajar yang ramai. Justeru itu Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan mendesak supaya ditambah Sekolah-Sekolah Agama tajaan kerajaan mahupun swasta di Wilayah Persekutuan ini supaya dapat mengimbangi pendidikan agama ke atas pelajar-pelajar sekolah di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur ini.
2.2.3. Memberi Bantuan Kepada Sekolah-Sekolah Agama
Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memberikan bantuan semaksima mungkin kepada Sekolah-Sekolah Agama kerana inilah pusat pendidikan yang melahirkan mereka yang bijak pandai dalam bidang agama serta mampu menjadi pendidik dan pendakwah di suatu masa kelak. Masyarakat yang jahil agama menjuruskan mereka ke lembah maksiat dan dosa yang lebih besar kerana ketidak fahaman mereka terhadap agama mereka sendiri.
2.3. KEPELBAGAIAN PROGRAM PENDIDIKAN
Institusi keluarga, masyarakat termasuk persatuan–persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO) mempunyai peranan yang penting dalam mewujudkan suasana atau persekitaran yang sihat dan kondusif bagi pembesaran dan perkembangan anak–anak remaja. Program atau aktiviti yang diadakan hendaklah bebas dari elemen pergaulan bebas disamping senantiasa memelihara aurat dan akhlak mereka.
Agensi–agensi kerajaan seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Imigresen, Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) dan badan–badan sukarela seperti PEMADAM hendaklah merangka siri–siri penerangan tentang gejala sosial secara bersepadu, menyeluruh dan berkesan kepada pelbagai kumpulan sasaran khususnya golongan pelajar dan remaja .
2.2 TINDAKAN MENCEGAH
Antara tindakan pencegahan yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan ialah seperti berikut :
- Menutup operasi dan menarik balik kebenaran menggunakan premis bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral dan berakhlak seperti pusat–pusat perjudian, rumah pelacuran, rumah urut dan pusat–pusat hiburan yang menggalakkan pergaulan bebas melalui kuasa– kuasa yang diperuntukan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
- Memberhentikan serta merta konsert–konsert atau sebarang bentuk hiburan yang melampau dan melalaikan serta menggalakkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan terutama sekali di bulan Ramadhan ini.
- Melarang wanita beragama Islam daripada menjadi pelayan di pusat – pusat hiburan (GRO.
- Mengadakan kempen menutup aurat bagi wanita Islam.
- Menghadkan jualan arak hanya kepada orang bukan Islam sahaja.
- Mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pengeluar dan pengedar bahan–bahan lucah terutama VCD lucah .
- Mewujudkan badan bebas yang berauthoriti untuk menapis setiap rancangan dan iklan yang hendak disiarkan di dalam media massa samaada cetak dan elektronik.
- Mengadakan pemantauan yang lebih ketat ke atas pengeluraran dan penjualan majalah-majalah yang berunsur lucah dan tahyul.
2.3 TINDAKAN MENGHUKUM
Melaksanakan undang–undang Islam yang telah ditentukan secara terperinci hukumannya oleh Allah swt. seperti kesalahan berzina (samada sumbang mahram atau persetubuhan luar nikah), meminum arak, murtad, qazaf (menuduh orang lain melakukan zina sedangkan ianya tidak berlaku), mencuri dan hirabah (pemberontak).
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah gagal membendung gejala sosial daripada menular dalam masyarakat. Kegagalan enakmen ini adalah disebabkan oleh hukumannya tidak bersumberkan kepada Al Quran dan Al Hadis dan hukuman yang dikenakan tidak boleh menjadi suatu pengajaran kepada sipelaku kesalahan tersebut .
Kesalahan seperti meminum minuman yang memabukkan, sumbang Mahram, Pelacuran, Persetubuhan Luar Nikah, Liwat, Khalwat dan Qazaf hanya dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM 5,000 atau disebat tidak melebihi 6 sebatan atau dihukum dengan mana–mana kombinasi hukuman tersebut sedangkan Allah swt. telah menentukan secara terperinci hukuman ke atas kesalahan – kesalahan tersebut .
2.4 TINDAKAN MENGUATKUASAKAN HUKUMAN
Pegawai–pegawai , badan atau agensi penguatkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Badan Pencegah Rasuah (BPR), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hendaklah bebas daripada sebarang pengaruh atau campurtangan luar terutamanya campur tangan politik dalam melaksanakan tugas mereka. Rasuah dalam pelbagai bentuk adalah merupakan penyakit utama yang menghalang pegawai–pegawai penguatkuasa daripada melaksanakan tugas–tugas mereka secara bertanggungjawab dan dedikasi. Itulah sebabnya PAS dari dahulu telah mencadangkan supaya agensi penguatkuasa seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR) di letakkan di bawah Suruhanjaya Bebas atau Parlimen Malaysia bagi memastikan badan tersebut mampu menjalankan tugas mereka secara professional dan berkesan.
Sekian desakan dan pandangan kami;
“MEMARTABATKAN KEDAULATAN RAKYAT”
Yang benar;
HAJI AHMAD SUBKY BIN ABDUL LATIF
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan
0 Comments:
Post a Comment
<< Home