Saturday, October 23, 2004

Sijil Halal Kilang Sembelih Ayam Sudah Lama Ditarik Balik

SHAH ALAM, 22 Okt (Bernama) -- Sijil pengesahan halal sebuah pusat penyembelihan ayam di Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara dekat sini sudah ditarik balik oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada April tahun lepas kerana tidak mengikut syarak. Pegawai Perhubungan Awam JAIS Fakhrul Azam Yahya ketika dihubungi berkata sijil berkenaan juga tidak pernah diberi semula sehingga sekarang.

"Kita dapati penggunaan arus elektrik dalam proses penyembelihan itu tidak menepati syariat dan menarik balik lesen itu, tetapi pada masa yang sama JAIS tidak ada enakmen untuk menghalang mereka daripada terus beroperasi."Ini kerana mereka boleh mendakwa ayam-ayam yang telah disembelih dijual kepada orang bukan Islam sahaja tetapi boleh jadi sebaliknya. Ini yang menjadi masalah," katanya di sini, Jumaat.Beliau difahamkan sesebuah kilang itu hanya boleh ditutup sekiranya pengusahanya tidak mematuhi syarat-syarat kebersihan dan mengakibatkan pencemaran di kawasan sekeliling dan ianya tidak tertakluk di bawah enakmen Kerajaan Negeri yang membabitkan JAIS.

Fakhrul Azam berkata selain JAIS, pegawai daripada Jabatan Mufti Selangor turut membuat pemantauan secara bersepadu dan berterusan terhadap kilang penyembelihan yang mempunyai lesen bagi memastikan produk ayam yang disembelih mengikut prosedur dan syariat yang ditetapkan.

Khamis, kilang penyembelihan ayam itu diserbu dalam operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan JAIS.Ayam yang diproses dari pusat sembelihan itu dipercayai dibekalkan ke restoran-restoran dan pasar raya di Puchong, Taman Tun Dr Ismail, Shah Alam dan Kuala Lumpur.-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com