Sunday, October 24, 2004

Mahkamah tolak rayuan batal pemilihan calon DAP

PUTRAJAYA (BH): Mahkamah Persekutuan di sini, semalam, menolak dengan kos rayuan petisyen pilihan raya Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan pemilihan calon DAP sebagai Ahli Parlimen Bukit Bintang pada pilihan raya umum 21 Mac lalu.Tiga panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Datuk Siti Norma Yaakob, Datuk Abdul Hamid Mohamad dan Datuk Alauddin Mohd Sheriff sebulat suara menolak rayuan itu dan bersetuju dengan keputusan Hakim Pilihan Raya yang menolak petisyen BN itu tanpa perbicaraan.Dalam penghakiman setebal 25 muka surat yang dibaca Abdul Hamid, beliau berkata, dengan pindaan kepada Peraturan Petisyen Pilihan Raya (EPR) 1954 yang berkuat kuasa pada 16 Januari tahun lalu, secara jelas memperuntukkan rayuan terhadap keputusan akhir Hakim Pilihan Raya.Pindaan itu, katanya, bagaimanapun, tidak menyebut rayuan yang dibuat atas dasar perintah interloktori atau perintah untuk membatalkan petisyen, tanpa melalui proses perbicaraan atau membuat keputusan akhir.


Abdul Hamid berkata, pindaan menunjukkan bahawa Parlimen tidak berhasrat untuk memperuntukkan rayuan selain daripada keputusan terakhir oleh Hakim Pilihan Raya pada akhir perbicaraan.“Jika sebaliknya diputuskan, akan memberi kesan seolah-olah menulis semula peruntukan itu, yang mana ia bukanlah fungsi mahkamah,” katanya.Abdul Hamid berkata, berbuat begitu akan menetapkan satu pendahuluan yang sangat berbahaya terutama jika datang daripada Mahkamah Persekutuan.“Apa yang boleh dibuat oleh mahkamah ini, seperti yang dibuat oleh mahkamah yang membincangkan kes Dason Gaban menentang Zulkifle bin Majun dan 21 lagi, ialah mengesyorkan kepada Parlimen untuk mempertimbangkan sama ada perintah yang dibuat oleh Hakim Pilihan Raya, tidak dianggap penentuan pada akhir perbicaraan, boleh dirayu.

Rayuan ini adalah yang pertama dibawa ke Mahkamah Persekutuan sejak pindaan berkuat kuasa.Sebelum itu, petisyen pilihan raya berakhir pada peringkat Mahkamah Pilihan Raya (Mahkamah Tinggi) memandangkan tiada peruntukan dalam undang-undang yang membenarkan sebarang rayuan dibuat terhadap sebarang perintah yang timbul daripada petisyen pilihan raya sama ada ia berhubung perintah interloktori atau keputusan pada akhir perbicaraan - Oleh Khairunnisa Hussin



0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com