Saturday, October 23, 2004

Tabur Syiling : Taktik Peragut Umpan Peniaga

KUALA LUMPUR 23 Okt (Harian Metro): Kumpulan ‘Geng Syiling’ yang menggunakan taktik menaburkan duit syiling ke kaki mangsa sebelum meragut mereka, mengganas kembali apabila menjadikan seorang ahli perniagaan sebagai sasaran terbaru. Dalam kejadian Isnin lalu, seorang peniaga berusia 44 tahun kehilangan RM4,800 selepas diperdaya kumpulan itu berhampiran Stesen KL Monorail, Jalan Hang Tuah, di sini.

Jurucakap polis Kuala Lumpur berkata, dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa sedang menunggu kedatangan monorail sebelum dihampiri seorang lelaki yang tidak dikenali.Menurutnya, lelaki berkenaan kemudian sengaja menjatuhkan beberapa keping syiling ke kaki mangsa dan berpura-pura mengutipnya secara tergesa-gesa bagi mengelirukan mangsa.“Mangsa kemudian terkejut apabila mendapati wang tunai RM4,800 yang diletakkan dalam poket seluar dilarikan seorang lagi lelaki.“Kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri dengan masuk ke dalam satu gerabak monorail yang kebetulan tiba di stesen itu,” katanya.

Difahamkan wang tunai itu baru sahaja dikeluarkan mangsa dari bank untuk membayar ansuran kereta.“Mangsa yakin kes seluk saku itu dilakukan tiga hingga empat lelaki yang mengekorinya dari bank,” katanya yang yakin jenayah terbabit dilakukan penjenayah profesional warga Filipina berdasarkan beberapa tangkapan sebelum ini.Kumpulan penjenayah berkenaan yang bergerak di kawasan tumpuan awam dikatakan turut menjadikan pelancong asing di ibu negara sebagai sasaran utama.

Dalam kejadian berasingan 21 Ogos lalu, Jurucakap itu berkata, seorang ahli perniagaan dari Qatar kerugian lebih AS$10,000 (RM38,000) selepas menjadi mangsa kumpulan terbabit.Dalam kejadian jam 1 petang, mangsa berusia 38 tahun menaiki Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dari Stesen LRT Dang Wangi ke Stesen LRT KLCC.Menurutnya, ketika mangsa berjalan keluar dari gerabak LRT di Stesen KLCC, seorang lelaki tiba-tiba menghalang perjalanannya.“Dia kemudian berpura-pura menjatuhkan beberapa keping duit syiling berhampiran kaki mangsa.“Lelaki itu tergesa-gesa tunduk sambil mengutip syilingnya.

Selepas itu, dia memaut kaki mangsa menyebabkannya berusaha melepaskan diri,” katanya.Dua lagi lelaki datang menghimpit dan melanggar mangsa dari belakang sebelum beredar.“Mangsa terkejut apabila mendapati sampul surat berisi wang tunai RM38,000 lesap dalam poket seluarnya. Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Pelancong KLCC, sejurus selepas kejadian,” katanya.Dalam satu lagi kes berasingan 15 Ogos lalu, seorang pelancong Arab Saudi berjaya memberkas seorang lelaki warga Filipina yang cuba melarikan wangnya dengan taktik sama.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa berusia 52 tahun sedang menaiki lif di pusat beli-belah KLCC.Mangsa yang cuba keluar dari lif dihalang seorang lelaki yang berpura-pura mengutip duit syiling di lantai.“Pada masa sama, mangsa ditolak dari belakang oleh seorang lelaki lagi. Namun, mangsa yang mengesyaki sesuatu kemudian memeriksa poket seluarnya sebelum mendapati wang tunai RM2,600 lesap,” katanya.Mangsa yang bekerja sebagai guru kemudian menangkap seorang daripada lelaki berkenaan iaitu warga Filipina berusia 34 tahun sebelum diserahkan kepada polis.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com