Saranan tutup TV ‘elak anak tonton siaran teruk’ tidak praktikal
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Hrkh) – Ibu bapa moden sibuk bekerja sekali gus tidak memungkinkan mereka sentiasa memantau kegiatan anak-anak termasuk ‘menutup TV jika siarannya teruk’ seperti disarankan Mufti Wilayah Pesekutuan.
Kata mereka, sewajarnya kerajaan yang memastikan siaran televisyen tidak melanggar dasar penyiaran termasuk norma agama dan masyarakat. Sehubungan itu, mereka beranggapan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Mohammed Yusof Hussain bahawa ibu bapa boleh menutup televisyen jika programnya tidak baik, dianggap wajar tetapi kurang praktikal. Ini kerana masa anak-anak bersama ibu bapa amat terhad berbanding masa mereka bersendirian, bersama kawan-kawan ataupun berada di luar.
Para ibu bapa berpendapat, dari segi asasnya memang wajar ibu bapa boleh menutup saja televisyen untuk mengelakkan anak-anak daripada menonton rancangan-rancangan yang tidak baik, tetapi ia tidak praktikal pada masa kini kedua-dua ibu bapa banyak menghabiskan masa di luar untuk bekerja. Mereka berkata, tindakan tersebut tidak mampu untuk melawan arus perkembangan semasa yang mempengaruhi jiwa anak-anak terutamanya untuk menangani gejala sosial.
Seorang pendidik, Izwan Mohd Yusof, 25, berpendapat, sememangnya tugas awal menjaga anak adalah ibu bapa tetapi katanya pengaruh kuat media elektronik lebih merangsang ke arah anak-anak dan remaja berkelakuan tidak senonoh."Contohnya siaran TV yang dipancar ke rumah kita hari ini memaparkan gambar yang keterlaluan dan ia biasanya ditayang pada lewat malam," katanya yang juga bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Dengan ini katanya, tidak mustahil ada kalangan remaja yang akan cuba sedaya upaya bangun menonton rancangan tersebut tanpa pengetahuan kedua-dua orang tua mereka.
Tambahan pula katanya, siaran televisyen sekarang ada yang beroperasi 24 jam dengan ratusan stesen tanpa tapisan. Katanya lagi, pengisian rancangan televisyen tersebut tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh ibu bapa. Sehubungan itu katanya, sebagai pentadbir agama, seseorang mufti boleh memainkan peranannya iaitu sekurang-kurangnya bertegas terhadap penyiaran televisyen yang boleh merosakkan akhlak masyarakat. "Mungkin mereka boleh memberi peringatan kepada pihak atasan yang terbabit dalam pengelolaan siaran TV tersebut bahawa siaran berkenaan memberi kesan buruk kepada penonton," katanya lagi.
Katanya, untuk mengatasi masalah gejala sosial bukan saja berada di tangan ibu bapa tetapi semua pihak perlu memainkan peranan khasnya pemerintah. "Sekiranya, pemerintah hidupkan suasana yang baik dalam negara, insya-Allah masyarakat akan ikut selain mendapat didikan sempurna dari keluarga," katanya.
Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Nuridah Salleh pula berkata, adalah tidak relevan jika diletakkan tanggungjawab mendidik anak-anak sekarang hanya semata-mata di tangan ibu bapa. bu kepada 10 anak berkata, ini disebabkan tugas ibu pada hari ini bukan seperti dahulu lagi. "Pandangan saya kalau menyerah kepada ibu bapa sahaja tidak cukup umpamanya apabila ibu bapa bertindak menutup TV, anak-anak akan mencari alternatif lain contohnya mereka pergi ke rumah jiran dan sebagainya," katanya.
Katanya, di samping ibu bapa pihak berkuasa juga perlu memantau program-program TV supaya dapat bersama-sama mengatasi gejala sosial yang melanda masyarakat negara ini. "Lagipun kalau mengharapkan ibu bapa saja mana boleh kerana ibu bapa tidak mampu untuk menghadap peti televisyen sepanjang hari," katanya. – lanh
0 Comments:
Post a Comment
<< Home