Saturday, October 23, 2004

Pemilik Saham Bertelagah:

KUALA LUMPUR 23 Okt (Berita Harian): Persaingan untuk menguasai 15.8 peratus kepentingan ekuiti dalam DRB-Hicom Bhd (DRB-Hicom) memasuki episod baru semalam apabila pemilik blok saham itu bertelagah sesama sendiri mengenai kepada siapa ia mahu dijual. Tan Sri Mohd Saleh Sulong dan tiga syarikat yang menjadi pemilik berkepentingan dalam blok saham itu mahu menjual pegangan berkenaan kepada Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary manakala waris Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad mempertahankan pendirian mereka untuk menjualnya kepada konsortium diterajui Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin.

Dalam satu kenyataan di sini, Mohd Saleh dan Aziz Salleh yang mendakwa mewakili tiga syarikat pemilik berkepentingan bagi blok saham itu berkata, mereka memutuskan memilih bida yang dikemukakan Syed Mokhtar “selepas berunding dengan kerajaan”.Aziz ialah individu yang mewakili Citaria Sdn Bhd (Citaria), Syarikat Manhamat Sdn Bhd (Manhamat) dan Billiard Distributors Sdn Bhd (Billiard) yang mendakwa secara bersama, memegang 40 peratus kepentingan dalam blok saham berkenaan.Kenyataan itu mendakwa, selain tiga syarikat berkenaan, Mohd Saleh yang juga Pengerusi DRB-Hicom, memiliki 20 peratus kepentingan dalam blok itu manakala waris Allahyarham Yahaya memegang baki 40 peratus.

Bagaimanapun, Ahmad Othman Yahaya, dalam satu kenyataan berasingan bagi pihak waris Allahyarham Yahaya, mempertikaikan pengumuman yang dibuat oleh Mohd Saleh dan Aziz itu serta menyifatkannya sebagai ‘tidak berasas’.Beliau yang bertindak sebagai pentadbir bagi pewaris juga mendakwa kedua-dua pihaknya atau peguam mereka, tidak dapat melihat ada bukti berhubung kerjasama pada asas 40:40:20 seperti didakwa Mohd Saleh dan Aziz dalam kenyataan mereka.Kenyataan Mohd Saleh dan Aziz menyebut: “Kami – Citaria, Manhamat, Billiard dan Mohd Saleh – pemilik berkepentingan bagi 60 peratus daripada 155.4 juta saham DRB-Hicom, mengumumkan memilih Etika Strategi Sdn Bhd (Etika Strategi) yang berkaitan Syed Mokhtar, sebagai pembida pilihan bagi blok saham itu.“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira syarat dan tawaran yang dikemukakan dua bida bertarikh 7 September 2004 dan selepas berunding dengan kerajaan, yang memiliki 35 peratus kepentingan saham dalam DRB-Hicom,” katanya.

Sehubungan itu, pemilik berkepentingan terbabit berkata, rundingan untuk memeterai perjanjian jual-beli dengan Etika Strategi akan dimulakan sebaik mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.Pemilik terbabit juga menegaskan mereka tidak mengetahui mengenai sebarang perjanjian penjualan bagi saham itu yang didakwa sudah dimuktamadkan dengan pihak lain seperti dilaporkan akhbar kelmarin.Kenyataan itu sekali gus menyangkal pengumuman waris Allahyarham Yahaya pada 16 Oktober lalu yang mendakwa sudah bersetuju dengan syarat yang ditawarkan konsortium diterajui SM Nasimuddin untuk membeli saham berkenaan.Bagaimanapun, Ahmad Othman dalam kenyataannya menyebut: “Kedua-dua pewaris atau peguam kami tidak dapat melihat sebarang bukti sahih mengenai dakwaan perkongsian 40:40:20 itu.“Sejak 7 September lalu, pewaris enggan menerima keputusan proses bida itu kerana ia tidak sah.

Tan Sri (Mohd) Saleh tahu mengenai perkara ini kerana ia sudah dimaklumkan kepadanya,” kata kenyataan itu.Ahmad Othman juga mendakwa, Mohd Saleh gagal memberikan bukti beliau “sudah berunding dengan kerajaan” mengenai pendiriannya atau sama ada kerajaan memilih satu daripada dua pembida yang bersaing itu, walaupun selepas diminta berbuat demikian.“Sehingga ini, pewaris tetap dengan pendiriannya menjual pegangan saham dalam DRB-Hicom milik keluarga kepada konsortium yang diterajui Nasimuddin.“Kini pertikaian ini sudah diketahui umum dan pewaris akan merujuk perkara ini kepada forum yang sesuai, pada masa yang sesuai untuk mendapatkan penyelesaian,” katanya.

Blok pegangan 15.8 peratus itu menerbitkan sejumlah 155.4 juta saham DRB-Hicom yang dimiliki Yahaya ketika Allahyarham menjadi pengerusi syarikat itu. Saham berkenaan dipindahkan kepada warisnya selepas Allahyarham terkorban dalam satu nahas helikopter pada 1997.Blok saham itu kini dipegang oleh penjaga amanahnya yang dianggotai Datuk Tik Mustaffa dan Ahmad Othman yang juga anak lelaki Yahaya, manakala ING Corporate Advisory (Malaysia) Sdn Bhd menjadi penasihat bagi pihak keluarga Yahaya.Syed Mokhtar dan Nasimuddin bersaing hebat untuk menguasai blok saham dalam DRB-Hicom, satu daripada kumpulan perindustrian terbesar tempatan yang 35 peratus ekuitinya dimiliki secara tidak langsung oleh kerajaan

Pada mulanya, Nasimuddin dilihat memenangi persaingan itu apabila Sabtu lalu kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh pihak yang memegang amanah kepentingan keluarga Yahaya menyebut ia sudah menerima tawarannya.Bagaimanapun, Syed Mokhtar mempertahankan bahawa 60 peratus daripada pemilik kepentingan dalam blok saham itu tidak menyatakan mereka akan menjual kepada konsortium diterajui Nasimuddin yang menguasai Kumpulan Naza.Nasimuddin bergabung dengan Nizam Razak, bekas pemilik syarikat broker saham dan Datuk Muhammad Azaham Wahab, pemaju hartanah, dikatakan menawarkan membeli saham DRB-Hicom itu pada RM3.65 sesaham, membabitkan sejumlah RM567 juta.Syed Mokhtar yang pada mulanya dikatakan menawarkan RM3.35 sesaham, kemudian menaikkan bidanya kepada kepada antara RM3.80 hingga RM4 sesaham, selain menawarkan ekuiti dalam MMC Corporation Bhd (MMC) - Azizi Othman

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com