Sunday, October 24, 2004

Rakyat Tuntut Kerajaan Kawal Kenaikan Harga Barang

Kuala Lumpur (DUPP) : TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib memberi jaminan harga barang tidak akan dinaikkan berikutan kenaikan harga minyak di pasaran dunia. Kecuali katanya, barang tertentu yang disetujui oleh kerajaan seperti ayam buat masa ini, dan beliau memberi amaran akan bertindak terhadap sesiapa saja yang menaikkan harga sesuka hati.

Alangkah sedap didengar dari Menteri Khalid Nordin betapa tiada sebarang kenaikan tambang sekalipun harga runcit minyak dinaikkan. Jaminan dan amaran itu wajar diberi sokongan kerana antara tanggungjawab kerajaan ialah melindungi kepentingan pengguna dan tidak sewenang membiarkan pengguna menjadi mangsa krisis harga minyak dunia sekarang.

Sebelum ini jaminan dan amaran dari pimpinan kerajaan yang bertaraf menteri tidak memberi apa-apa erti sekalipun Perdana Menterinya dulu seperti Tun Dr Mahathir dikatakan begitu hebat. Mereka berteriak hingga keluar air mata darah menjamin tiada kenaikan barang berikut sesuatu perkembangan, tetapi harga barang tetap naik dan tiada apa yang dapat dibuat oleh orang-orang yang berteriak itu.

Biasanya jaminan dan amaran itu sedap didengar, tetapi tidak sedap dilihat. Adapun jaminan Najib dan Khalid Nordin yang terbaru ini, dipercayai mempamerkan semangat tidak putus asa berusaha mengawal sebarang kenaikan sekalipun berada di tengah alam muamalat saudagar dan peniaga kapitalisma yang tebal dan kebal.

Tidak wajar diperkecil hasrat menteri-menteri itu untuk berbuat sesuatu yang baik justeru mereka sangat memerlukan sokongan masyarakat. Kita wajar memberikan sebesar harapan agar jaminan itu berkesan dengan keyakinan yang bersyarat iaitu mahu menyaksikan hasilnya dulu.

Setakat ini harga ayam tidak dapat dielakkan dari mengalami kenaikan berkawal kerana krisis bekalan justeru bencana selsema burung yang melanda kawasan sempadan. Jika tidak ada kenaikan dalam waktu yang segera ini, berupayakah kerajaan mengawal keadaan bagi jangka waktu yang lama sekalipun tidak untuk selama-lamanya.

Tetapi terdayakah kerajaan menghadapi rayuan dan desakan yang lemah lembut dari para peniaga sedang mereka adalah golongan yang berpengaruh besar di beakang kerajaan? Musim perayaan yang sudah hampir - Aidil Fitri, Deepavali dan Natal – lazimnya tempoh yang mencabar kesabaran dan ketegasan kerajaan.

Ia adalah tempoh pengguna disembelih, dan sejauh mana jaminan dan amaran para menteri itu menyelamatkan pengguna dari terus menjadi mangsa dalam musim perayaan ini? Persatuan-persatuan pengguna wajar membantu jaminan kerajaan itu supaya apa yang disuarakan itu tidak menjadi satu propaganda murah dan rakyat seluruhnya mesti bersikap sebagai pengguna yang berdaulat, berperanan menentukan kestabilan harga.

Jaminan menteri tidak bermakna selagi pengguna tidak berdaulat, terutama dalam masyarakat yang kerajaan begitu cemburu kepada kedaulatan kepenggunaan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com