Monday, October 25, 2004

Pusat Hiburan Sarang Penagih Diserbu, 132 Ditahan

KUALA LUMPUR (BH): Polis menahan 132 orang dalam serbuan serentak ke atas tiga pusat hiburan yang dikenal pasti sebagai tempat penagih dadah melepaskan gian, pagi semalam. Serbuan ke atas pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail, Jalan Klang Lama dan Seri Petaling itu dilakukan menyusuli beberapa operasi sebelum ini yang mendapati pemiliknya masih membenarkan pelanggan mengambil dadah.

Pelanggan pusat hiburan yang ditahan berusia antara 23 hingga 45 tahun dan disahkan positif mengambil dadah jenis ecstasy, syabu dan ganja. Operasi hampir tiga jam bermula jam 2 pagi itu membabitkan 50 anggota Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan IPD Brickfields.

Pegawai Turus Jabatan Narkotik Kuala Lumpur, Superintendan Hamree Saiee, berkata satu daripada tiga pusat hiburan itu pernah diserbu polis lebih 10 kali sepanjang tahun ini. “Semua pusat hiburan yang diperiksa malam ini (semalam) pernah diserbu sebelum ini, bahkan ada antaranya diserbu lebih 10 kali tetapi masih beroperasi. Kami percaya ia menjadi tempat pengunjung melepaskan ketagihan dadah,” katanya di sini semalam.

Hamree berkata, pihak berkuasa tempatan sepatutnya menutup pusat hiburan itu kerana dalam beberapa serbuan sebelum ini, jelas menunjukkan pelanggan mereka mengambil dadah. “Kami akan terus menyerbu pusat hiburan yang didapati membenarkan pengunjungnya mengambil dadah kerana soal operasi dan permit pusat hiburan adalah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan.

“Tetapi kami hairan kenapa pusat hiburan yang jelas bersalah masih dibenarkan beroperasi kerana pihak berkuasa juga kena main peranan mereka,” katanya. Dalam serbuan pertama di Seri Petaling, polis memeriksa 127 pengunjung dan 40 lelaki serta 11 pengunjung wanita disahkan positif dadah termasuk tiga wanita Indonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen.

Serbuan kedua di Jalan Klang Lama mendapati 28 daripada 165 pengunjung yang diperiksa termasuk lima wanita disahkan positif dadah jenis ecstasy dan ganja. Dalam serbuan ke lokasi ketiga di Jalan Sultan Ismail, polis memeriksa 523 pengunjung dan 43 lelaki serta 10 wanita didapati positif dadah. Polis juga merampas beberapa jenis dadah seperti syabu, ecstasy dan ganja.

Semua pengunjung berkenaan ditahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM5,000 dan hukuman penjara jika sabit kesalahan. - Oleh Mohd Azis Ngah.


Komen PemudaWilayah :
Sepatutnya pihak berkuasa tempatan (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur - DBKL) bertindak tegas terhadap perkara seperti ini. Sikap sambil lewa dan tidak serius dalam menangani masalah ini pastinya akan melahirkan lebih banyak lagi sarang penagihan dadah yang 'berlesen dan ekslusif' seperti ini. Apakah pihak DBKL bangga dengan keadaan ini? dimana penguatkuasa DBKL yang selama ini hebat membelasah peniaga - peniaga haram yang sekadar menjual goreng pisang ditepi jalan demi sesuap nasi. Apakah pihak DBKL telah kelabu mata dengan lampu lip-lap di pusat-pusat hiburan berkenaan sehingga tidak mampu bertindak terhadap mereka? mana penguatkuasa DBKL pergi............

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com