Tuesday, October 26, 2004

Perkhidmatan Air Akan Diswastakan Secepat Mungkin

PETALING JAYA (Bernama) -- Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berkata perkhidmatan-perkhidmatan air di Selangor akan diswastakan secepat mungkin.

Beliau berkata penswastaan PUAS Bhd (Perbadanan Urus Air Selangor) akan diteruskan tanpa perlu menunggu pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Kebangsaan memandangkan keadaan sudah semakin runcing dari segi kewangan dan perkhidmatan.

Setakat hari ini, PUAS Bhd memiliki tiga pemegang konsesi air di Selangor bernilai RM2.2 bilion atau RM55 juta sebulan untuk air yang dirawat.

"Dari segi kewangan, ia tidak mapan," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tenaga 2004, di sini Isnin.

Dr Lim berkata penswastaan ini akan dilaksanakan dalam bentuk holistik iaitu perawatan air, pengedaran air dan bil air.

"Mungkin, apabila Suruhanjaya Perkhidmatan Air Kebangsaan telah dibentuk, kumbahan juga akan dilibatkan sama," kata beliau.

Ditanya bagaimanakah penswastaan itu akan dilaksanakan, beliau berkata: "Ia sudahpun ada dalam fikiran saya tetapi saya tidak akan umumkannya hari ini."

Menteri itu juga berkata kertas berhubung perkara itu telahpun dikemukakan kepada Kabinet dan keputusan mengenainya akan dibuat dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini.

Sebuah lagi negeri yang perkhidmatan airnya begitu kritikal dan perlu diswastakan ialah Sabah, kata Lim.

"Jabatan Bekalan Air Sabah berhutang dengan tiga lagi syarikat air yang berjumlah sehingga RM900 juta. Perkhidmatan air juga teruk, tidak cukup air dan airnya kotor."

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengulangi bahawa pengguna-pengguna yang menggunakan elektrik dan air dalam jumlah yang banyak, mungkin, pada masa akan datang, perlu membayar lebih di bawah mekanisme harga progresif atau mekanisme tarif.

"Mana-mana pengguna yang menggunakan elektrik atau air pada tahap yang disifatkan mencukupi untuk purata isi rumah Malaysia perlu membayar tarif yang lebih tinggi bagi jumlah tambahan elektrik atau air yang dia gunakan," kata beliau.

Beliau juga berkata, seiring dengan langkah mempromosikan kecekapan tenaga, pengguna elektrik yang menggunakan lebih daripada enam juta KWh dalam tempoh 12 bulan berturut-turut perlu memasang alat peranti penjimatan tenaga.

Suruhanjaya Tenaga telah memuktamadkan draf Peraturan mengenai Regulation on Efficient Management of Electrical Energy (Ketetapan tentang Pengurusan Efisian Tenaga Elektrik) yang akan menguatkuasakan pemasangan alat-alat peranti ini, kata beliau.

"Kami mensasarkan peraturan ini akan dikuatkuasakan dalam tahun 2005," kata Lim.

-- BERNAMA

Komen PemudaWilayah

Walau apa pun berlaku yang penting nasib rakyat perlu diberi perhatian. Kualiti air perlulah diperbaiki. Rakyat dah muak nak minum air yang berkeladak dan membahayakan kesihatan. Swasta pun swasta juga...tapi nilai kenaikkan caj air dan elektrik janganlah melampau...kenapa semua nak naik harga, minyak naik, air dan elektrik pun nak naik...gaji bila nak naik??

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com