Tuesday, October 26, 2004

Dato' Samseng

KUALA LUMPUR Hrkh) - Belum sebulan bekas Ketua Pemuda Umno Kuala Pilah, Ruselan Darus, menerima gelaran Dato' dari Melaka, hari ini dia didakwa di Mahkamah Majistret Jalan Raja kerana memukul orang.

Yang ditumbuknya bukannya orang lain tetapi bekas Ketua Pemuda Umno Bagan Datok, Perak. Bagaimanapun, Ruselan dibebaskan dengan ikat jamin RM1,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini. Menurut maklumat yang Harakah terima, Ruselan dikatakan telah bergaduh di depan sebuah restoran dekat ibu kota kira-kira lima bulan lalu.

Tetapi yang peliknya, ketika mengumumkan penganugerahan gelaran oleh Yang Dipertuan Negeri Melaka baru-baru ini, Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka memaklumkan, kesemua nama penerima anugerah itu telah disemak dengan BPR dan juga polis.

Macamana kes pukul di Restoran Madina itu tidak boleh dikesan jika penyemakan benar-benar dibuat dengan pihak polis tidak dapat dipastikan. Sebelum ini, pelbagai pihak mempertikaikan ramainya bilangan yang dianugerahkan datuk oleh kerajaan negeri Melaka iaitu 84 orang.

Ini kerana, mereka bimbang kalau-kalau kualiti penerima anugerah itu jatuh dan menyebabkan nilai gelaran datuk akan jatuh di mata masyarakat. Bagaimanapun, semalam 24 Oktober, Pahang memecahkan rekod anugerah gelaran datuk apabila memberikannya kepada 109 orang.

Pengurniaan itu membabitkan 17 penerima Darjah Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri dan 92 lagi pelbagai darjah yang membawa gelaran Datuk. Selain mengatasi rekod pengurniaan tertinggi untuk gelaran itu yang juga dipegang oleh negeri ini, ia turut memecahkan rekod pengurniaan Datuk yang terbanyak bagi tahun ini iaitu Melaka. - ZS

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com