Tuesday, October 26, 2004

Lagi Menara TNB Tumbang:

KUALA LUMPUR (BH): Tindakan pencuri besi buruk semakin keterlaluan hingga ancaman kepada nyawa tidak lagi menjadi perkiraan.

Daripada asalnya kehilangan besi lurang (penutup longkang), papan tanda jalan, besi penghadang jambatan serta skru dan plat penyambung landasan kereta api, kini perbuatan mencuri skru menara kabel voltan tinggi, turut menjadi-jadi.

Terbaru, tindakan melampau pencuri besi buruk menyebabkan satu lagi menara kabel voltan tinggi Tenaga Nasional Bhd (TNB) tumbang -- kejadian kedua dalam bulan ini – sekali gus menyebabkan 25,000 pengguna kegelapan di beberapa kawasan di Johor malam tadi.

Kejadian terbaru berlaku berhampiran simpang masuk ke Felda Sungai Mas, dekat Kota Tinggi, pada jam 1.25 petang semalam.

Baru-baru ini, satu menara elektrik TNB tumbang di Ulu Sepetang, Taiping, memaksa syarikat utiliti itu membelanjakan RM300,000 untuk membaikinya.

Kejadian terbaru di Kota Tinggi itu tidak membabitkan sebarang kemalangan tetapi menjejaskan penduduk di Bandar Mas, Bandar Penawar, Desaru, Teluk Ramunia, Sungai Rengit, Pengerang, Gugusan Felda Adela, Belungkur dan Tanjung Surat, yang terputus bekalan elektrik.

Pencuri berkenaan dipercayai membuka skru besi penyokong menara kabel votan tinggi TNB setinggi 75 meter itu untuk mengambil kepingan besi berkenaan, menyebabkan menara itu tumbang.

Berikutan itu, TNB terpaksa memotong bekalan elektrik di kawasan berkenaan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Difahamkan penduduk di kawasan berkenaan yang melihat kejadian itu melaporkannya kepada TNB.

Sementara itu, Pengurus Besar TNB Distribution Sdn Bhd (Johor), Mat Riffin Omar, berkata pihaknya memerlukan kira-kira tiga hari untuk menegakkan semula menara elektrik berkenaan.

Pihaknya kini sudah menempatkan tujuh generator untuk memberi bekalan elektrik kepada penduduk kawasan terbabit secara berperingkat sehinggalah menara berkenaan siap.

Mat Riffin berkata, 15 generator lagi akan disewa dari pihak lain bagi membolehkan penduduk yang terjejas mendapat bekalan sementara, terutama umat Islam yang sedang mengerjakan ibadat puasa.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kejadian kecurian kepingan besi penyokong menara berkenaan.

Jumaat lalu, TNB melaporkan lebih 2,000 keping besi penyokong di 11 menara elektrik di Cahaya Baru, Masai dicuri oleh mereka yang mengambil kesempatan daripada kenaikan harga bahan itu di pasaran.

Pengurus Wilayah Selatan, Cawangan Senggaraan Aset, Bahagian Penghantaran TNB, Ilham Sulaiman berkata, akibat perbuatan itu satu daripada menara berkenaan didapati condong dan tidak stabil serta boleh tumbang bila-bila masa.

Kejadian mencuri menjadi-jadi di seluruh negara kebelakangan ini, berikutan harga besi meningkat sehingga RM2 atau RM3 sekilogram berbanding sekitar 40 sen hingga 60 sen sekilogram sebelum ini. Besi padu mempunyai harga lebih tinggi, iaitu mencecah antara RM2 hingga RM3 sekilogram berbanding besi skrap yang berharga antara 60 sen hingga RM1 sekilogram.

Besi buruk juga mempunyai gred tertentu selain barangan kitar semula seperti tin aluminium, surat khabar lama, kotak, plastik dan tembaga. Besi gred nombor satu atau A iaitu besi padu berharga 50 sen sekilogram, besi nombor dua iaitu besi ringan (40 sen) dan zink 20 sen.

Harta benda awam menjadi sasaran utama pencuri besi buruk terutama penutup longkang, tiang, papan tanda, batang paip dan pagar, selain kabel, skru, paku serta plat penyambung landasan kereta api.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan sejumlah RM264,408 terpaksa dibelanjakan untuk memperbaiki dan menggantikan papan tanda rosak serta pelbagai jenis besi yang hilang sepanjang tahun lalu.

Penolong Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Helda Syima Abu Talab pula berkata, dari Januari hingga Julai tahun ini PBT itu memperuntukkan RM500,000 untuk mengganti semula peralatan besi yang hilang seperti penutup longkang, tiang dan papan tanda.

Selain itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pula mencatatkan 56 kes kecurian pelbagai jenis besi di landasan kereta api di seluruh negara sepanjang Januari hingga Julai tahun ini.

Pengurus Besar Keselamatan KTMB, Ramli Hamid, berkata dalam tempoh seminggu bermula 5 Ogos lalu saja, lima kes dilaporkan di seluruh negara termasuk kecurian 75 kepingan besi penyambung landasan bersama penyelak dan nat bernilai RM5,624 di Tapah Road, Perak, pada 8 Ogos lalu.

Berikutan perkembangan itu, pada 9 September lalu, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar, berkata di Parlimen kerajaan bercadang meminda Scrap Metal Act 1946 bagi meningkatkan denda dan hukuman terhadap mereka yang mencuri barangan besi.

Di bawah undang-undang sekarang, jika bersabit kesalahan, seseorang hanya boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan.- Oleh Ahmad Othman

Komen PemudaWilayah

Nampaknya kejadian mencuri barang-barang binaan dan peralatan yang diperbuat daripada besi semakin berleluasa. Kita berharap agar pihak kerajaan (Polis) dan kerajaan tempat bertindak tegas dengan membuat serbuan / pemeriksaan ke atas premis yang menjadi pembeli barang besi terpakai ini.

Semoga dengan cara itu, kita boleh mengetahui siapakah penjenayah yang sebenar. Dan kepada para penjenayah 'besi' ingatlah...kamu bukan 'orang besi' suatu hari nanti kamu juga akan masuk ke 'sangkar besi'. Insaflah sebelum terlewat, hentikan perbuatan yang menyusahkan orang lain itu..

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com