Tuesday, August 30, 2005

Kenyataan Media DPPWP: XPDC Dakwah Anak Merdeka 2005

Assalamualaikum w.w

Pertama-tamanya Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Negara kali ke-48 kepada seluruh warga masyarakat Malaysia. Pelbagai bentuk dan ragam sambutan telah terpamer dipersekitaran harian kita.

Pelbagai tafsiran menerjah arus pemikiran rakyat semasa, sekaligus mengoda kita menyelami hasrat pengalaman suka duka kenangan pejuang silam. Atas usaha gigih mereka kita pamerkan rasa kecintaan dan terima kasih. Jasa bakti mereka menaburi segenap ruang kejayaan negara wangsa masa kini.

Dikesempatan ini juga, DPPWP ingin menzahir seruan kepada seluruh anak bangsa merdeka untuk kembali menobatkan diri sebagai pencinta keamanan dan kemakmuran yang sejati. Menerokai hasrat itu, DPPWP sebagai pasukan belia warga kota metropolitan ini berasa terpanggil untuk turun meraikan sambutan meriah hari kemerdekaan, khususnya menjelang detik keramat, pukul 12 tengah malam 31 Ogos.

InsyaAllah DPPWP akan memimpin para belia menelusuri keheningan kota metropolitan ini bagi membasmi masalah sosial yang diwariskan setelah detik 12 malam berlalu. Pengalaman lepas, kita banyak diajukan sketsa panas di kedinginan malam akibat noda anak merdeka yang tanpa segan silu bercengkerama dibawah silau sang rembulan.

Bukan setakat pusat hiburan atau dataran tempat mereka bercanda, kami dimaklumkan bahawa tasik-tasik rekreasi, masjid KLCC juga menjadi sarang tumpuan kemaksiatan ini. Atas dasar itulah DPPWP dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, akan melancarkan gerakan khas bagi membuat pemerhatian, pemantauan dan juga pencegahan awal agar virus kemaksiatan dapat disekat dan dihapuskan.

Oleh itu DPPWP, menjemput seluruh warga kota tidak kira apa jua parti, lelaki atau wanita, tua atau muda untuk hadir ke XPDC Dakwah Anak Merdeka 2005 bersama pimpinan Pemuda dan masyarakat. Bagi yang berkelapangan untuk hadir, pihak kami menjemput anda untuk bersama kami berhimpun di Masjid KLCC pada pukul 10 malam dan satu taklimat khas akan diadakan sebelum para petugas XPDC diagihkan mengikut kawasan sasaran. Para petugas juga digalakkan memakai pakaian kemas, berbaju putih dan berseluar gelap bagi menunjukkan imej contoh para belia lainnya.

Sehubungan dengan itu, kami juga menjemput Para wartawan untuk hadir bagi membuat Liputan.Dijangkakan XPDC ini akan tamat selewat-lewatnya pukul 3pagi.

Pastikan anda tidak ketinggalan untuk bersama menerokai pengalaman berdakwah bersama pasukan kami. Bersamalah kita berkongsi nikmat kemerdekaan ini dengan mencari redha Illahi disamping membantu menyelamatkan anak bangsa yang masih kehilangan arah tuju kehidupan. Sebarang pertanyaan bolehlah diajukan kepada Sdr. Kamaruzaman - 019-2828536 atau Sdr. Suhaimi- 017- 3423283. Kita jumpa di sanaa...

Wassalam

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Friday, August 19, 2005

Doakan Kejayaan Hero Rakyat

Kuala Lumpur, 19 Ogos 2005: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan takziah kepada 12 orang anggota Bomba dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang telah disahkan sakit. Dimaklumkan bahawa seorang daripada mereka telah dimasukkan ke Hospital di Kota Dumai semalam.

Mereka merupakan sebahagian dari ahli Bomba dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang telah dihantar bertugas di di Pekanbaru, Indonesia bagi memadamkan kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu teruk diseluruh Semenanjung Malaysia pada minggu lalu.

Bagi pihak DPPWP, mereka adalah Hero sebenar, kerana sanggup bergadai nyawa meredah lautan api bagi memastikan rakyat Malaysia dapat hidup dalam udara yang bersih. DPPWP mengesa agar seluruh rakyat berdoa akan keselamatan mereka, semoga Allah merahmati tugas murni yang mereka laksanakan.

DPPWP berharap anggota yang terlibat diberikan insentif khas oleh pihak Kerajaan memandangkan mereka telah berkhidmat dengan baik dinegara jiran untuk kepentingan rakyat nusantara dan negara ini khasnya.

Selain itu, DPPWP berharap agar para petani, peladang dan rakyat Malaysia tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu. Peramal kajicuaca menjangkakan bahawa jerebu sekali lagi akan melanda negara kita pada minggu hadapan. Oleh itu, DPPWP menyeru agar semua rakyat dapat berdoa kepada tuhan masing-masing agar bala bencana ini dapat dielakkan.

Bagi semua umat muslim, diharapkan akan melakukan Solat Hajat dan berdoa agar Allah menurunkan hujan dan semoga kebakaran hutan di Indonesia dapat dipadamkan segera.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

APAKAH YANG DIKATAKAN PERJUDIAN ?

OLEH PIHAK PDRM:

Semua perjudian adalah diharamkan kecuali perjudian yang diluluskan oleh Kerajaan dengan bersyarat serta dibayar lesen/permit yang dikenakan. Judi haram lain yang lazim ditangkap adalah seperti berikut.

1. Judi dalam rumah
2. Judi tempat bebas
3. Judi ekor haram (Loteri haram)
4. Judi catataruh haram (Illegal bookmaking)
5. Judi tikam-tikam
6. Judi mesin slot/jackpot/ turfking/fruit machine
7. Lain-lain


Taksiran judi mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289) Pin. 1983:

"Perjudian adalah permainan yang berasaskan nasib atau kepandaian dan nasib bagi pertaruhan wang atau barang ganti wang dan termasuk sebarang permaian dibawah ruangan 1 jadual pertama dan kedua Akta Rumah Perjudian Terbuka".

JUDI DALAM RUMAH

Tidak kira apa jenis judi yang dimainkan di dalam bangunan yang lain dari tempat bebas adalah dikatakan berjudi didalam rumah.

Kesalahan ini boleh dituduh dibawah sek. 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka dan hukumannya ialah denda tidak melebihi RM 2,000/-.

Manakalah tuan punya/penduduknya boleh juga dituduh dibawah sek. 4(1)a atau 4 (1)b Akta Rumah Perjudian Terbuka kerana membenarkan permainan judi dimainkan dalam rumahnya, dan hukumannya ialah penjara tidak melebihi 2 tahun atau denda RM 20,000/- atau kedua-duanya sekali.

JUDI TEMPAT BEBAS

Tidak dikira apa juga jenis perjudian yang dimainkan ditempat bebas adalah menjadi satu kesalahan.

Kesalahan ini boleh dituduh dibawah sek. 7(2) Akta Rumah Perjudian Terbuka dan hukumannya ialah denda tidak melebihi RM 2,000/-

JUDI EKOR HARAM

Dengan adanya perlumbaan kuda, penganjur ekor haram telah mengambil kesempatan untuk menjalankan kegiatan mereka di merata ceruk rantau. Penganjur tersebut mempunyai runner dan pemungut untuk membantu mereka dalam perniagaan ekor haram. Ekor haram selalunya dari 3 dan 4 angka sahaja dan keputusannya berpandu kepada keputusan lumba kuda, tetapi sekarang mengikut cabutan Magnum. Sungguhpun ada terdapat penjualan ekor secara berlesen tetapi judi ekor haram digemari oleh orangramai kerana terdapat kemudahan untuk membelinya serta hadiahnya lebih daripada yang dijual secara berlesen.

Bagi kesalahan menjalankan/menganjurkan judi ekor haram boleh dituduh dibawah sek.4 A(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka dan hukumannya ialah penjara tidak melebihi 2 tahun atau denda RM 20,000/- atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan membeli ekor haram boleh dituduh dibawah sek. 9(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka dan hukumannya ialah denda tidak melebihi RM 2,000/-

JUDI TIKAM-TIKAM

Judi jenis ini selalunya dimainkan oleh kanak-kanak sekolah dimana tikam-tikam ini dibawa oleh penaja-penaja yang menjual barang-barang/minuman ditepi sekolah-sekolah dan ditepi jalan. Permainan ini mempamirkan hadiah-hadiahnya dan dibahagian bawahnya terdapat kertas cabutan yang mempunyai nombor-nombor, jika nombor bersetentangan dengan hadiah maka pencabutnya (pembeli) akan memenangi hadiah tersebut. Kerapkali pemain selalunya tertipu tidak mendapat sebarang hadiah pun.

Bagi kesalahan-kesalahan menjual tiket-tiket boleh dituduh dibawah sek. 4(1)(e) Akta Rumah Perjudian Terbuka dan hukumannya denda tidak melebihi RM 20,000/- atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

MESIN PERJUDIAN/JACKPOT/TURFKING/FRUIT MACHINE

Perjudian jenis ini baru sahaja timbul dan banyak penganjurnya pada mulanya mendapat keuntungan yang lumayan. Permainan ini digemari oleh kanak-kanak sekolah dan juga orang dewasa. Mesin-mesin tersebut diletak ditempat-tempat awam seperti dikelab-kelab rekreasi, kedai-kedai kopi, gerai-gerai makan dan juga dirumah kediaman. Cara main adalah mudah, dengan menaruh wang 20 sen atau setengah mesin 50 sen dan selepas itu tekan mana pilihan yang hendak dipertaruhkan. Jika menang hadiah merupai wang syiling akan keluar kedalam kotak hadiah. Permainan ini sungguh mengasyikan pemainnya.

Penganjur/penjaga bole dituduh dibawah sek. 10(1) Akta Loteri 288/52 dan hukumannya ialah denda tidak melebihi RM 10,000/- atau penjara tidak melebihi 3 tahun. Selain itu mereka juga boleh dituduh dibawah sek.3 Ordinan Hiburan Awam 1958 dan hukumannya tidak melebihi RM5000/-.

GEJALA-GEJALA BURUK JUDI YANG AKAN DIALAMI!!!!!!!

Judi adalah merupakan satu penyakit masyarakat dan mempunyai gejala-gejala seperti berikut:-

1. Banyak masa terbuang tidak kira malam atau pun siang
2. Kemiskinan, kesengsaraan terhadap diri dan keluarga boleh mengakibatkan porak poranda dalam rumahtangga.
3. Bersikap tidak jujur dan selalu berhutang.
4. Judi juga adalah punca rasuah.
5. Kepentingan kerja selalu diabaikan.
6. Tidak menghiraukan kesihatan, makan dan minum tidak dijagai.
7. Melibatkan diri dalam kegiatan jenayah untuk menampung kekalahan dan menyambung perjudian.
8. Bersikap tamak dan menggunakan apajua kuasa untuk kepentingan diri. Selalunya rugi kerana apa yang dikejar mungkin tidak dapat dan apa yang dikandung mungkin juga keciciran.
9. Sanggup membuat apa sahaja asalkan dapat berjudi.
10. Kemungkinan besar pemain judi akan ditangkap dan didakwa di mahkamah.
11. Pemain judi tidak menjadi kaya melalui perjudian.

****Gejala-gejala buruk tersebut diatas patut dijauhi dengan beramal kepada tuhan, membuat sesuatu perkara yang berfaedah seperti bersukan, mempunyai hobi dan pekerjaan sumbangan kepada masyarakat.

****Selain dari tindakan mahkamah, tindakan dibawah Bab 39 Enakmen Kediaman terhad boleh juga diambil sekiranya cukup bukti yang menunjukkan penganjur-penganjur bergiat dalam sebarangan perjudian bertujuan buang daerah/menghadkan pergerakannya.

MAKSIAT YANG DIPERKATAKAN OLEH PIHAK PDRM

Maksiat adalah satu perbuatan keji yang melanggar Ugama. Beberapa sebab yang mendorong gadis-gadis/wanita kearah maksiat adalah seperti berikut.

1.Pengangguran, persaingan hebat untuk mendapatkan pekerjaan.
2.Kekurangan pelajaran akademik.
3.Kekurangan didikan agama
4.Salah asuhan
5.Kurang kasih sayang keluarga
6.Suasana keluarga kucar kacir
7.Masyarakat pincang
8.Kemiskinan
9.Mementingkan kemewahan dunia harta benda
10.Kekecewaan hidup (Frustration)
11.Atas kerelaan diri sendiri untuk menyara hidup.
12.Akibat gejala dadah.
13.Perasaan ingin mencuba

Kesalahan - kesalahan yang boleh diambil:

1.Sek. 8(1) Akta perlindungan Wanita dan Gadis-Gadis dibawah 21 tahun yang terdedah kepada bahaya akhlak bekerja ditempat-tempat hiburan.

2.Sek. 19(1) Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 106/73 - Seseorang yang hidup atas hasil pelacuran boleh dikenakan penjara tidak lebih dari 5 tahun atau denda tidak melebihi RM 10,000/- atau kedua-duanya sekali.

3.Sek 16(1)(A) Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 106/73:
•Seseorang yang menjual/membeli gadis-gadis dengan niat untuk digunakan bagi maksiat pelacuran.
•Boleh dikenakan penjara tidak lebih 5 tahun atau denda tidak melebihi RM 10,000/- atau kedua-duanya sekali.

4.Sek. 21(1) Akta Perlindungan Wanita dan Gadis - Seseorang yang menyenggarakan/mengurus rumah sundal boleh dikenakan penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi Rm 5,000/- atau kedua-duanya sekali.
5.Enakmen Kediaman Terhad Bab 39 boleh juga diambil keatas Penganjur-Penganjur maksiat untuk menyekat pergerakan mereka.

Tuesday, August 16, 2005

Pemimpin UMNO Perlu Bersikap Positif

Kuala Lumpur, 16 Ogos 2005: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berasa amat kesal atas sikap tergopoh-gapah Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui kenyataan tidak demokratik beliau di dalam akhbar Utusan Malaysia yang bertajuk 'Terima Islam Hadhari sebelum bermuzakarah' semalam (15 Ogos 2005).

Kenyataan beliau itu, lebih kepada satu penolakkan dan memaksa PAS untuk menerima konsep Islam Hadhari dan Perjuangan UMNO. Ianya jelas bertentangan dengan Perlembagaan PAS yang berteraskan Islam yang Syumul.

Seandainya semua pemimpin UMNO bersikap sedangkal pemikiran beliau maka semakin lemahlah umat Melayu yang mahukan suatu perubahan murni dalam arus politik negara. UMNO dan PAS sememangnya berbeza dari segi ideologi dan bentuk perjuanganya, tetapi itu tidak bermakna UMNO dan PAS perlu untuk terus bertentangan dalam semua perkara. UMNO juga tidak berhak untuk memaksa PAS tunduk dan menuruti segala dasar yang dibawakan mereka selaku Parti yang memerintah.

DPPWP percaya bahawa pelawaan Presiden PAS baru-baru ini adalah satu ruang diskusi yang seharusnya dimanfaatkan oleh pimpinan UMNO dalam menilai dan menjana masa depan bangsa Melayu di negara ini.

Sikap ego dan keangkuhan pimpinan UMNO yang enggan menerima peluang ini secara positif haruslah diketepikan. UMNO seharusnya bersikap terbuka dan berlapang dada sebagaimana janji mereka sebelum ini yang kononnya bersedia bermuzakarah dengan pimpinan PAS pada bila-bila masa.

Pada masa kini, terlalu banyak isu yang melanda umat Melayu dan harus dibincangkan secara bersama bagi mencari satu kesepaduan dalam usaha memajukan bangsa Melayu. Bermula dari isu umat Islam seperti trademark produk halal, gejala maksiat, seterusnya kepada permasalahan ekonomi dan politik yang lebih meluas. Kesemuanya perlukan satu ruang untuk diperbincangkan.

Sampai bila UMNO ingin terus berdegil dan tidak mahu menerima pandangan orang lain. PAS sedia menerima teguran pimpinan UMNO dan memperbaiki kelemahan. Adakah UMNO berani membuat perubahan seperti itu?

DPPWP berharap agar pimpinan UMNO memikirkan semula tentang pelawaan Presiden PAS sebelum ini. Seperti kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa:

“Jika tidak diadakan perbincangan macam mana hendak ditentukan hala tujunya terutamanya perkara-perkara baru,”

DPPWP juga berharap agar pihak pimpinan UMNO melihat dunia Melayu ini secara luas dan tidak setakat dalam kantung mereka sahaja.

DPPWP juga mempelawa kepada Pimpinan PAS dan UMNO untuk mengadakan Muzakarah ini di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Putrajaya. DPPWP juga tiada masalah jika Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan berminat untuk bekerjasama bagi menjayakan muzakarah.

Untuk itu DPPWP dan seluruh rakyat menanti jawapan pimpinan UMNO. Biarlah muzakarah ini berlangsung diatas meja yang penuh rasa keharmonian dan bukannya diatas kertas atau catatan media massa sahaja.


Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

ISU AP- DEDAH DAH DAKWA BILA ?

Oleh : Mohamed Hanipa bin Maidin

Kini rakyat sudah mengetahui siapakah raja AP di Malaysia. Menurut senarai yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada petang 18hb Julai 2005 yang lalu terdapat empat orang iaitu Tan Sri Nasimuddin SM Amin, Datuk Syed Azman Syed Ibrahim, Datuk Mohd. Haniff Abdul Aziz dan Datuk Azzuddin Ahmad, yang telah diberikan lebih 25,000 permit import (AP) untuk mengimport kereta mewah pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, Syed Azman, Mohd. Haniff dan Azzuddin menerima sejumlah 16,214 AP menerusi beberapa syarikat manakala Nasimuddin, pengarah urusan Naza Motor Group, memegang 9,412 AP kebanyakannya menerusi Naza Kia Sdn. Bhd.

Senarai meliputi 67,158 AP itu bagi tahun ini dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri ekoran timbulnya kontroversi mengenai pemberian AP. Terdapat dua jenis AP iaitu AP terbuka dan AP francais.

Bagi AP terbuka, pemegangnya dibenarkan mengimport kereta baru dan kereta terpakai dari mana-mana sumber tetapi pemberian AP ini dihentikan pada 1988 manakala AP francais pula diberikan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai perjanjian agensi eksklusif dengan pengeluar kereta asing.

Antara penerima lain dalam bilangan besar ialah Hyumal Motor Sdn Bhd yang dimiliki oleh Berjaya Group Bhd, Sime Darby Bhd dan Tan Sri Vincent Tan yang diperuntukan 8,573 AP bagi kereta Hyundai.

Isu AP itu menjadi hangat apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemberiannya yang terlalu banyak telah menyebabkan berlaku persaingan tidak adil kepada kereta nasional, Proton.

Dr Mahathir merupakan penasihat kepada Proton. Katanya ramai pengimport membuat pengisytiharan harga yang rendah dan menjual kereta-kereta ini lebih murah daripada harganya yang sebenar.

Mahathir juga mempersoalkan bagaimana 20 syarikat diberikan sebahagian besar daripada 50,000 AP sedangkan matlamat kerajaan adalah untuk membantu sebanyak mungkin peniaga Bumiputera dengan mengagih-agihkan permit berkenaan.

Syarikat-syarikat milik Nasimuddin ialah Naza Kia Sdn, Next Car Sdn Bhd, NZ Wheel (M) Sdn Bhd, Nasim Sdn Bhd dan Naza Brabus, yang mengimport kereta-kereta seperti
Kia, Mercedes Benz, Peugeot, Ferrari, Modena, Maserati, Rolls Royce, Bentley dan Brabus.

Syed Azman dan Mohd Haniff mengimport kereta mereka menerusi syarikat-syarikat seperti Westcar Motorsport Sdn Bhd, Atlantic Star Auto Sdn Bhd, Auto Pacific Star
Sdn Bhd, Go Smartstar Sdn Bhd, Global World Trade Sdn Bhd dan Territorial Star Sdn Bhd. Seorang lagi pemilik saham di Weststar ialah Azzuddin. Syarikat mereka
mengimport kereta-kereta seperti Honda, Ford, Chevrolet, Smart, Suzuki Audi.

Sebagai rakyat kita berterima kasih kepada kerajaan kerana bersedia mendedahkan senarai penerima AP kepada umum. Bagaimanapun jika kerajaan merasakan tugas mereka telah selesai dengan pendedahan penerima AP ini ia adalah satu kesilapan yang besar. Sebagai pembayar cukai rakyat berhak untuk mengetahui sama ada pemberian AP tersebut benar-benar dibuat mengikut prosedur undang-undang ?

Beberapa persoalan undang-undang boleh dibangkitkan di dalam isu pemberian AP ini yang antara lain adalah seperti di bawah ini :-

1- Mengapakah tidak terdapat pembahagian yang adil dan saksama AP kepada rakyat di negara ini ?

2-Mengapakah terdapat inidividu-individu tertentu seperti Tan Sri Nasimuddin SM Amin, Datuk Syed Azman Syed Ibrahim, Datuk Mohd. Haniff Abdul Aziz dan Datuk Azzuddin Ahmad, telah diberikan lebih 25,000 permit import (AP) untuk mengimport kereta mewah pada tahun ini dan apakah asas daqn kriteria yang digunakan dalam memberikan AP tersebut ? Adakah unsur-unsur kronisme benar-benar bersih dalam pemberian AP kepada
individu-individu ini ?

3-Mengapakah terdapat beberapa bekas kakitangan MITI yang diberikan AP dan adakah pemberian tersebut benar-benar bersih daripada unsur-unsur salahguna kuasa (malpractices) dan rasuah ?

4-Mengapakah terdapat ahli kabinet seperti Menteri Pelancongan Datuk Dr. Leo Michael Toyad yang memiliki 15 peratus saham Mega Otomobil Sdn. Bhd., iaitu syarikat juga dikurniakan AP ?

5-Mengapakah MITI menukar polisi isu pengeluaran AP tahun lepas tanpa kebenaran ( approval ) daripada Kerajaan seperti yang dibangkitkan oleh Pengerusi Backbencher ( BBC ) Dato' Shahrir Samad ? ( Dato' Shahrir telah mempersoalkan tatacara yang digunakan dalam pengeluaran AP. Menurut beliau bilangan AP pada asalnya berdasarkan 10 peratus pengeluaran kereta tetapi pada tahun 2004 ianya ditukar kepada 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran kenderaan ( 10 percent of total vehicle production ) yang mana pertukaran polisi tersebut telah mengakibatkan terdapat peningkatan yang mendadak terhadap pengeluaran AP daripada 20,000 kepada 60,000 .

6- Mengapakah MITI secara mudah menukar polisi ini tanpa kebenaran kerajaan dan mengapakah kerajaan sendiri tidak membuat pemantauan terhadap perkara ini?

7- Mengapakah Rafidah sebagai menteri kabinet tidak melaporkan pertukaran polisi dalam mesyurat kabinet yang diadakan setiap minggu ?

Persoalan undang-undang di atas bagi saya perlu dijawab dan bagi menjawab persoalan -persoalan tersebut adalah penting bagi Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengambil sikap proakif membuat siasatan secara terperinci .

Kita tidak mahu pendedahan isu AP ini hanya gimik dan retorik politik semata-mata. Masa untuk bertindak Pak Lah bukan berlakon !!!

Thursday, August 04, 2005

Kenyataan Media DPPWP 04/08/2005: Perarakan Membantah Akta ISA 2005

Image hosted by Photobucket.com

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) amat kesal dengan sikap acuh tak acuh pihak Kerajaan dalam menangani isu Mangsa-mangsa Tahanan ISA.

Pada 17 Jun yang lalu, delegasi Majlis Perundingan Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia yang diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz telah membuat lawatan ke atas para tahanan di Kem Tahanan Kemunting.

Seramai 115 tahanan ditemui, dari jumlah itu, Seramai 39 orang ditahan lebih tiga tahun manakala 25 orang antara dua dan tiga tahun. Majlis tersebut telah membuat kenyataan dan rayuan bagi membebaskan tahanan-tahanan yang telah ditahan selama 2 tahun atau lebih. Mereka seharusnya dibebaskan atau dihadapkan ke Mahkamah sekiranya wujud bukti-bukti yang menyebabkan kes mereka dianggap sebagai kes 'Prima Facie.'

Namun, hingga ke hari ini tiada sebarang perubahan dibuat. Para tahanan masih menerima layanan ‘double standard’ dan tidak dibenarkan menemui keluarga mereka dalam keadaan yang selesa. mereka dipisahkan dengan tingkap kaca dan hanya dapat bercakap dari lubang kecil yang ditebuk ditengah kaca tersebut.

Selain itu, DPPWP juga dimaklumkan bahawa beberapa orang tahanan yang dituduh sebagai anggota Kumpulan Militan Malaysia, termasuklah anak Tn. Guru Nik Abd Aziz telah dilanjutkan tempoh tahanan selama 2 tahun lagi.

Perit telinga mendengar, perit lagi hati yang menanggung. Betapa berat mata kita menaruh simpati, berat lagi bahu mereka yang terpaksa melalui musim-musim getir dipenjara sepi itu.

Oleh itu, DPPWP menyeru simpati seluruh rakyat Malaysia agar kita sama-sama bangkit untuk menuntut keadilan bagi pihak mereka. Mengapa kita harus membisu bila mana, adanya rakyat jati negara tercinta ini yang diazab di tanahair sendiri tanpa mengetahui apakah salah mereka.

Telah rosakkah hati budi dan pemikiran kita hingga sanggup membuta tulikan diri sendiri dan tidak mahu mendengar jeritan batin mereka. Bagaimana raungan ketidakpasrahan keluarga mangsa-mangsa ISA ini. Dimanakah kita melangkah disaat mereka bergenang air mata. Lalukah kita menjamah butiran nasi, dihemperdu penderitaan mereka.

Ayuh!!! wahai rakyat, kita bangkit...semarakkan semangat perjuangan rakyat. Kita bersama mengatur langkah, kita mahu mereka dibebaskan. Ajaklah seluruh teman dan saudara tuan-puan untuk kita sama – sama berhimpun dan berarak bagi menyatakan sokongan kita pada perjuangan pembebasan mangsa ISA.

Pada 12 Ogos 2005 (Jumaat), seusai sahaja solat Jumaat yang kita persembahkan pada Allah Rabbul Jalil, kita bersama mengorak langkah kebersamaan berhimpun di Hadapan Masjid Negara. InsyaAllah kita akan bergerak beramai-ramai menuju ke Bangunan Suhakam di Jalan Raja Laut. Pimpinan tertinggi Barisan Alternatif, Gerakkan Mansuhkan ISA dan NGOs lainnya akan turut bersama.

Kita gerakkan seluruh jentera yang ada, kita bawa sepanduk dan juga placard tanda bantahan kita pada akta zalim ini. Perarakan ini juga akan mengiringi para pimpinan yang akan membawa dokumen rayuan dan gesaan agar pihak Suhakam bertindak bagi pihak rakyat marhaien ini.

Semoga kepelbagaian lapisan rakyat ini akan dapat mengemudi pemikiran pemimpin Kerajaan untuk membebaskan mangsa-mangsa yang tidak berdosa itu.

Bebaskan Tahanan ISA-Mansuhkan ISA


Riduan Mohd Nor
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

MEMORANDUM MENDESAK KAJIAN SEMULA TERHADAP KENAIKAN HARGA MINYAK

Kepada,

YAB Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi,
Perdana Menteri Malaysia,
Pejabat Perdana Menteri,
Blok Utama,
Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA

3 OGOS 2005

YAB Datuk Seri,

MEMORANDUM MENDESAK KAJIAN SEMULA TERHADAP KENAIKAN HARGA MINYAK

Pemuda Barisan Alternatif (Pemuda BA) memandang serius kenaikan harga diesel dan petrol yang berkuat kuasa pada 30 Julai 2005 yang lalu kerana ia ternyata membebankan rakyat dan memberikan kesan yang buruk terhadap kos hidup rakyat secara keseluruhan. Kenaikkan harga petrol sebanyak 10 sen dan diesel sebanyak 20 sen ini adalah kali yang kesepuluh semenjak 1 Oktober 2000 dan kali ketiga bagi tahun 2005. Pemuda BA membantah kenaikan harga minyak ini dan mendesak supaya ia dikaji semula bagi memastikan ia tidak memberi kesan kepada indeks harga pengguna (IHP).

Pemuda BA mengakui bahawa harga minyak mentah dunia hari ini telah melebihi US$60 setong, tetapi tidak bermakna kita wajar untuk terus menaikkan harga minyak sehingga rakyat menanggung beban yang begitu kesan baik pada harga minyak ataupun harga barangan pengguna lain yang akan turut naik kesan kenaikan harga minyak tersebut. Adalah menjadi satu tanggungjawab bagi kerajaan untuk memberikan subsidi kepada rakyat bagi mengurangkan harga minyak sesuai dengan kedudukan Malaysia sebagai negara pengeluar minyak.

Petronas sebagai sebuah syarikat kerajaan yang diberi hak untuk mencari gali dan menguasai industri petroleum negara telah mencatatkan keuntungan besar seperti yang umumkan baru-baru ini. Pada tahun kewangan berakhir Mac 2005, Petronas mencatat pendapatan sebanyak RM120 bilion dengan keuntungan bersih melebihi RM58 bilion. Tiga perempat daripada pendapatan Petronas berpunca daripada sumber tempatan yang secara langsung merupakan harta rakyat negara ini. Ini bermakna, kerajaan dapat mengurangkan beban rakyat sekiranya 10 peratus daripada pendapatan Petronas digunakan untuk membiayai subsidi minyak yang berjumlah sekitar RM9 bilion.

Pemuda BA menyedari bahawa rakyat tidak seharusnya bergantung seratus peratus kepada subsidi terutama ketika ekonomi negara berada dalam keadaan ‘nazak’ selepas perbelanjaan besar-besaran untuk projek mega dan mewah kroni-kroni pemimpin Kerajaan BN zaman Tun Dr Mahathir Mohamed. Tetapi kerajaan tidak sepatutnya melepaskan diri daripada ‘membail out’ rakyat pada masa ini. Peningkatan mendadak kos hidup telah dirasai oleh semua rakyat sama ada yang tinggal di bandar atau luar bandar. Kenaikan harga minyak pada Mei 2005 misalnya, ternyata telah memberikan kesan besar terhadap harga barangan pengguna di seluruh negara.

Kenaikan pada kali ini adalah yang terbesar semenjak Oktober 2000 seperti mana kenaikan pada 4 Mei yang lalu. Kini harga petrol telah naik sebanyak 52 sen berbanding harga sebelum 1 Oktober 2000 dan diesel pula meningkat sebanyak 78 sen mulai tarikh yang sama. Pemuda BA percaya bahawa IHP akan meningkat lagi sekitar satu peratus dalam masa terdekat ini kepada 3.4 peratus ekoran kenaikkan harga minyak seperti mana peningkatan IHP daripada 1.4 peratus kepada 2.4 peratus pada Mei 2005 yang lalu. Jika keadaan ini benar-benar berlaku, bermakna rakyat daripada semua lapisan akan menanggung beban hidup yang lebih besar akibat sikap tidak prihatin Kerajaan BN.

Memandangkan keadaan kenaikkan harga minyak kali ini telah menjejaskan kepentingan rakyat, maka Pemuda BA menuntut:

1.Kerajaan BN hendaklah melakukan satu kajian semula ke atas tindakan menaikkan harga minyak pada 30 Julai 2005 yang lalu supaya ia tidak lagi membebankan rakyat;

2.Kerajaan BN hendaklah membuat satu kajian bagaimana rakyat boleh memanfaatkan sumber petroleum negara sebaik mungkin dan tidak lagi menghadapi risiko kenaikan harga minyak setiap kali berlaku kenaikan harga minyak global;

3.Kerajaan BN hendaklah menarik balik atau menangguhkan kenaikkan harga minyak yang terbaru ini sehingga satu rumusan yang baru yang menganbil kira pandangan semua pihak dibuat;

4.Kerajaan BN menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas yang dianggotai oleh wakil kerajaan, pembangkang, persatuan pengguna, persatuan peniaga, pengusaha penangkutan dan NGOs untuk menilai keperluan kenaikan harga minyak dan kesannya kepada rakyat setiap masa;

5.Kerajaan BN mengarahkan Petronas menanggung sebahagian kos subsidi minyak sekiranya Kerajaan BN ‘tidak berkemampuan’ lagi berbuat demikian; dan

6.Kerajaan BN hendaklah memastikan tidak berlaku sebarang kenaikan harga barangan pengguna dalam tempoh terdekat dan dalam masa yang sama ia tidak memberi kesan buruk kepada peniaga dan pengusaha.

Sekian pandangan dan tuntuan kami. Harapan kami ialah supaya pihak YAB Datuk Seri dapat mengambil langkah yang sesuai untuk kepentingan rakyat keseluruhannya.


Yang menjalankan amanah,


SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

MOHD EZAM MOHD NOOR
Ketua Angkatan Pemuda Keadilan