Thursday, August 04, 2005

MEMORANDUM MENDESAK KAJIAN SEMULA TERHADAP KENAIKAN HARGA MINYAK

Kepada,

YAB Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi,
Perdana Menteri Malaysia,
Pejabat Perdana Menteri,
Blok Utama,
Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA

3 OGOS 2005

YAB Datuk Seri,

MEMORANDUM MENDESAK KAJIAN SEMULA TERHADAP KENAIKAN HARGA MINYAK

Pemuda Barisan Alternatif (Pemuda BA) memandang serius kenaikan harga diesel dan petrol yang berkuat kuasa pada 30 Julai 2005 yang lalu kerana ia ternyata membebankan rakyat dan memberikan kesan yang buruk terhadap kos hidup rakyat secara keseluruhan. Kenaikkan harga petrol sebanyak 10 sen dan diesel sebanyak 20 sen ini adalah kali yang kesepuluh semenjak 1 Oktober 2000 dan kali ketiga bagi tahun 2005. Pemuda BA membantah kenaikan harga minyak ini dan mendesak supaya ia dikaji semula bagi memastikan ia tidak memberi kesan kepada indeks harga pengguna (IHP).

Pemuda BA mengakui bahawa harga minyak mentah dunia hari ini telah melebihi US$60 setong, tetapi tidak bermakna kita wajar untuk terus menaikkan harga minyak sehingga rakyat menanggung beban yang begitu kesan baik pada harga minyak ataupun harga barangan pengguna lain yang akan turut naik kesan kenaikan harga minyak tersebut. Adalah menjadi satu tanggungjawab bagi kerajaan untuk memberikan subsidi kepada rakyat bagi mengurangkan harga minyak sesuai dengan kedudukan Malaysia sebagai negara pengeluar minyak.

Petronas sebagai sebuah syarikat kerajaan yang diberi hak untuk mencari gali dan menguasai industri petroleum negara telah mencatatkan keuntungan besar seperti yang umumkan baru-baru ini. Pada tahun kewangan berakhir Mac 2005, Petronas mencatat pendapatan sebanyak RM120 bilion dengan keuntungan bersih melebihi RM58 bilion. Tiga perempat daripada pendapatan Petronas berpunca daripada sumber tempatan yang secara langsung merupakan harta rakyat negara ini. Ini bermakna, kerajaan dapat mengurangkan beban rakyat sekiranya 10 peratus daripada pendapatan Petronas digunakan untuk membiayai subsidi minyak yang berjumlah sekitar RM9 bilion.

Pemuda BA menyedari bahawa rakyat tidak seharusnya bergantung seratus peratus kepada subsidi terutama ketika ekonomi negara berada dalam keadaan ‘nazak’ selepas perbelanjaan besar-besaran untuk projek mega dan mewah kroni-kroni pemimpin Kerajaan BN zaman Tun Dr Mahathir Mohamed. Tetapi kerajaan tidak sepatutnya melepaskan diri daripada ‘membail out’ rakyat pada masa ini. Peningkatan mendadak kos hidup telah dirasai oleh semua rakyat sama ada yang tinggal di bandar atau luar bandar. Kenaikan harga minyak pada Mei 2005 misalnya, ternyata telah memberikan kesan besar terhadap harga barangan pengguna di seluruh negara.

Kenaikan pada kali ini adalah yang terbesar semenjak Oktober 2000 seperti mana kenaikan pada 4 Mei yang lalu. Kini harga petrol telah naik sebanyak 52 sen berbanding harga sebelum 1 Oktober 2000 dan diesel pula meningkat sebanyak 78 sen mulai tarikh yang sama. Pemuda BA percaya bahawa IHP akan meningkat lagi sekitar satu peratus dalam masa terdekat ini kepada 3.4 peratus ekoran kenaikkan harga minyak seperti mana peningkatan IHP daripada 1.4 peratus kepada 2.4 peratus pada Mei 2005 yang lalu. Jika keadaan ini benar-benar berlaku, bermakna rakyat daripada semua lapisan akan menanggung beban hidup yang lebih besar akibat sikap tidak prihatin Kerajaan BN.

Memandangkan keadaan kenaikkan harga minyak kali ini telah menjejaskan kepentingan rakyat, maka Pemuda BA menuntut:

1.Kerajaan BN hendaklah melakukan satu kajian semula ke atas tindakan menaikkan harga minyak pada 30 Julai 2005 yang lalu supaya ia tidak lagi membebankan rakyat;

2.Kerajaan BN hendaklah membuat satu kajian bagaimana rakyat boleh memanfaatkan sumber petroleum negara sebaik mungkin dan tidak lagi menghadapi risiko kenaikan harga minyak setiap kali berlaku kenaikan harga minyak global;

3.Kerajaan BN hendaklah menarik balik atau menangguhkan kenaikkan harga minyak yang terbaru ini sehingga satu rumusan yang baru yang menganbil kira pandangan semua pihak dibuat;

4.Kerajaan BN menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas yang dianggotai oleh wakil kerajaan, pembangkang, persatuan pengguna, persatuan peniaga, pengusaha penangkutan dan NGOs untuk menilai keperluan kenaikan harga minyak dan kesannya kepada rakyat setiap masa;

5.Kerajaan BN mengarahkan Petronas menanggung sebahagian kos subsidi minyak sekiranya Kerajaan BN ‘tidak berkemampuan’ lagi berbuat demikian; dan

6.Kerajaan BN hendaklah memastikan tidak berlaku sebarang kenaikan harga barangan pengguna dalam tempoh terdekat dan dalam masa yang sama ia tidak memberi kesan buruk kepada peniaga dan pengusaha.

Sekian pandangan dan tuntuan kami. Harapan kami ialah supaya pihak YAB Datuk Seri dapat mengambil langkah yang sesuai untuk kepentingan rakyat keseluruhannya.


Yang menjalankan amanah,


SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

MOHD EZAM MOHD NOOR
Ketua Angkatan Pemuda Keadilan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com