Friday, July 01, 2005

Semalam Bersama PAS Putrajaya

Putrajaya, 1 Julai 2005 : Semalam, bertempat di Dewan Orang Serbaguna, Presint 8, PAs Kawasan Putrajaya telah mengadakan Jamuan Makan Malam Bersama Pimpinan PAS iaitu, Y.Bhg. Tn. Hj. Mohamad Sabu dan YB. Ir. Amiruddin Hamzah.

Antara pimpinan lain yang hadir adalah, Tn. Hj. Ishak Surin (TPJ 2 BPPWP), Tn. Hj. Nordin Mohd Nor (SU BPPWP), Sdr. Kamaruzaman (TKP DPPWP), Sdr. Khuzaini (SU DPPWP), Ustz. Nuridah Salleh (Ketua DMPWP), TPJ PAS Selangor dan juga Ketua DMP Selangor.

Mengikut maklumat yang diberikan oleh YDP PAS Putrajaya, Ust. Mohamad Nazir, program tersebut sepatutnya diadakan di Dewan Makan Masjid Putrajaya dan pihak PAS bersedia untuk menanggung segala kos yang diminta. Namun ekoran dari desakkan UMNO Putrajaya, pihak pengurusan Masjid terpaksa membatalkan tempahan yang telah dibuat sebelum ini.

Walaubagaimana pun, perancangan Allah itu adalah yang terbaik. Program tersebut telah dipindahkan ke Dewan Serbaguna, Presint 8 dan tidak sedikit pun melunturkan semangat ahli - ahli dan penyokong PAS yang bercadang untuk menghadiri program tersebut. Lebih 250 orang telah hadir untuk mendengar buah fikiran kedua - dua pimpinan PAS Pusat ini.

Program yang dipengerusikan oleh Tim. Ketua Pemuda DPPWP, Sdr. Kamaruzaman telah dimulai dengan jamuan makan malam. Program Disambung dengan Ucapan aluan dari YDP Putrajaya dan seterusnya Y.Bhg. Tn. Hj Nordin Mohd Nor selaku Setiausaha mewakili Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan.

Ucapan seterusnya disampaikan oleh YB. Amiruddin. Dalam ucapan beliau, imbasan kenangan sejarah awal pembangunan Putrajaya menarik hati para hadirin bila mana beliau menyatakan bahawa Putrajaya sebenarnya tiada tasik atau pun kolam semulajadi.

Jambatan Wawasan yang tersergam indah kini asalnya dibina diatas tanah sebelum Kerajaan BN mengali tanah dibawahnya untuk dibentuk sebuah alur yang bersambung dengan tasik buatan dibelakang Masjid Putrajaya. Bayangkanlah berapa banyak kos diperlukan untuk kerja - kerja mengali itu?

Seterusnya, beliau juga mendesak agar PAS di Putrajaya dapat memberikan saingan hebat kepada UMNO dan BN di Putrajaya. Walaupun masih berstatus 'Junior' namun Putrajaya tidak perlu berasa rendah diri dan lemah. Seharusnya PAS Putrajaya terkedepan dalam menyuarakan teriakan rakyat memandangkan kedudukannya yang terletak didalam kawasan Pusat Pentadbiran Negara.

Masyarakat Putrajaya tidak perlu risau akan kehadiran PAS dan seharusnya mereka menerimanya dalam keadaan yang sejahtera. Kehadiran PAS di Putrajaya adalah sebagai agen pembangkang yang akan sentiasa berjuang untuk hak rakyat di Putrajaya dan memastikan Putrajaya ditadbir mengikut kehendak rakyat. Bantahan hanya akan dibuat sekiranya terdapatnya perkara - perkara yang menganggu keharmonian fizikal dan rohani penduduk Putrajaya. Justeru itu, tiada apa yang perlu dirisaukan bila mana masyarakat pro-PAS wujud di Putrajaya.

YB. Amiruddin juga menasihatkan agar ahli PAS tidak perlu segan dan takut untuk mempertahankan hak dan kebebasan dalam menjalankan program. Segala halangan termasuklah gangguan Polis dan Penguasa terhadap program PAS perlu dihadapi secara tenang dan berhemah tetapi tidak beralah dan menyerah kalah. Ahli PAS perlu berani untuk kehadapan menyatakan kebenaran dan mempertahankan hak demokrasi.

Hj. Mat Sabu yang menyambung ucapan YB Amiruddin pula telah menekankan akan pentingnya ahli PAS bersifat Pemberani. PAS perlu melihat keperluan realiti dan berjuang untuk mendapatkan hak memerintah dan kebebasan demokrasi. Beliau juga menegur ahli PAS yang mentafsirkan sikap zuhud dalam erti yang sempit. Beliau menyatakan bahawa PAS sememangnya ingin mendapatkan kuasa politik, dan sosio-ekonomi. PAS perlu merebut peluang untuk menguasai negara. Tidak salah untuk ahli PAS berebut mengambil dunia dan dalam masa yang sama perlulah berusaha untuk akhirat seolah - olah akan mati esok hari.

Beliau mahu ahli PAS mengambil kesempatan yang ada dan segala peluang yang terhidang untuk mengasah senjata perjuangan dan menegakkan daulah Islam di Malaysia. Beliau juga mahu agar demokrasi dalam Pilihanraya menjadi agenda perjuangan PAS. Beliau mengajak agar semua ahli PAS berdiri bersama pimpinan untuk mendesak demokrasi dalam Pilihanraya Negara dikembalikan. PAS harus menjuarai perjuangan mendapatkan demokrasi, tetapi itu bukan bermaksud PAS adalah hamba kepada demokrasi.

Demokrasi adalah alat, begitu juga dunia. Ianya alat yang kita perlu dapatkan secara serius dan memastikan penipuan dalam Pilihanraya pada masa akan datang tidak berlaku. Beliau berharap agar ahli mematuhi pimpinan dan menyokong barisan kepimpinan yang ada untuk memperkuatkan Jamaah.

Beliau menyatakan bahawa, gerakan Islam memainkan peranan penting dalam menjaga hak umat Islam masa kini. Jika PAS tiada di Malaysia, pastilah hak umat Islam akan dihapuskan sedikit demi sedikit. lihat sajalah pada apa yang berlaku hari ini, umat Islam yang diracuni dengan dakyah sekular sudah berani mencabar undang - undang Islam dan juga hak Umat Islam. Dengan idea Islam Liberal mereka berjuang untuk mendapatkan hak asasi bagi semua rakyat.

Kehadiran PAS sebagai sebuah gerakan Islam dalam kancah politik negara dilihat amat berguna dan penting sama ada sebagai Pembangkang atau pun Kerajaan. Beliau menambah bahawa Kerajaan BN yang ada pada hari ini ada warisan kegagalan Mahathir yang kini terpaksa menanggung jutaan hutang dalam akaun negara. Malaysia juga kian merapati Indonesia dalam soal - soal rasuah. Budaya rasuah yang berlaku dalam negara menyebabkan rakyat tidak mendapat hak yang sepatutnya.

Segala projek pembangunan yang dibuat, didirikan dengan menggunakan produk yang berkualiti kelas ketiga. Lihatlah apa yang berlaku dalam Kes Makmal Komputer di Pantai timur dan juga Projek Jalanraya di MRR2 di Kepong. Kemusnahan dan Keretakan yang berlaku di beberapa Sekolah tajaan kerajaan juga disembunyikan. Semua ini adalah kerana ketidaktelusan pihak - pihak berwajib yang tidak bertanggungjawab.

Harga minyak juga kian naik dan dijangkakan dalam tempoh terdekat ini akan berlaku lagi kenaikkan harga minyak dalam pasaran ekoran kenaikkan harga minyak dunia. Kerajaan tidak serius untuk mengatasi masalah harga minyak ini dan menjadikan rakyat sebagai mangsa kenaikkan harga minyak.

Hj. Mat Sabu mendesak agar rakyat memerhatikan kegagalan BN dalam beberapa tahun kebelakangan ini dalam menghadapi kemelut ekonomi. Budaya rasuah yang berlaku dalam UMNO dan BN kian parah dan mereka seharusnya ditolak oleh rakyat dalam Pilihanraya akan datang.

Majlis pada malam tadi diakhiri dengan Pelancaran Laman Web PAS Putrajaya oleh Hj. Mat Sabu. Laman Web tersebut boleh dilawati di http://www.pas.putrajaya.org/. selain itu seramai 20 orang bekas ahli UMNO telah menyerahkan borang keahlian bagi menyertai PAS. PAS Wilayah Persekutuan mengalu -alukan kedatangan mereka, dan mengharapkan agar lebih ramai ahli UMNO mengambil langkah sedemikian.

Majlis telah ditamatkan dalam pukul 11.00 malam, dan Insya Allah itu adalah petanda baik untuk perkembangan PAS di Putrajaya. Kepada semua kakitangan Kerajaan, PAS mengajak mereka untuk bersama menghadiri program - program PAS kerana tiada apa yang perlu ditakutkan dan Allah sentiasa bersama - sama golongan yang benar, sama ada mereka susah atau senang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com