Tuesday, June 28, 2005

PAS WP mahu Isa dilucutkan jawatan Menteri WP

Oleh Salmiyah Harun

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Hrkh) - PAS Wilayah Persekutuan hari ini mengemukakan laporan dan mendesak Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat kes rasuah politik Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Samad semasa pemilihan Umno tahun lalu.

Pesuruhjayanya, Mohamad Noor Mohamad berkata, ini kerana perbuatan Isa itu melibatkan kepentingan ramai malah beliau juga tidak mahu kedudukan Menteri Wilayah dipegang oleh tokoh yang sudah hilang kepercayaan rakyat.

Laporan PAS Wilayah itu diserahkan kepada pagawai yang bertugas, Sabaruddim Baki di pejabat BPR Wilayah Persekutuan jam 10 pagi tadi.

Menurut Mohamad Noor, walaupun kes rasuah Isa hanya di dalam Umno sahaja, perbuatannya boleh menjejaskan integriti dan reputasi kerajaan.

Tambahnya, memandangkan Isa juga mempunyai kepentingan dalam kerajaan, perbuatannya juga akan menghilangkan kepercayaan rakyat kepadanya.

"Biarpun Isa hanya bersalah di sisi Lembaga Disiplin Umno, dia juga dianggap bersalah kepada kerajaan khususnya rakyat," katanya semasa ditemui.

Mohamad Noor juga meminta Perdana Menteri, Abdullah Badawi bukan sahaja mengarahkan Isa meletakkan jawatan dalam Umno bahkan turut meletakkan jawatan dalam kerajaan supaya tidak berlaku 'double standard' kerana kepentingan kerajaan perlu dijaga.

Beliau turut mempersoalkan kenapa kerajaan boleh menggantung jawatan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, S Sothinathan selama tiga bulan kerana bercanggah dengan dasar kerajaan, sedangkan perbuatan rasuah oleh Isa tidak menjejaskan jawatannya dalam kerajaan.

Justeru, katanya, perdana menteri dengan kuasa yang ada padanya sepatutnya boleh melucutkan jawatan Isa di dalam kerajaan demi menjaga kepentingan kerajaan serta rakyat.

Turut mengiringi penyerahan laporan kepada BPR ialah exco PAS Wilayah Persekutuan Nordin Mohd Nor, Abdul Halim Hassan, Mohd Azemi Azman Johari; Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Kamarulzaman Mohamad; Ketua Muslimat, Nuridah Mohd Salleh; Ketua Penerangan Mejar(B) Abdul Rashid Hassan Basri; YDP Bandar Tun Razak, Shukor Abdul Aziz dan Setiausaha PAS Putrajaya, Azrul Affendi. – lanh

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com