Monday, June 27, 2005

Memorandum Yang Dihantar Kepada YB. Dato' Dr. Mashitah Ibrahim

Y.B. DATO' DR. MASHITAH BINTI IBRAHIM
Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri,
Aras 3, Blok Barat, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA.

YB. Dato’,

Assalamualaikum w.w

MEMORANDUM MEMOHON PENJELASAN TERHADAP ISU JUAL DIRI KERANA TERDESAK

Merujuk kepada jawapan YB. Dato’ dalam ruangan ‘Anda musykil, Dr. Mashitah Jawab’ di Harian Metro bertarikh 19 Jun 2005 yang bertajuk “Jual Diri Kerana Terdesak”.

Adalah dengan ini Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) bersama Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) menyatakan rasa kekesalan terhadap jawapan yang telah diberikan oleh pihak YB. Dato’ kerana;

1. Kenyataan darurat yang dinyatakan dalam jawapan YB. Dato’ agak samar, ringkas dan tidak diperincikan sehingga mewujudkan banyaknya tafsiran terhadap konteks darurat itu sendiri.

2. Kenyataan bahawa melacur itu dimaafkan dalam keadaan darurat telah menimbulkan banyak kekeliruan memandangkan soalan yang diberikan oleh En. Razin itu merujuk kepada isu semasa yang melibatkan masalah ibu tunggal masakini yang terpaksa melacur bagi menyara anak mereka.

3. DPPWP dan DMPWP melihat bahawa jawapan yang diberikan oleh YB. Dato’ itu tidak bersesuaian dengan suasana dan masalah masyarakat sekarang yang kita semua belum lagi dapat menafsirkannya sebagai suasana darurat. Umat Islam masih memiliki Baitulmaal sebagai pusat mendapatkan bantuan dan tiada istilah darurat dalam keadaan umat Islam masa kini.

4. DPPWP dan DMPWP juga mendapati bahawa jawapan YB. Dato’ itu telah mewujudkan polemik dan keraguan dalam masyarakat muslim di Malaysia yang dikhuatiri bakal menjadikan alasan darurat yang tidak jelas ini sebagai batu loncatan kepada membiaknya masalah pelacuran kalangan ibu tunggal dalam Negara.

Image hosted by Photobucket.com
-Ketua Pemuda Wilayah, Ust. Riduan bersama Exco DPPWP menyerahkan memorandum kepada Wakil Dr. Mashitah-

Diatas beberapa alasan diatas, pihak DPPWP dan DMPWP berharap agar pihak YB. Dato’ dapat;

1. Mengeluarkan penjelasan terperinci berhubung istilah darurat dan realiti semasa masalah ibu tunggal yang dipersoalkan melalui media tempatan berhubung perkara ini bagi mengelakkan umat Islam terus berada dalam kekeliruan.

2. Memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana mewujudkan rasa sangsi dan kegusaran terhadap hukum yang dikeluarkan oleh YB. Dato’ sebelum ini.

Secara keseluruhannya, DPPWP dan DMPWP berharap agar pihak YB. Dato’ dapat berhati – hati dalam memberikan jawapan berhubung perkara yang melibatkan soal – soal hukum dalam apa jua makalah dan media atau ditempat umum bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dikalangan Umat Islam di Malaysia.

Sekian. Pandangan dan desakan kami.

Yang Benar,

Riduan Mohd Nor
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Nuridah Bt Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com