Tuesday, August 16, 2005

ISU AP- DEDAH DAH DAKWA BILA ?

Oleh : Mohamed Hanipa bin Maidin

Kini rakyat sudah mengetahui siapakah raja AP di Malaysia. Menurut senarai yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada petang 18hb Julai 2005 yang lalu terdapat empat orang iaitu Tan Sri Nasimuddin SM Amin, Datuk Syed Azman Syed Ibrahim, Datuk Mohd. Haniff Abdul Aziz dan Datuk Azzuddin Ahmad, yang telah diberikan lebih 25,000 permit import (AP) untuk mengimport kereta mewah pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, Syed Azman, Mohd. Haniff dan Azzuddin menerima sejumlah 16,214 AP menerusi beberapa syarikat manakala Nasimuddin, pengarah urusan Naza Motor Group, memegang 9,412 AP kebanyakannya menerusi Naza Kia Sdn. Bhd.

Senarai meliputi 67,158 AP itu bagi tahun ini dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri ekoran timbulnya kontroversi mengenai pemberian AP. Terdapat dua jenis AP iaitu AP terbuka dan AP francais.

Bagi AP terbuka, pemegangnya dibenarkan mengimport kereta baru dan kereta terpakai dari mana-mana sumber tetapi pemberian AP ini dihentikan pada 1988 manakala AP francais pula diberikan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai perjanjian agensi eksklusif dengan pengeluar kereta asing.

Antara penerima lain dalam bilangan besar ialah Hyumal Motor Sdn Bhd yang dimiliki oleh Berjaya Group Bhd, Sime Darby Bhd dan Tan Sri Vincent Tan yang diperuntukan 8,573 AP bagi kereta Hyundai.

Isu AP itu menjadi hangat apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemberiannya yang terlalu banyak telah menyebabkan berlaku persaingan tidak adil kepada kereta nasional, Proton.

Dr Mahathir merupakan penasihat kepada Proton. Katanya ramai pengimport membuat pengisytiharan harga yang rendah dan menjual kereta-kereta ini lebih murah daripada harganya yang sebenar.

Mahathir juga mempersoalkan bagaimana 20 syarikat diberikan sebahagian besar daripada 50,000 AP sedangkan matlamat kerajaan adalah untuk membantu sebanyak mungkin peniaga Bumiputera dengan mengagih-agihkan permit berkenaan.

Syarikat-syarikat milik Nasimuddin ialah Naza Kia Sdn, Next Car Sdn Bhd, NZ Wheel (M) Sdn Bhd, Nasim Sdn Bhd dan Naza Brabus, yang mengimport kereta-kereta seperti
Kia, Mercedes Benz, Peugeot, Ferrari, Modena, Maserati, Rolls Royce, Bentley dan Brabus.

Syed Azman dan Mohd Haniff mengimport kereta mereka menerusi syarikat-syarikat seperti Westcar Motorsport Sdn Bhd, Atlantic Star Auto Sdn Bhd, Auto Pacific Star
Sdn Bhd, Go Smartstar Sdn Bhd, Global World Trade Sdn Bhd dan Territorial Star Sdn Bhd. Seorang lagi pemilik saham di Weststar ialah Azzuddin. Syarikat mereka
mengimport kereta-kereta seperti Honda, Ford, Chevrolet, Smart, Suzuki Audi.

Sebagai rakyat kita berterima kasih kepada kerajaan kerana bersedia mendedahkan senarai penerima AP kepada umum. Bagaimanapun jika kerajaan merasakan tugas mereka telah selesai dengan pendedahan penerima AP ini ia adalah satu kesilapan yang besar. Sebagai pembayar cukai rakyat berhak untuk mengetahui sama ada pemberian AP tersebut benar-benar dibuat mengikut prosedur undang-undang ?

Beberapa persoalan undang-undang boleh dibangkitkan di dalam isu pemberian AP ini yang antara lain adalah seperti di bawah ini :-

1- Mengapakah tidak terdapat pembahagian yang adil dan saksama AP kepada rakyat di negara ini ?

2-Mengapakah terdapat inidividu-individu tertentu seperti Tan Sri Nasimuddin SM Amin, Datuk Syed Azman Syed Ibrahim, Datuk Mohd. Haniff Abdul Aziz dan Datuk Azzuddin Ahmad, telah diberikan lebih 25,000 permit import (AP) untuk mengimport kereta mewah pada tahun ini dan apakah asas daqn kriteria yang digunakan dalam memberikan AP tersebut ? Adakah unsur-unsur kronisme benar-benar bersih dalam pemberian AP kepada
individu-individu ini ?

3-Mengapakah terdapat beberapa bekas kakitangan MITI yang diberikan AP dan adakah pemberian tersebut benar-benar bersih daripada unsur-unsur salahguna kuasa (malpractices) dan rasuah ?

4-Mengapakah terdapat ahli kabinet seperti Menteri Pelancongan Datuk Dr. Leo Michael Toyad yang memiliki 15 peratus saham Mega Otomobil Sdn. Bhd., iaitu syarikat juga dikurniakan AP ?

5-Mengapakah MITI menukar polisi isu pengeluaran AP tahun lepas tanpa kebenaran ( approval ) daripada Kerajaan seperti yang dibangkitkan oleh Pengerusi Backbencher ( BBC ) Dato' Shahrir Samad ? ( Dato' Shahrir telah mempersoalkan tatacara yang digunakan dalam pengeluaran AP. Menurut beliau bilangan AP pada asalnya berdasarkan 10 peratus pengeluaran kereta tetapi pada tahun 2004 ianya ditukar kepada 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran kenderaan ( 10 percent of total vehicle production ) yang mana pertukaran polisi tersebut telah mengakibatkan terdapat peningkatan yang mendadak terhadap pengeluaran AP daripada 20,000 kepada 60,000 .

6- Mengapakah MITI secara mudah menukar polisi ini tanpa kebenaran kerajaan dan mengapakah kerajaan sendiri tidak membuat pemantauan terhadap perkara ini?

7- Mengapakah Rafidah sebagai menteri kabinet tidak melaporkan pertukaran polisi dalam mesyurat kabinet yang diadakan setiap minggu ?

Persoalan undang-undang di atas bagi saya perlu dijawab dan bagi menjawab persoalan -persoalan tersebut adalah penting bagi Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengambil sikap proakif membuat siasatan secara terperinci .

Kita tidak mahu pendedahan isu AP ini hanya gimik dan retorik politik semata-mata. Masa untuk bertindak Pak Lah bukan berlakon !!!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com