Tuesday, August 16, 2005

Pemimpin UMNO Perlu Bersikap Positif

Kuala Lumpur, 16 Ogos 2005: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berasa amat kesal atas sikap tergopoh-gapah Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui kenyataan tidak demokratik beliau di dalam akhbar Utusan Malaysia yang bertajuk 'Terima Islam Hadhari sebelum bermuzakarah' semalam (15 Ogos 2005).

Kenyataan beliau itu, lebih kepada satu penolakkan dan memaksa PAS untuk menerima konsep Islam Hadhari dan Perjuangan UMNO. Ianya jelas bertentangan dengan Perlembagaan PAS yang berteraskan Islam yang Syumul.

Seandainya semua pemimpin UMNO bersikap sedangkal pemikiran beliau maka semakin lemahlah umat Melayu yang mahukan suatu perubahan murni dalam arus politik negara. UMNO dan PAS sememangnya berbeza dari segi ideologi dan bentuk perjuanganya, tetapi itu tidak bermakna UMNO dan PAS perlu untuk terus bertentangan dalam semua perkara. UMNO juga tidak berhak untuk memaksa PAS tunduk dan menuruti segala dasar yang dibawakan mereka selaku Parti yang memerintah.

DPPWP percaya bahawa pelawaan Presiden PAS baru-baru ini adalah satu ruang diskusi yang seharusnya dimanfaatkan oleh pimpinan UMNO dalam menilai dan menjana masa depan bangsa Melayu di negara ini.

Sikap ego dan keangkuhan pimpinan UMNO yang enggan menerima peluang ini secara positif haruslah diketepikan. UMNO seharusnya bersikap terbuka dan berlapang dada sebagaimana janji mereka sebelum ini yang kononnya bersedia bermuzakarah dengan pimpinan PAS pada bila-bila masa.

Pada masa kini, terlalu banyak isu yang melanda umat Melayu dan harus dibincangkan secara bersama bagi mencari satu kesepaduan dalam usaha memajukan bangsa Melayu. Bermula dari isu umat Islam seperti trademark produk halal, gejala maksiat, seterusnya kepada permasalahan ekonomi dan politik yang lebih meluas. Kesemuanya perlukan satu ruang untuk diperbincangkan.

Sampai bila UMNO ingin terus berdegil dan tidak mahu menerima pandangan orang lain. PAS sedia menerima teguran pimpinan UMNO dan memperbaiki kelemahan. Adakah UMNO berani membuat perubahan seperti itu?

DPPWP berharap agar pimpinan UMNO memikirkan semula tentang pelawaan Presiden PAS sebelum ini. Seperti kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa:

“Jika tidak diadakan perbincangan macam mana hendak ditentukan hala tujunya terutamanya perkara-perkara baru,”

DPPWP juga berharap agar pihak pimpinan UMNO melihat dunia Melayu ini secara luas dan tidak setakat dalam kantung mereka sahaja.

DPPWP juga mempelawa kepada Pimpinan PAS dan UMNO untuk mengadakan Muzakarah ini di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Putrajaya. DPPWP juga tiada masalah jika Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan berminat untuk bekerjasama bagi menjayakan muzakarah.

Untuk itu DPPWP dan seluruh rakyat menanti jawapan pimpinan UMNO. Biarlah muzakarah ini berlangsung diatas meja yang penuh rasa keharmonian dan bukannya diatas kertas atau catatan media massa sahaja.


Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com