Monday, April 17, 2006

SAKIT ?...JOM KE ' RUMAH SEMBELIH '

Dipetik dari AgendaDaily.Com: ....untuk kita kongsi dan fikirkan

OLEH : RUHANIE AHMAD

Hari ini wujud macam-macam jenis perniagaan. Ada perniagaan yang sah. Ada perniagaan yang haram. Ada perniagaan untuk memuaskan nafsu seks. Ada perniagaan mengenai orang separuh mati. Ada juga perniagaan mengenai orang yang sudah mati. Pendek kata, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Siapa sanggup pecah royong, tentu dia dapat sagunya.

Perniagaan mengenai orang separuh mati, khususnya perniagaan di bidang perkhidmatan kesihatan dan perubatan pakar, nampaknya mendatangkan pulangan yang amat lumayan.

Golongan yang kaya raya dan takut mati sanggup membayar kos yang melangit tingginya untuk menyelamatkan diri mereka daripada ajal dan maut. Lantas, mereka pun membayar apa sahaja kos yang ditentukan oleh pengoperator pusat perubatan pakar.

Mereka sanggup membayar puluhan ribu ringgit untuk sesuatu perkhidmatan perubatan di sesebuah pusat perubatan pakar. Malah, mereka juga sanggup membayar ratusan ribu ringgit asalkan peluang survivalnya dikatakan melebihi 65 peratus..

Golongan ini yakin, kononnya, lagi mahal kos perubatan pakar yang mereka bayar, lagi tinggilah status sosial mereka di mata mayarakat. Maksudnya, mereka akan rasa lebih hebat kalau membayar ratusan ribu ringgit walaupun untuk suatu pembedahan kecil.

Tetapi, bukan orang kaya sahaja yang didatangi maut, yang sering jatuh sakit teruk, atau sering mengidap penyakit kronik yang memerlukan rawatan pakar. Penyakit kronik juga menemui golongan bergaji rendah serta insan papa kedana.

Image hosting by Photobucket

Hospital pakar, nampaknya seolah-olah tidak mempunyai belas ehsan langsung kepada kumpulan manusia sebegini. Mereka akan dikenakan caj perkhidmatan yang sama dengan golongan kaya raya.

Ada duit, ada perkhidmatan pakar. Tak ada wang, nyawa biarkan sahaja melayang. Kaya atau miskin sama sahaja bayarannya. Kaya miskin, nampaknya seolah-olaqh tiada ada perbezaan langsung kepada pengoperator pusat perubatan pakar.

Jadi, nak buat macam mana? Si miskin dan si papa kedana pun terpaksalah meminta-minta. Mereka minta sana, mereka minta sini. Mereka minta belas kesian rakyat jelata di seluruh negara. Sementara mereka meminta-minta, penyakit yang dihidapnya jadi semakin serius.

Pihak media pun sering mensensasikan rayuan dan permintaan sedekah seperti ini. Kisah hidup keluarga pengidap penyakit kronik yang memerlukan khidmat pakar di siarkan di kaca TV.

Image hosting by Photobucket

Sebab itulah hampir setiap hari ada sahaja berita mengenai rakyat Malaysia memerlukan bantuan berpuluh atau beratus ribu ringgit untuk membiayai pembedahan sesuatu penyakit kronik. Kadang-kadang, oleh kerana terlalu terdesak, ada juga pihak yang memerlukan bantuan terpaksa bertikam lidah secara terbuka dengan pihak kerajaan menerusi media.

Perbuatan meminta-minta seperti ini sudah sampai ke satu peringkat di mana masyarakat umum seolah-olah jadi jelak dan meluat. Lepas mereka menderma kepada seorang pesakit, seorang lagi pesakit muncul meminta bantuan.

Jadi, macam mana agaknya masyarakat umum hendak melayani rayuan demi rayuan sebegini? Rakyat jelata pun ada komitmen masing-masing. Mana larat mereka asyik hendak menderma, menderma dan menderma pada setiap masa.

Anehnya, tidak ada sesiapa pun, termasuk mana-mana media, yang mahu bersuara dan bertanya, mengapakah pembedahan untuk sesuatu penyakit kronik di negara ini memakan kos berpuluh atau beratus ribu ringgit?

Kenapakah tidak ada pihak yang bertanya, bagaimanakah kos rawatan itu ditentukan? Kenapa tidak ada pihak yang meminta pihak pengoperator hospital pakar supaya memberikan pecahan kepada komponen harga yang ditetapkan?

Mungkin ada pihak akan berkata, ini bukan tugas rakyat jelata untuk mempersoalkannya. Tetapi, mengapakah pihak media yang sering menjuarai rayuan untuk kes-kes kronik ini juga tidak mahu bertanya, apakah yang menyebabkan pembedahan sesuatu penyakit kronik mencecah berpuluh atau betratus ribu ringgit harganya?

Pihak media mungkin mengatakan tugas ini pun bukan tanggungjawabnya. Baiklah. Kalau begitu, kenapakah kerajaan juga mendiamkan diri? Mengapakah kerajaan pun seolah-olah merestui amalan yang boleh disifatkan sebagai penindasan ini?

Kementerian Kesihatan bagaimana? Bukankah kementerian ini sepatutnya bertindak proaktif untuk mencari penyelesaian mengenai penindasan seperti ini? Tidakkah kementerian ini perlu mengkaji, apakah yang sebenarnya menyebabkan pembedahan penyakit kronik di sesebuah hospital pakar di negara ini jadi super mahal?

Mustahil kalau kementerian berkenaan tidak menyedari masalah ini. Tak masuk akal kalau kementerian ini insaf akan masalah tersebut, tetapi mendiamkan diri dan terus berpeluk tubuh.

Kementerian Kesihatan bertindak demikian mungkin kerana tindakan ini menjadikannya tidak popular dengan pengoperator pusat-pusat perubatan pakar. Tetapi, bukankah Kementerian Kesihatan wujud demi rakyat jelata?

Oleh itu, sewajarnyalah Kementerian Kesihatan pastikan, apakah sebenarnya yang menyebabkan pembedahan untuk penyakit kronik jadi terlalu mahal? Adakah mahal kerana kepakaran di bidang itu amat terhad? Adakah mahal kerana kos ubat yang sukar diperolehi? Adakah mahal kerana fasiliti dan kelengkapan pembedahan yang luarbiasa? Adakah mahal akibat mentaliti pengusaha hospital pakar yang bertindak seperti lintah darat?

Ada pihak mendakwa, kos rawatan itu masih murah kalau dibandingkan dengan rawatan di luar negara. Jawapan seperti ini tidak adil. Mengapakah demi kesejahteraan rakyat Malaysia, perlu dibuat perbandingan dengan perkhidmatan di negara asing?

Jadi, setelah dirongkai seluruh sebab dan puncanya, Kementerian Kesihatan hendaklah mengambil keputusan mengenai struktur harga perkhidmatan dan rawatan perubatan pakar di semua hospital di negara ini.

Pada waktu yang sama, kerajaan juga hendaklah memperkenalkan insentif-insentif tertentu supaya pengoperator pusat perubatan pakar tidak mengalami kerugian apabila mereka memberikan perkhidmatan kepada golongan miskin dan papa kedana dengan harga yang bersubsidi.

Umpamanya, wajar difikirkan insentif cukai bagi pengoperator yang sudi melaksanakan sesuatu perkhidmatan pakar kepada golongan miskin dengan harga paling minima.

Pendek kata, kerajaan perlu memikirkan sesuatu secara bijaksana. Pendek kata, kerajaan hendaklah mengketengahkan strategi yang memberikan manfaat kepada rakyat dan pembekal perkhidmatan pakar terbabit. Kata orang putih, kerajaan mestilah mewujudkan a win-win pricing strategy dalam hal ini.

Seluruh tindakan di atas penting supaya tidak ada diskriminasi dalam soal pemberian atau memperolehi perkhidmatan serta rawatan perubatan pakar kepada seluruh rakyat Malaysia yang memerlukannya.

Tindakan tersebut juga penting supaya semua pusat perkhidmatan dan perubatan pakar di Malaysia jadi mesra rakyat sepanjang hayat.

Kalau tidak, siapakah yang akan membela nasib rakyat miskin yang memerlukan perkhidmatan pakar yang terlalu mahal harganya? Kalau tidak, bilakah rakyat yang terbabit akan terus meminta-minta sepanjang masa sementara menunggu ajal mautnya?

Jika masalah di atas gagal di atasi, tergamakkah mana-mana pihak mengeluarkan arahan supaya rakyat jelata yang papa kedana dan sangat memerlukan khidmat perubatan pakar yang mahal, pergilah sahajalah ke rumah sembelih?

Kalau arahan mencari rawatan di rumah sembelih dikatakan zalim, bagaimana kalau semua pesakit kronik yang miskin dan sangat-sangat memerlukan rawatan pakar di negara ini dicadangkan menemui bomoh, pawang atau dukun di kampung halaman masing-masing?

Tetapi, memandangkan Kerajaan Malaysia adalah satu-satunya yang prihatin terhadap kesejahteraan rakyat, saya yakin isu yang saya utarakan menerusi tulisan ini akan dihalusi secara ikhlas dan jujur sehingga menghasilkan suatu keputusan, dasar dan tindakan yang positif.

Kalau tidak, seluruh anggota keluarga lelaki kepada semua pesakit kronik, pakat-pakatlah bawa tempurung atau baldi untuk mengemis di Jalan Chow Kit.

Rasa-rasanya, kalau semua orang itu mengemis hingga janggut mereka mencecah lantai pun mereka belum berjaya memperolehi wang yang diperlukan untuk sesuatu harga perkhidmtan perubatan pakar yang tinggi kadarnya di negara ini.

****************************************
- Datuk Ruhanie Ahmad ialah seorang bekas ahli parlimen yang juga seorang bekas wartawan kanan.Beliau adalah wartawan akhbar New Straits Times selama 10 tahun dari tahun 1972 hingga 1982 sebelum berpindah kerjaya menjadi Setiausaha Akhbar kepada Menteri Dalam Negeri,ketika itu Tan Sri Musa Hitam yang juga Timbalan Perdana Menteri.Dua tahun kemudian beliau dilantik ke jawatan Setiausaha Politik pula.Begitu juga dua tahun kemudiannya beliau dipilih bertanding kerusi Parlimen Parit Sulong di Johor.Beliau menjadi ahli parlimen kawasan itu selama 14 tahun dari tahun 1990 hingga 2004.Datuk Ruhanie antara lain pernah menjadi Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan di parlimen dari tahun 1995 hingga tahun 1999.Selain itu beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi MARA dari tahun 1998 hingga 2000.Sebagai ahli parlimen beliau berpeluang menyertai berbagai persidangan antarabangsa di seluruh dunia.Dalam pada itu beliau juga giat menulis buku.Sebanyak 10 buah buku ditulisnya iaitu Musa Hitam:Tenang Dalam Gelora [1986],Musa Hitam: Serene In The Storm [1986],Melayu Lawan Melayu [1989],DAP Bukan Anti-Melayu [1989],Angkara Saddam: Dunia Islam Terus Terancam [1991],Bosnia: Keprihatinan Malaysia [1994],Bosnia: Voices of Malaysia [1994],Revolusi UMNO [1994],Selamat Tinggal 46 [1995],Pejuang Berjurus [1996],Patriotisme Malaysia: Penangkis Neo-Imperialisme [2005]

1 Comments:

At 12:52 PM, Anonymous Anonymous said...

...Memang betul apa yg diutarakan oleh penulis... sepatutnya pemerintah/pihak berkuasa memerintah dengan adil dan saksama. Samaada golongan kaya atau miskin sepatutnya mempunyai peluang utk mendapatkan rawatan perubatan. Pada pendapat saya, kos tinggi dikenakan bagi pembedahan perubatan adalah disebabkan sifat tamak golongan tertentu, kajian dan siasatan terperinci hendaklah dilakukan pihak berkuasa untuk mengenal pasti kenapa perkhidmatan pembedahan ini MAHAL!..

 

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com