Sunday, March 26, 2006

KERAJAAN BARU SEDAR MAHASISWA TERBELENGGU OLEH AUKU

KENYATAAN MEDIA (26 Mac 2006)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik saranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membenarkan Mahasiswa menyertai persatuan belia. Saranan Dato’ Azalina Othman yang mencadangkan Persatuan Belia yang berdaftar mengikut Akta Belia ditubuhkan secara automatik di semua institusi pengajian tinggi (IPT) adalah satu langkah positif ke arah membebaskan mahasiswa dari kongkongan AUKU dan Akta 174.

Sebelum itu , Majlis Belia Malaysia (MBM) dilaporkan mahu undang-undang yang melarang penuntut universiti terbabit dalam mana-mana persatuan belia ketika belajar dipinda kerana ia dikenal pasti antara punca generasi muda tidak berminat menyertai gerakan belia. DPPWP mempersoalkan mengapa selama ini kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menyedari bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1975 telah lama menghimpit mahasiswa dari berpersatuan.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang ditubuhkan pada tahun 1975 telah lama membunuh semangat dan kreativiti mahasiswa. Sejak itu, mahasiswa tidak lagi dibenarkan untuk bersuara, berpersatuan, dan memimpin. Sejak kebelakangan ini pula dalam Pilihanraya Kampus turut berlaku campurtangan yang nyata dari pihak atasan. Bagaimana negara dapat melahirkan pemimpin-pemimpin yang matang, berjiwa kental, kritis dan membina sekiranya hak dan kebebasan yang selama ini mereka kecapi ditarik balik?

Dato Azalina Othman turut mengakui (AUKU) 1975 menghalang pelajar IPT menyertai pertubuhan belia, menyebabkan mereka tidak berminat menyertai persatuan itu selepas tamat belajar. Ini kerana mentaliti mereka yang telah ditanam bahawa mereka tidak perlu bersusah payah menyertai mana-mana persatuan. Perkara ini berlanjutan sehinggalah mereka tamat belajar dan berkerjaya. Realitinya dikebanyakan kampus dan universiti, mahasiwa semakin takut untuk menyertai mana-mana persatuan belia. Mereka bimbang penglibatan mereka akan menyebabkan mereka diambil tindakan keras termasuk dibuang universiti. Kesan daripada ini menyebabkan mahasiswa tidak mempunyai jati diri, pengalaman organisasi, kematangan, dan kepimpinan. Mahasiswa hanya diarah dan dicucuk hidung bagi menghalalkan sesuatu tindakan oleh pihak atasan universiti tanpa mereka berhak menentukan keputusan mereka sendiri.

Sebahagian besar graduan hari ini tidak mampu mendapat pekerjaan yang baik kerana tidak mempunyai “track record” mereka dalam berpersatuan dan memimpin semasa belajar dahulu. Ramai pula yang tidak tahu mengurus organisasi di jabatan mereka kerana tidak pernah mempunyai pengalaman di kampus. Bahkan, status mereka sebagai graduan dipertikaikan kerana kualiti kematangan mereka menganalisa sesuatu isu!

Di kebanyakan kampus tidak menyediakan alternatif buat mahasiswa berpersatuan. Ramai dari kalangan mahasiswa yang mempunyai bakat dalam sukan dan organisasi harus terus melupakan hasrat mereka kerana tidak tahu untuk menyertai persatuan-persatuan tersebut. Tambahan pula, dengan campurtangan politik yang ketara di sesetengah kampus, sehinggakan Persatuan Sukan, Kebajikan, Kebudayaan, Persatuan Kolej, Fakulti, Anak Negeri dan lain-lain semuanya dikuasai oleh mereka yang dipilih oleh pihak Universiti melalui kroni dan orang kepercayaan mereka.

AUKU adalah akta yang tidak lagi relevan dengan tuntutan zaman. Ianya tidak lagi diperlukan dalam keadaan zaman globalisasi ini. Negara mesti maju kehadapan dan AUKU mengajar rakyat mundur ke belakang. AUKU adalah bercanggah dengan Hak Asasi Manusia terutama dalam negara Demokasri seperti Malaysia ini.

DPPWP menegaskan sekiranya kerajaan ingin melahirkan kepimpinan negara di masa akan datang, bebaskan mahasiswa dari kongkongan AUKU. Benarkan mereka berpersatuan di dalam kampus agar dapat membina minda dan mentaliti mereka. Jangan kita lupa bahawa pemimpin negara hari ini adalah hasil dari pemimpin-pemimpin Mahasiswa di era 1960an dan 1970an yang lantang bersuara. Tidak akan rugi negara yang mempunyai mahasiswa-mahasiswa yang aktif, proaktif dan mempunyai pemikiran yang kritis kerana ini adalah sebahagian dari pembangunan negara.

Akhir sekali DPPWP mengingatkan bahawa persatuan Belia yang akan ditubuhkan nanti biarlah ianya bebas dari mana-mana pengaruh parti politik. Biarlah mahasiswa menentukan masa depan mereka sendiri kerana mereka mempunyai kematangan dalam membuat sesuatu keputusan


MOHAMAD SUHAIMI ABDUL AZIZ
Pengerusi Lajnah Pembangunan Remaja
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com