Thursday, March 16, 2006

Wartawan kanan tinggalkan NSTP

OLEH:A Kadir Jasin

HAMPIR 60 orang wartawan kumpulan New Straits Times Press (Malaysia) Bhd, termasuk beberapa pengarang kanan, meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Mac lalu.

Mereka berbuat demikian di bawah skim VSS (voluntary separation scheme) yang terbaru yang ditawarkan oleh kumpulan akhbar itu. Kesemuanya 216 kakitangan daripada pelbagai jabatan meletakkan jawatan.

Antara wartawan kanan yang meletakkan jawatan adalah Mohd Zian Johari, pengarang eksekutif Berita Minggu (BM), Mohd Fadzil Abdullah, ketua penyunting BM, Zam Zam Omar, pengarang keluaran khas Berita Harian (BH), Ali Mansor Aman, penolong pengarang Harian Metro (HM) dan Metro Ahad (MA) dan Mustafa Albakri Baharom, pengarang rencana HM.

Kesemuanya 20 orang wartawan yang bekerja dengan akhbar-akhbar berbahasa Melayu yang meletakkan jawatan adalah Melayu kecuali seorang Kadazan.

Antara wartawan kanan akhbar-akhbar berbahasa Inggeris yang meletakkan jawatan adalah Ahirudin Attan, pengarang eksekutif Malay Mail (MM) dan Sunday Mail (SM), Nuraina Abdul Samad, timbalan ketua pengarang berita New Straits Times (NST), Muharyani Othman, pengarang berita NST, Aishah Ali, pengarang bersekutu SM dan Saleha Ali, pengarang Sunday Magazine.

Turut berhenti adalah Lazarus Karunakaran Rokk, pengarang sukan NST, Dazman Manan, pengarang isu-isu wanita dan fesyen NST, Leonard Pasqual, penolong ketua penyunting NST, Anthony Mariadas, pengarang sukan MM, Zulkifli Othman, pengarang berita NST dan Zainal Alam Kadir, pengarang hiburan MM.

Daripada kira-kira 40 orang wartawan yang meletakkan jawatan daripada akhbar-akhbar berbahasa Inggeris, separuh daripadanya adalah Melayu.

Ini adalah peletakan jawatan beramai-ramai yang membabitkan paling banyak wartawan, khasnya Melayu. Ada antara mereka yang telah berkhidmat dengan kumpulan itu selama lebih 30 tahun.

Peletakan jawatan kali ini turut membabitkan 39 orang daripada jabatan iklan, pemasaran dan pengedaran dan 35 daripada jabatan percetakan.

Sementara itu prestasi saham NSTP di Bursa Malaysia terus merosot. Harga tutup minggu lalu ialah RM2.19 berbanding paras tertinggi RM7 pada tahun 2002 dan RM6 pada tahun 2004.

Pendukung utama NSTP sekarang adalah Datuk Kalimullah Masheerul Hassan sebagai Timbalan Pengerusi merangkap Penasihat Jabatan Pengarang, Datuk Hishamuddin Aun, Ketua Pengarang Kumpulan (GEIC) dan Brendan Pereira, Pengarang Kumpulan NST Sdn Bhd .

1 Comments:

At 7:24 AM, Anonymous Anonymous said...

Salam, apakah Sdr pernah membaca cerita ini?

Menonton Osama Laden di 'sarang pengganas' (mStar Online, 20 Mac 2006)

http://www.mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_165a0797-c0a85062-101f2870-316ba104

 

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com