Tuesday, March 21, 2006

Kenyataan Media DPPP: SELESAI SEGERA MASALAH KONTRAKTOR KELAS F

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melahirkan rasa simpati terhadap 33,832 orang kontraktor kelas F yang menghadapi masalah kerana ketiadaan projek akibat daripada kontraktor kelas A telah membolot projek yang sepatutnya diberikan kepada kontraktor kelas F. Perkara ini adalah satu lagi gambaran bagaimana gagalnya kerajaan Umno/BN membela nasib kontraktor kelas F.

Sedangkan tujuan kontraktor kelas F diwujudkan adalah untuk memberi ruang kepada orang melayu terlibat dalam sektor perniagaan pembinaan. Tetapi memang sepertimana lumrah berlakunya kebocoran dalam pengagihan projek maka inilah yang menimpa kontraktor kelas F. Terdapat juga beberapa kes kontraktor yang hanya mementingkan dasar Umno putera dan pilih kasih juga menyebabkan setengah kontraktor kelas F terpaksa gulung tikar.

DPP Pusat jugak kesal dengan kenyataan Setiausaha Kehormat Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kelantan, YB Mohd Rosdi Abdul Aziz (DUN Wakaf Bharu) yang mengatakan kontrator kelas F di Kelantan paling tenat sejak di bawah pemerintahan PAS, ini satu kenyataan yang hendak menutup kelemahan yang ada pada kepimpinan Umno/BN yang gagal menguruskan negara.

DPP Pusat juga hendak bertanya apakah kontraktor di negeri yang Umno perintah tidak tenat. Sedangkan apa yang kita ketahui fenomena ini adalah menimpa kepada semua negeri termasuk negeri yang Umno perintah. Inilah sikap pimpinan Umno yang tidak habis-habis mempunyai sikap dendam kepada kerajaan Pas Kelantan untuk menggam barkan kepada media bahawa kerajaan Kelantan gagal merancakkan pertumbuhan ekonomi di Kelantan. Samalah juga kenyataan pemimpin Umno yang sering menuduh longkang di Kelantan yang paling banyak tersumbat, tiba-tiba yang banjirnya di Kedah, Perlis dan Shah Alam.

Dewan Pemuda Pas mengharapkan untuk menyelesaikan masalah berlakunya ketirisan dalam pembahagian projek dengan mengenepikan soal kepartian dan berilah projek kepada mereka yang sepatutnya dapat. Biarlah projek ini dikendalikan dan diagihkan oleh Pejabat Daerah bukannya oleh pimpinan Umno bahagian.



USTAZ HAJI IDRIS BIN HAJI AHMAD
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda Pas Pusat.



Petikan Muka Hadapan Utusan Malaysia: ------------

Kontraktor besar dikecam -- Sikap tamak sebabkan 2,500 syarikat kelas F gulung tikar


Oleh: SYAHRIL A. KADIR

KUALA LUMPUR 17 Mac - Setelah berdepan dengan `ketandusan' projek kerajaan mahupun swasta, kontraktor kelas F kini terpaksa menghadapi sikap tamak haloba kontraktor yang lebih besar termasuk kelas A yang membolot semua projek.

Pembolotan itu turut melibatkan kerja-kerja mengecat bangunan dan membuat longkang.

Akibat keadaan itu, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Kuala Lumpur (PerkobF), Ahmad Awang mendedahkan, sejak setahun lalu, kira-kira 2,500 kontraktor kelas F terpaksa gulung tikar kerana tidak ada projek dan kontrak untuk mereka.

``Sesetengah mereka ada yang terpaksa menukar profesion menjadi peniaga runcit, memandu teksi dan menceburi bidang pertanian.

``Ada juga yang terpaksa menjual nasi lemak di tepi jalan kerana tidak tahan sebab sudah lama tidak mendapat kontrak,'' tambah beliau di sini hari ini.

Lebih menyedihkan, suara dan rintihan lebih 33,000 kontraktor kecil Melayu itu juga semakin kecil dan tenggelam di dalam arus pembangunan negara.

Ahmad berkata, sudah tiba masanya semua kontraktor kelas F di seluruh negara `bangun' dan bergabung membentuk satu persatuan demi masa depan mereka bersama.

``Kami sedih dan terkilan kerana terdapat kontraktor kelas A yang begitu tamak sampai projek buat longkang pun mereka hendak `sapu', bayangkan nasib kami.

``Memang ada kontraktor kelas F yang berniaga secara suka-suka hingga menjadikan mereka tidak berdaya maju. Tetapi bagaimana nasib kami yang memang kontraktor tulen dan bersungguh-sungguh mencari nafkah dengan cara ini,'' katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan projek kelas F yang turut menjadi rebutan kontraktor yang lebih besar termasuk kelas A, dipercayai mencapai angka RM1 bilion.

``Ini berdasarkan pengumuman dalam Bajet 2006 tahun lepas bahawa kerajaan memperuntukkan projek bernilai RM1 bilion kepada kontraktor Kelas F di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

``Jika diambil kira keadaan sekarang, kami jangka kontraktor yang lebih besar berkemungkinan turut berminat untuk mendapatkan projek yang diperuntukkan kepada kontraktor kelas F itu,'' katanya.

Rabu lalu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengumumkan mereka sedang melaksanakan proses pemutihan ke atas kira-kira 40 peratus pemegang lesen kontraktor kelas F yang tidak berdaya maju.

Timbalan Menterinya, Datuk Khamsiyah Yeop berkata, menerusi proses itu, kontraktor yang dirasakan masih mempunyai keupayaan untuk bersaing akan dibantu menerusi beberapa program motivasi dan latihan.

Ahmad berkata, terdapat 33,382 kontraktor kelas F di seluruh negara.

Menurut Ahmad, mengikut syarat lesen, kontraktor kelas F diberikan projek atau kontrak bernilai RM200,000 ke bawah.

Katanya, dalam sesetengah kes ada kontraktor kelas F diberi kerja yang bernilai sehingga RM200,000.

Menurutnya, setakat ini kontraktor kelas F di Wilayah Persekutuan tidak menghadapi masalah melaksanakan projek yang diserahkan kepada mereka.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, mereka memerlukan satu `suara' yang kuat agar masa depan mereka lebih terjamin di masa depan.

``Kebanyakan kami kini bernaung di bawah satu persatuan yang didominasi oleh kontraktor kelas A, tak perlu saya sebut persatuan yang dimaksudkan.

``Akhirnya suara kami `tenggelam'. Kini tiba masanya semua kontraktor kecil Melayu bergabung di peringkat nasional kerana hanya kontraktor kelas F saja yang tahu penderitaan yang kontraktor kelas F alami, bukan orang lain,'' katanya.

1 Comments:

At 4:29 PM, Anonymous Anonymous said...

An interview with prolific young writer, Hasmi Hashim has been published at www.ummahonline.com on the issue of “Muhammad Caricature.” Hasmi blame some of politician who has taken an advantage with the cartoon issue to shout down the media, and same attitude was showed by opposition leaders.

Check it out now!

 

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com