Thursday, April 13, 2006

KERAJAAN PERLU LETAK JAWATAN

Image hosting by Photobucket



Hari ini, ada sebab untuk seluruh rakyat khususnya rakyat negeri Johor dan gerakan parti pembangkang untuk merasa bersyukur, gembira dan bangga terhadap keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan Malaysia untuk membatalkan projek pembinaan Jambatan Indah bagi menggantikan Tambak Johor. Ini kerana cukup jelas sekali, tindakan yang diambil oleh kerajaan tersebut adalah kesan daripada kesepaduan gerakan rakyat khususnya rakyat negeri Johor dan parti-parti politik pembangkang untuk mendesak kerajaan agar tidak tunduk kepada tuntutan Singapura serta mempertimbangkan kembali rancangan projek pembinaan jambatan tersebut yang penuh dengan kecelaruan, ketidaktelusan dan amalan salah urus.

Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP ) khususnya, telah berulang kali menginggat dan menyedarkan kerajaan melalui pelbagai usaha seperti himpunan aman, penyerahan memorandum bantahan dan pengedaran risalah bagi membuktikan bahawa projek pembinaan jambatan tersebut sebenarnya lebih banyak mudaratnya berbanding kebaikannya. Bantahan yang berlandaskan kepada rasa prihatin DPPP terhadap perkembangan projek yang dilihat memudaratkan maruah dan kedaulatan negara dan rakyat negara ini khususnya didalam isu yang melibatkan tuntutan Singapura bagi kerjasama yang akan diberikan oleh mereka untuk projek tersebut. Hari ini keprihatinan DPPP terhadap isu tersebut nyata berasas.

Jika selama ini persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh DPPP dipandang serong kerajaan sebagai satu tindakan yang berunsur politik, hari ini jelas terbukti bahawa persoalan tentang amalan salah urus kerajaan bagi menjayakan projek tersebut ternyata terbukti.

Namun begitu disaat dan ketika ini, ketika kita mengalu-alukan keputusan kerajaan tersebut DPPP mengajak semua pihak untuk melihat kembali keseluruhan senario yang berlaku terhadap projek pembinaan jambatan tersebut sebagai satu proses untuk kita menilai keberkesanan fungsi dan peranan kerajaan. Permulaan sikap kritis yang telah dipamerkan oleh semua pihak khususnya rakyat perlu terus dibajai untuk memastikan mewujudkan kesedaran kepada kerajaan bahawa pada setiap tingkah dan laku kerajaan rakyat melihat dan menilainya. Dan pada setiap penilaian itu kerajaan perlu diingatkan juga rakyat kini berani untuk bangkit untuk memperbetulkannya.

Maka untuk itu DPPP menyeru kepada semua pihak untuk melihat keputusan kerajaan tersebut sebagai satu tindakan wira yang hadir untuk menyelematkan maruah rakyat dan negara ini. Keputusan tersebut adalah bukti jelas kegagalan kerajaan untuk berfungsi dan berperanan dengan baik. Kegagalan itu juga perlu dilihat sebagai bukti betapa lemahnya kerajaan yang memimpin Malaysia ketika ini, dan pastinya pertanggungjawaban ini perlu diletakkan sepenuhnya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Seruan DPPP ini bukan dilandaskan atas pertimbangan politik tetapi satu seruan kepada rakyat dan semua pihak untuk menjalankan tanggungjawab sebenar sebagai rakyat bumu bertuah ini. Mentaliti...sudah-sudahlah...cukuplah...perlu dikikis daripada kamus hidup rakyat Malaysia dan kegagalan pembinaan projek jambatan ini adalah peluang kepada rakyat seluruhnya mempamerkan sikap dan metaliti kelas pertama sebagaimana yang diseru oleh kerajaan dengan meminta pertanggungjawaban sepenuhnya kerajaan pada setiap pembaziran, onar, perlanggaran maruah dan amalan salah urus kerajaan.

Untuk itu DPPP melontarkan persoalan yang perlu difikirkan oleh rakyat seluruhnya bagi menilai samada tindakan kerajaan untuk membatalkan projek pembinaan jambatan tersebut memadai sedangkan segala kemelut yang berlaku termasuk isu tuntutan kurang ajar Singapura ketara berpunca daripada kelemahan kerajaan sendiri.

Maka untuk ;

1. Kegagalan pembinaan Jambatan Indah bagi menggantikan Tambak Johor yang berpunca amalan salah urus;

2. Pembaziran wang rakyat yang berpunca daripada amalan ketidaktelusan pentadbiran wang negara;

3. Perlanggaran dan pengabaian terhadap sensitiviti, maruah dan kedaulatan rakyat dan negara dengan melayan permintaan kurang ajar Singapura yang berpunca daripada kegagalan kerajaan untuk memperlihatkan ketegasannya;

4. Pengabaian terhadap amanah yang telah diberikan oleh rakyat kerana sikap ego, angkuh dan sombong kerajaan;

DPPP mendesak;

1. Satu pembentukkan suruhanjaya bagi menyiasat setiap amalan salah urus yang berlaku didalam projek tersebut. Cabaran DPPP melalui desakan ini ialah kerajaan perlu membuktikan bahawa pada setiap kata-kata yang diuar-uarkan oleh kerajaan untuk mewujudkan ketelusan di dalam pemerintahan tidak sekadar retorik dan terpilih. Jika kerajaan diatas nama integriti telah mewujudkan pelbagai badan dan jawatankuasa untuk memastikan setiap agensi-agensi kerajaan melaksanakan setiap rancangan kerajaan secara telus maka kerajaan juga perlu membuktikan kesungguhan itu melalui cabaran dan desakan agar satu siasatan menyeluruh dilakukan terhadap projek tersebut. Jika kerajaan mengabaikan desakan ini maka jelas dan terbuktilah kerajaan yang ada pada hari ini tidak ubah seperti ketam yang mengajar anak berjalan lurus tetapi hakikatnya kerajaan sendiri jalannya bersimpang siur !

2. Satu nota bantahan perlu dihantar kepada kerajaan Singapura melalui kedutaannya bagi membuktikan pada setiap singgungan dan tindakan kurang ajar Singapura terhadap maruah dan kedaulatan rakyat dan negara ini. Bantahan itu juga perlu diiringi dengan ketegasan pendirian kerajaan untuk menyatakan bahawa pada setiap tindakan kurang ajar Singapura khususnya isu perlanggaran kedaulatan ruang udara Malaysia sebagaimana yang dilaporkan berlaku di Tanjung Kupang dan Tanjung Langsat adalah satu bentuk pencerobohan.

3. Seandainya kerajaan gagal untuk menyahut desakan ini maka DPPP menyifatkan kerajaan yang ada ketika ini sebuah kerajaan yang lemah dan tidak layak untuk mewakili aspirasi rakyat dan negara.

Maka bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar DPPP mendesak kerajaan untuk membelakangkan kepentingan diri dan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan dengan secara rela melepaskan kerajaan yang ada hari ini kepada rakyat untuk menentukannya.


MAZLAN ALIMAN
NAIB KETUA DPP PUSAT

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com