Sunday, March 26, 2006

KERAJAAN MENANGGUNG DOSA TIDAK MEWAJIBKAN TUDUNG DI SEKOLAH

Kenyataan Media (27 Mac 2006)

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) membantah sekeras-kerasnya kenyataan Dato’ Noh Omar yang mengatakan bahawa tudung adalah tidak wajib bagi pelajar-pelajar sekolah. Ini adalah ekoran dari respons beliau terhadap Ahli Parlimen Indera Mahkota Datok Wan Adnan Wan Mamat (BN) yang meminta Kementerian Pendidikan mengambil tindakan terhadap sekolah yang telah memalukan anaknya kerana tidak memakai tudung.

Bagi DPPWP, kenyatan Timbalan Menteri Pelajaran menggambarkan kedangkalan beliau terhadap hukum Islam. Apakah beliau tidak mengetahui bahawa Islam mewajibkan penganutnya menutup aurat, atau beliau sengaja mempersendakan hukum yang ditetapkan oleh Allah di dalam al-Qur’an. Kenyataan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datok Wan Adnan Wan Mamat pula memperlihatkan sikap beliau selama ini yang jahil terhadap Islam. Sikap ini jelas menunjukkan beliau tidak layak digelar pemimpin bagi negara umat ‘Islam Hadhari’ ini.

DPPWP memuji sikap pentadbir sekolah terbabit yang menetapkan kewajipan memakai tudung bagi pelajar Islam kerana berpandukan hukum Islam. Ini menandakan masih ada segelintir umat Islam yang cintakan Islam dan tidak mahu nasib umatnya menuju kehancuran kerana kebebalan sikap pemimpin BN ini.

Meskipun memakai tudung tidak diwajibkan terhadap pelajar sekolah, namun umat Islam mengetahui bahawa memakai tudung dalam erti kata menutup aurat merupakan satu kewajipan yang tidak boleh disanggah. Ianya adalah ketetapan Allah di dalam Al-Qur’an. Adakah kerajaan tidak pernah membuka Al-Qur’an dan memerhatikan isi kandungannya, atau sengaja menutup mata dan membiarkan kemungkaran terus berlaku?

Tidakkah kerajaan sedar bahawa gejala sosial dan kemungkaran dalam negara semakin parah. Kemungkaran di dalam Islam adalah melanggar hukum-hukum yang ditetapkan oleh Allah, termasuk mengingkari kewajipan menutup aurat seperti tudung. Kerajaan seakan tidak peka terhadap masyarakat terutamanya generasi muda yang sedang menghadapi jurang kemusnahan yang besar Gejala sosial seperti zina, menonton filem lucah, berkhalwat, jenayah, rogol dan lain-lain lagi semakin meningkat. Antara puncanya ialah pergaulan bebas serta aurat yang tidak terjaga. Menutup aurat dapat membendung gejala sosial yang meluas dan umat Islam mampu menjaga maruah dan kehormatan diri mereka sendiri.

Sudahlah Sistem pendidikan di sekolah kebangsaan terlalu longgar, yang mana mata pelajaran agama tidak disentuh secara mendalam, soal aurat pula diremehkan. Apa akan jadi kepada generasi muda akan datang apabila nilai-nilai agama tidak dititikberatkan dalam aspek kehidupan. Umat Islam akan merasa menutup aurat merupakan satu pilihan dan bukan suatu kewajipan.

Memakai tudung adalah kewajipan terhadap semua kaum wanita umat Islam sahaja dan bukan kepada penganut agama yang lain. Islam tidak pernah mewajibkan penganut agama lain memakainya serta memaksa mereka mengikut agama Islam. Jadi tidak ada alasan bagi kerajan tidak mewajibkan pelajar Islam menutup aurat dan pelajar bukan Islam tidak perlu khuatir terhadap kewajipan ini. Kebebasan beragama menetapkan semua penganut agama yang lain bebas mengamalkan ibadat mereka masing-masing. Kaum Tionghua dan India bangga dengan pakaian mereka mengapa pula umat Islam berasa terhina dengan pakaian kita? Sepatutnya dengan majoriti umat Islam di negara ini, pemimpin dan semua rakyat yang beragama Islam merasa bangga kerana dapat menutup aurat.

DPPWP ingin mengingatkan bahawa soal dosa dan pahala tidak boleh dipandang ringan. Dosa yang ditanggung rakyat yang jahil akan turut ditanggung oleh pemimpin dan pemerintah. Tidak menutup aurat adalah dosa yang besar dan pemimpin yang membiarkan keadaan tersebut akan turut menanggungnya.

Kerajaan mesti ingat bahawa kekuatan umat Islam bergantung kepada kekuatan pegangan mereka kepada Islam. Sejarah mecatatkan kegemilangan Islam terukir ditangan mereka yang kuat berpegang pada ajaran Islam. Sebaliknya, apabila Islam diabaikan, maka akan runtuhlah bangsa dan negara itu dan negara Malaysia hari ini sedang menuju diambang tersebut!


MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Pengerusi Lajnah Pembangunan Remaja
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

1 Comments:

At 7:45 AM, Anonymous Anonymous said...

menggunakan nama dosa untuk cita2 politik bukankah juga satu dosa? tulisan ini langsung tidak matang!

Uti

 

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com