Tuesday, March 28, 2006

PDRM : MENULIS SEJARAH UNTUK MASA DEPAN

Oleh: Mazlan Aliman ( Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat )
pircjohor@gmail.com

Tempoh 199 tahun bukanlah satu tempoh masa yang singkat untuk menjejaki kembali setiap catatan perjalanan yang ditempuhi oleh pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Jika catatan masa ini dijadikan asas untuk merenung kembali liku dan onak yang terpaksa ditempuhi oleh pasukan polis negara ini pastinya kita akan dapat melihat betapa besarnya peranan dan tanggungjawab pasukan polis kepada rakyat negara ini keseluruhannya. Disetiap zaman dan sudut sejarah negara ini kita akan melihat bagaimana fungsinya.

Berhadapan dengan zaman getir darurat polis, adalah benteng utama rakyat yang ketakutan daripada ancaman komunis. Peristiwa Bukit Kepong contohnya mungkin satu bukti yang cukup kukuh dan kuat terpahat didalam lipatan sejarah negara. Sehingga kini setiap peristiwa yang berlaku, yang mewarnai catatan sejarah pasukan polis negara ini pastinya menjadi azimat dan tradisi yang akan dipertahan oleh generasi polis yang sedia ada dan mendatang.

Secara umumnya tiada siapa menafikan akan betapa besarnya jasa pasukan polis kepada rakyat negara ini. Fungsi dan peranan mereka sebagai penjaga keamanan diakui. Namun begitu sebagaimana umum mengakui akan besarnya jasa pasukan polis begitu juga umum menyedari bahawa terdapat banyak kekurangan dan kelemahan pasukan polis kini yang perlu ditangani segera. Keprihatinan rakyat terhadap isu ini kerana rakyat meletakkan harapan yang begitu tinggi, untuk melihat tradisi kepolisian yang bersendikan kepada tradisi membela rakyat dapat terus diperkukuhkan. Namun begitu harapan ini terus menjadi persoalan dihati dan benak rakyat adakah ianya mampu dipikul oleh generasi polis yang sedia ada kini.

Labelan sinonim yang wujud terhadap pasukan polis kini terlalu buruk untuk diletakkan harapan dan amanah yang begitu tinggi. Imej rasuah, penyalahgunaan kuasa, ganas dan sebagainya kini adalah gambaran masyarakat terhadap pasukan polis. Gambaran ini bukan hadir dari niat buruk dan pandangan serong tanpa alasan tetapi ianya hadir kerana itulah realitinya pasukan polis pada hari ini. Laporan siasatan Suruhanjaya Diraja untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia yang mengeluarkan 10 strategi dan 125 cadangan bagi memastikan pasukan polis negara ini dipulihkan imej, operasi dan pengurusannya turut mengukuhkan lagi tanggapan ini.

Calaran terhadap imej pasukan polis terus-terusan didedahkan, kadar kematian tinggi tahanan di pusat tahanan juga cukup membimbangkan. Sepanjang 2002 – 2003, sebanyak 38 kes dicatat melibatkan kematian suspek didalam tahanan polis. Manakala Bagi tempoh 6 bulan pertama tahun lalu sahaja 6 kematian dicatatkan. Meskipun angka ini dilihat kecil tetapi persoalan kematian suspek didalam tahanan polis adalah sesuatu yang cukup mengecewakan. Ini membuktikan berlakunya penderaan dan seksaan terhadap suspek yang ditahan. Dengan tanggapan begini pastinya imej pasukan polis cukup jauh dihati rakyat.

Begitu juga halnya dengan pendedahan peristiwa ‘ketuk ketampi’. Imej polis jatuh merudum ekoran pendedahan ini. Rakyat mempersoalkan bagaimana mungkin bagi sebuah pasukan yang diamanahkan untuk menjaga maruah rakyat dengan sewenang-wenangnya melakukan amalan yang jelas bertentangan dengan perlembagaan negara dan tradisi polis itu sendiri. Lebih memalukan insiden tersebut melibatkan maruah umat Islam dan orang Melayu.

Arena politik tanahair juga dilihat tidak sunyi daripada penglibatan polis. Kegagalan pasukan polis untuk mempraktikkan profesionalismenya seringkali menjadikan pasukan polis alat dan perkakas kepada pemerintah yang diterajui oleh UMNO/BN. Program-program politik parti pembakang seringkali diganggu gugat dengan segala macam aturan yang tidak masuk akal. Ceramah, perhimpunan dan sebagainya yang biasanya aman tanpa sebarang kekacauan seringkali berakhir dengan kelam kabut jika berlakunya campur tangan polis.

Kejadian keganasan polis di Perhimpuan Lebuh Raya Kesas, serbuan kasar dan tidak beradab polis di program ceramah Menteri Besar Kelantan di Kedah, tindakan agresif sehingga berlakunya kecederaan yang berlaku di Johor dan banyak lagi menjadi bukti yang sangat jelas betapa tindakan pasukan polis dilihat dipengaruhi kepentingan pihak lain. Begitu juga halnya kejadian yang menimpa mantan Timbalan Perdana Menteri DS Anwar Ibrahim yang tidak perlu diulas lagi bagaimana berlakukanya pakatan terburuk dan terhina elit pemerintah dengan polis untuk menjatuhkannya. Rekod amalan buruk ini memberi gambaran yang cukup negatif kepada polis.

Terbaru tragedi yang menimpa kepada himpunan aman rakyat membantah kenaikan harga minyak. Tindakan pasukan polis menyembur air dan bertindak ganas terhadap rakyat yang cuba untuk meluahkan rasa ketidakpuashatian terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga minyak adalah suatu tindakan yang melanggar janji yang pernah diuar-uarkan oleh mereka sendiri. Jaminan polis terhadap 7 perkara pada seminar kepada semua OCPD daerah termasuk untuk memberi kebenaran kepada rakyat untuk berhimpun dengan selamat tanpa gangguan kini dikhianati.

Sudah sampai masanya PDRM memperkukuhkan intergriti mereka. Begitu juga sudah sampai masanya pasukan polis kukuh dalam pendirian untuk mempertahankan kedaulatan perlembagaan. Saranan dan arahan yang jelas membelakangkan kepentingan rakyat dan negara perlu diabaikan bagi mengelakkan mereka terus-terusan dipandang dengan imej yang buruk oleh rakyat. Untuk mengembalikan kredibaliti pasukan polis yang tercalar ini maka hendaklah fungsi dan peranan pasukan polis itu dikembalikan kepada fungsi dan peranan asalnya iaitu sebagai pembela kepada keamanan dan rakyat, bukan pembela kepada segelintir elit pemerintah.

Inilah realiti yang dihadapi pasukan polis diketika mereka menyambut sambutan yang ke 199. Malah jika hendak disenaraikan setiap salah laku dan amalan songsang pasukan polis pastinya penulisan ini akan menjadi satu laporan yang cukup panjang. Namun begitu kesimpulan yang boleh dibuat daripada setiap isu yang berbangkit terhadap pasukan polis ialah satu penyusunan semula pasukan polis perlu dilakukan.

Dan tindakan awal yang perlu dilakukan oleh pihak PDRM mahupun Kementerian Dalam Negeri ialah dengan melaksanakan keseluruhan cadangan dan strategi yang telah digariskan oleh Suruhanjaya Diraja untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia. Komitmen PDRM terhadap usaha ini sewajarnya perlu dijadikan janji PDRM kepada rakyat sempena sambutan Hari Polis yang ke 199 tahun. Pastikan sambutan 199 tahun hari ini menjadi permulaan kepada penulisan sejarah polis untuk 199 tahun yang mendatang dengan wajah dan imej pasukan polis yang lebih baik.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com