Ahmad Lutfi Othman
Pembabitan aktif Anwar Ibrahim dalam kancah politik tempatan begitu ditunggu-tunggu dan beliau perlu membataskan kegiatan di pentas global dalam waktu terdekat kerana Malaysia lebih memerlukannya.
Ikuti wawancara Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman dengan bekas tahanan ISA, Saari Sungib, tentang peranan bekas Timbalan Perdana Menteri itu menjelang pilihan raya umum akan datang, yang juga menyentuh isu-isu tahanan tanpa bicara dan perkembangan dakwah mutakhir.
Harakah : Sdr sering dikenali sebagai bekas tahanan ISA dan kini banyak menulis tentang hak asasi menurut Islam, selain merakamkan pengalaman ketika dikurung tanpa bicara. Tiada penulis dapat menyaingi rekod sdr menulis tentang kezaliman ISA. Boleh berkongsi rasa dorongan sdr berbuat demikian?
SAARI : Apa yang mendorong saya adalah kesedaran saya bahawa ramai mereka yang ditahan ISA selepas bebas tidak mahu menceritakan pengalaman mereka dan berkongsi dengan rakyat tentang kezaliman ISA. Kalau ada pun seorang dua. Contoh paling baik adalah Dr Kua Kia Soong. Beliau konsisten terus membongkar kezaliman ISA. Selain itu amat kurang.
Di kalangan penceramah yang pernah ditahan ISA juga mula-mula sahaja bercakap tentang ISA. Selepas itu mereka tumpu isu-isu lain. Tidak ramai bekas tahanan ISA yang terlibat dalam sirkit ceramah peringkat nasional yang mahu terus bercakap tentang ISA.
Saya juga pada mulanya cenderung untuk mengalihkan tajuk-tajuk ceramah dan penulisan saya kepada isu-isu yang lebih luas. Namun melihat tidak ramai yang menyentuhnya, saya berikan tumpuan kepada ISA.
Selain itu saya amat menghargai usaha rakan-rakan yang berkempen menuntut pembebasan saya terutamanya GMI. Setelah tahanan Reformasi bebas, saya dapati mereka kurang dapat sokongan. Untuk itu hingga kini saya bersama-sama membantu mereka dalam kempen, pameran, ceramah dan penulisan.
Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri kelihatan berperwatakan lembut, tidak sepertimana Dr Mahathir sebelumnya. Walaupun tiada tangkapan baru dibuat ke atas aktivis politik tapi beliau melanjutkan tempoh penahanan kepada jangkamasa yang lama. Mungkin sdr ada penilaian khusus buat Abdullah, berkaitan isu hak asasi ini.
Saya kurang selesa dengan label watak lembut yang diberikan oleh media kepada Abdullah Badawi. Bagi saya siapa saja yang duduk di kerusi No. 1 Umno itu, dasarnya tetap sama. Sistemnya sama. Bukan peribadi tetapi dasar dan sistem yang menentukan.
Umno wujud kerana undang-undang darurat dikuatkuasakan oleh British pada 1948-1960. Undang-undang itu menahan mereka yang membangkang dasar-dasar British tanpa perlu dibicarakan. Undang-undang ini hanya ditamatkan pada 31 Julai 1960.
Seterusnya Umno dapat bertahan serta menghalang kritik dan tentangan terhadap dasar-dasar pincangnya dengan menggunakan akta yang menggantikan undang-undang darurat, ISA. ISA dikuatkuasakan pada 1 Ogos 1960.
Ini bererti hanya 24 jam sahaja dalam sejarah politik negara ini yang Umno tidak bersandarkan kepada akta zalim menahan rakyat tanpa bicara!
Keyakinan saya adalah Umno wujud dan kekal di atas subsidi politik di atas nama keselamatan. Siapa saja yang menjadi PM dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, kuasa penuh untuk beliau mencantas aktivis yang menggugat idea, dasar dan program Umno dengan mudah saja boleh dilakukan dengan menggunakan ISA.
Bahkan dengan akta dan kuasa yang luas diberikan kepada polis cawangan khas (SB), lebih lemah atau lembut pemimpin yang mentadbir negara seperti Abdullah Badawi, maka semakin bermaharajalelalah elit-elit SB menggunakan kuasa mereka.
Bagi saya semua penahanan ISA adalah bermotifkan politik. Dengan itu semua tahanan adalah TAPOL, meminjam istilah yang dipopularkan pada tahun 1980an dulu. TAPOL adalah tahanan politik.
Walaupun yang ditahan itu tidak menonjol sebagai aktivis politik arus perdana, penahanan yang dilakukan ke atasnya tetap sama, iaitu bagi tujuan melindungi kuasa dan kepentingan politik Umno-BN.
Semuanya, tanpa secara langsung tertonjol atau tidak sebagai aktivis politik, tahanan ISA adalah mangsa politik Umno-BN!
Dalam keadaan biasa ISA mungkin jarang digunakan kepada pemimpin pembangkang tetapi dalam saat-saat tegang, seperti kes pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998, kebangkitan aktivis reformasi 2000, Umno terancam 1987, ISA dieksploit untuk meredakan kemarahan rakyat. Apa pandangan sdr terhadap masa dan isu yang dipilih pemerintah untuk menggunakan ISA itu?
Semasa 10 orang aktivis Reformasi ditahan ISA pada April 2001, rata-rata kami berkeyakinan bahawa Mahathir tidak akan menggunakan ISA terhadap kami. Ini kerana isu Anwar Ibrahim sudah menjadi isu yang terlalu high profile di mata dunia. Lagipun, kami merasakan gelombang sokongan rakyat telah menghimpit Mahathir. Tetapi ISA tetap digunakan juga.
Pada tahun 1998, ketika 26 orang ditahan ISA termasuk saya, tiada seorang pun dihantar ke Kamunting. Kenapa? Kerana pilihanraya umum akan diadakan tidak lama lagi. Mahathir tidak mahu penahanan ISA ahli-ahli politik dijadikan modal pilihanraya.
Kenapa penahanan ISA pada tahun 2001 dihantar ke Kamunting? Jawapannya kerana pilihanraya umum masih jauh lagi. Kami sempat dibebaskan dan pembebasan kami boleh digunakan sebagai political mileage bagi kempen pilihanraya Umno-BN.
Itulah yang berlaku, kami dibebaskan pada Jun 2003 dan pilihanraya diadakan pada April 2004. Bagi Umno-BN, untuk pembangkang menjadikan isu penahanan kami sebagai modal kempen pilihan raya ianya suatu yang sudah basi!
Umno yakin bahawa rakyat, pemilih dan pengundi mudah lupa! Sebaliknya kerajaan dilihat baik dan bermurah hati kerana membebaskan kami. Selain daripada itu rakyat tidak tahu!.
Demikian juga penahanan 1987 dulu, Khalid Samad dibebaskan kerana abangnya Shahril Samad bertanding sebagai calon bebas menentang BN dalam pilihan raya kecil Johor Bahru. BN tidak mahu memberi kelebihan modal politik kepada Shahril bahawa adiknya ditahan di bawah ISA!.
Tahanan ISA Operasi Lalang 1987-1988 juga dibebaskan lebih setahun sebelum pilihan raya umum 1990 diadakan.
Itu track record ISA di Malaysia. Singapura di bawah Lee Kuan Yew, secara brutal ISA digunakan betul-betul sebelum pilihan raya umum demi menghalang ahli-ahli politik pembangkang daripada bertanding dalam pilihan raya.
Saya kira faktor masa pilihan raya adalah faktor penting, bahkan penentu bagi sesuatu penangkapan di bawah ISA.
Kecuali terlalu terdesak, Abdullah mungkin menggunakan kaedah Lee Kuan Yew dengan menangkap pemimpin-pemimpin pembangkang sebelum pilihan raya. Ini boleh dilakukan dengan Umno terus memanaskan isu perkauman, hak-hak istimewa orang Melayu dan agama.
Mereka mengumpan agar pembangkang melenting. Bila melenting sahaja nanti, mereka akan mempersalahkan pembangkang dan meyakinkan rakyat melalui media bahawa pembangkang mesti ditahan di bawah ISA. Selepas itu pilihanraya umum diadakan dan Abdullah Badawi akan menang selesa.
Bibit-bibit ini sudah ada. Sebagai contoh laporan polis telah dibuat ekoran teguran Lim Kit Siang terhadap pembinaan istana negara baru yang berharga RM400 juta. Demikian juga Ketua Pemuda Umno yang menghunus keris serta ucapan-ucapan berbau perkauman ekstrim dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini. Semua ini bertujuan untuk menanti sahaja agar pembangkang menyambutnya dan melenting!.
Isu agama juga dimainkan dengan tangkapan terbaru terhadap ahli-ahli Rufaqa yang dituduh mahu menghidupkan Al-Arqam.
Sdr juga merupakan pemimpin gerakan Islam yang dedikasi sejak muda. Dari satu segi dakwah agak jarang diperkatakan seperti pernah satu ketika dulu. Apa pandangan sdr terhadap perkembangan badan-badan dakwah sekarang dan mungkin ada beberapa idea baru yang boleh sdr sarankan kepada pimpinannya?
Saya kira dakwah hari ini sudah melangkah ke satu tingkatan yang lebih tinggi berbanding dahulu. Dulu kita bercakap dakwah di segi konseptual saja, namun hari ini kita berada dalam tahap operasional.
Bahkan, tuntutan mengoperasikan dakwah hari ini amat mencabar. Kita bercakap tentang nation-building. Bukan lagi sekadar lingkaran-lingkaran usrah dan halaqah.
Kita memerintah Kelantan yang memerlukan pengisian demi pengisian untuk mengoperasionalkan dakwah.
Sejak era Reformasi dan penubuhan BA, gerakan-gerakan Islam seperti ABIM dan JIM perlu membuat penegasan pendiriannya dalam nation-building. Kedua-duanya berada di persimpangan sama ada untuk terus mengekalkan status quo ataupun menongkah arus membangunkan Malaysia baru ke arah sebuah kerajaan alternatif.
Saya bersyukur pada persimpangan tersebut saya terlibat menerajui JIM. Walaupun sebelum itu JIM berpendirian untuk berjalan seiring dengan unsur-unsur positif dan konstruktif arus perdana.
Pada awal tahun 90an di peringkat Pusat, JIM berjalan seiring dengan unsur-unsur konstruktif yang mahu dibawa oleh arus perdana kerajaan Pusat pimpinan Umno-BN.
Di peringkat negeri pula, khasnya Kelantan, JIM juga menegaskan sokongannya untuk membantu sedaya yang mampu ke arah pembinaan unsur-unsur positif dan konstruktif di bawah dasar kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah pimpinan PAS.
Persoalan parti, BN atau PAS tidak ditimbulkan oleh JIM pada masa itu. Apa yang penting adalah untuk berjalan seiring serta menyokong unsur-unsur positif dan konstruktif bagi kebaikan ummah dan Islam.
Selepas tahun 1998, semuanya berubah. JIM memutuskan untuk membantu ke arah penubuhan kerajaan alternatif di negara ini.
Hari ini saya tidak lagi diamanahkan dengan apa-apa tugas kepimpinan dalam JIM. Barisan pimpinan yang barulah yang menentukan dasar dan halatuju JIM.
Namun, sebagai seorang aktivis Islam yang kini bergiat dalam PAS, engagement saya tetap saya teruskan dengan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli JIM.
Sasaran saya satu saja, saya berharap JIM tetap berjalan seiring dengan BA, PAS dan barisan pembangkang ke arah penubuhan kerajaan alternatif di negara ini.
Kita kerap kali terpesona dengan kemenangan yang ditunjukkan oleh parti-parti Islam luar negara, seperti di Turki dan Indonesia, sehingga kita seolah-olah melupakan akar kekuatan pengalaman sendiri.
Mengambil pengajaran daripada pihak lain adalah yang telah berjaya di tempat lain adalah satu sikap yang baik. Namun untuk terpesona dengan kejayaan mereka lantas mempersalahkan apa yang ada pada kita adalah satu tindakan yang tidak bijak.
Saya rasa tidak ada salahnya kita memanfaatkan, bahkan menciplak jika ada amalan-amalan baik yang mereka lakukan. Namun kita mesti ingat bahawa faktor sejarah, budaya dan waqi' kita berbeza dengan mereka.
Saya setuju kita mesti berdiri sendiri di atas kekuatan kita. Bahkan saya percaya itulah juga yang dilakukan oleh mereka, khasnya PKS di Indonesia. Mereka bermula dengan kekuatan mereka. Kekuatan mereka adalah ahli-ahli mereka. Kekuatan mereka juga adalah visi dan misi mereka.
Dengan itu mereka rancang, wujudkan, laksana dan pantau sepenuhnya program tarbiyyah dan perkaderan ahli-ahli mereka. Ahli-ahli ini diasak, dicanai dan digilap dengan visi dan misi mereka, iaitu dasar-dasar aqidah, akhlaq dan fikrah Islam. Sehingga tidak ada ahli-ahli PKS yang diberikan amanah dakwah ataupun politik yang tidak melalui proses ini.
Saya rasa gerakan Islam di Malaysia, khususnya PAS juga memiliki teras-teras kekuatan seperti ini. Apa yang perlu adalah iltizam dan istiqamah barisan pimpinan untuk membangunkan ahli-ahli agar menjadi kader-kader perjuangan yang gigih, kental dan komited!.
Kritikan terbuka bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas pemerintahan Abdullah seperti melakarkan suasana baru politik tanahair sehingga ada pihak melihat Anwar seakan-akan terpinggir. Pastinya sdr ada pandangan tersendiri terhadap fenomena baru ini.
Sememangnya begitu. Bahkan bagi saya itulah tujuan Mahathir, iaitu untuk meminggirkan Anwar.
Sebaik-baiknya selepas bebas Anwar menumpukan serangan terhadap Abdullah Badawi. Sayangnya Anwar hanya singgung sini dan singgung sana saja. Hingga ada yang yang beranggapan bahawa Anwar terhutang budi kepada Abdullah Badawi kerana membiarkan mahkamah untuk membebaskannya dari penjara.
Langkah Anwar untuk menumpukan perhatian atau mendapat perhatian di peringkat antarabangsa memang bijak. Tetapi tidak bijak bila ia mengambil masa yang terlalu lama.
Tindakan Anwar berligar-ligar di peringkat antarabangsa sehingga kini hampir-hampir dua tahun, amat meresahkan penyokong-penyokongnya, termasuk saya.
Ramai yang kurang pasti apa hala tuju Anwar? Dalam menonjolkan kesantunan dan sifat pemaafnya, Anwar kurang menyerang Mahathir apatah lagi Abdullah Badawi.
Saya rasa, menyerang Mahathir atau Abdullah Badawi bukan kerana peribadi mereka, tetapi dasar-dasar pincang mereka!
Rakyat dan penyokong-penyokong Anwar mahu beliau beri perhatian mengukuhkan KeADILan, BA dan barisan pembangkang.
Lagi lambat Anwar bertindak, semakin berjaya Mahathir meminggirkan Anwar daripada limelight politik negara. Anwar mesti menolak langkah dan tindakan Mahathir. Anwar perlu membuat penegasan agar sikap dan pendirian di antara PAS dan KeADILan terhadap Mahathir adalah selaras.
Anwar tidak perlu tunggu-tunggu lagi. Anwar Ibrahim tidak ada masa depan! Masa depan Anwar adalah sekarang!
Boleh sdr jangkakan potensi barisan pembangkang dalam pilihan raya akan datang? Apa tumpuan atau fokus yang perlu diberi perhatian khas?
Banyak bergantung kepada komitmen Anwar Ibrahim untuk mengukuhkan barisan pembangkang serta kesediaan pimpinan PAS untuk benar-benar mendukung semula asas-asas permuafakatan BA 1999 – Ke Arah Malaysia Baru.
Agenda bersama mesti dilakarkan semula. Bukan agenda PAS. Bukan agenda KeADILan. Bukan agenda DAP. Tetapi agenda negara dan agenda rakyat. Dasarnya dan paksinya adalah kebenaran dan keadilan.
PAS tidak perlu gusar akan terpinggir dengan agendanya. PAS mendukung Islam dan Islam itu lebih kukuh dan lebih merangkumi daripada segala-galanya. Tidak perlu gusar.
Gerakkanlah serta mantapkanlah tahalluf atau pakatan politik di atas perkongsian agenda – a common ground, saya percaya kita bersama akan tampil dengan lebih mantap.
Saya jangkakan kita dapat mengekalkan Kelantan, insya-Allah. Abdullah Badawi akan berusaha habis-habisan untuk merampas Kelantan daripada PAS untuk membuktikan kepada rakyat bahawa beliau adalah lebih baik daripada Mahathir!
PAS akan bertambah kuat di Kedah dan Terengganu. KeADILan pula akan bertambah kuat di Pulau Pinang dan Selangor. Jika formula politik yang telah dicapai menjadi bertambah kukuh, KeADILan akan dapat bertapak dengan lebih meluas di Sabah.
Khusus bagi negeri Selangor, dengan syarat permuafakatan dapat dicapai di antara Dato' Hasan Ali yang memimpin PAS dengan Tan Sri Khalid Ibrahim yang menerajui KeADILan, BA bersama-sama DAP akan menjadi pembangkang yang lebih berkesan di Dewan Undangan Negeri Selangor selepas pilihan raya umum nanti, insya-Allah.
Walaupun Umno menghadapi masalah dalaman yang makin kronik, tapi amat sedikit yang merasakan parti itu bersama komponen BN lainnya akan ditolak rakyat sehingga tertegak kerajaan baru. Malah ada mendakwa untuk melihat Umno menghadapi kemerosotan seperti 1999 pun sukar untuk diulangi.
Benar. Ini kerana yang melindungi kuasa BN adalah struktur dan proses demokrasi yang telah dilentur dan dibentuk oleh Umno. Dengan demokrasi seumpaman ini, BN tidak akan jatuh.
Menurut indeks demokrasi 2006, daripada 167 negara, Malaysia berada di tempat ke-81. Seburuk-buruk amalan demokrasi di Monggolia dan Bangladesh pun mereka berada di tempat ke-56 dan ke-75!
Indeks ini diukur dengan lima parameter iaitu proses pilihan raya, hak asasi dan kebebasan, proses pengurusan kerajaan, penglibatan politik dan budaya politik.
Di segi hak asasi dan kebebasan, awal-awal lagi Malaysia jatuh corot dengan adanya ISA dan banyak lagi akta zalim yang lain.
Proses pilihan raya memang sudah lama kita nampak kepincangannya dengan daftar pemilih yang amat diragui, pengundi pos, persempadanan semula dan SPR yang dilihat umpama wakil BN yang mengendalikan pilihan raya umum.
Pelancaran BERSIH gabungan parti-parti politik dan NGO diharap dapat mengubah lanskap demokrasi di negara ini di segi kedua-dua struktur dan prosesnya.
Apa yang dilakukan oleh MAFREL juga patut diberikan sanjungan. Aktivis dan pendukung perubahan perlu lebih dahulu meningkatkan usaha menyamaratakan gelanggang pertarungan yang tidak sama rata sebelum boleh bercakap untuk menang sepenuhnya dalam struktur dan proses demokrasi pincang yang didominasi Umno-BN pada hari ini. - mr