Tuesday, December 05, 2006

Roboh rumah: DBKL dan Polis mengganas di Chubadak Tambahan

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Hrkh) - Tragedi ganas Kampung Berembang baru sahaja berlalu, tetapi itu tidak memberi kesan atau menerbitkan simpati kepada pihak berkuasa dan polis untuk terus mengganasi penduduk di sebuah kawasan setinggan lain iaitu di Kampung Chubadak Tambahan dekat Sentul hari ini.

Sejak dari pagi, tiga trak DBKL dan dua trak polis berhimpun di hadapan empat buah rumah setinggan kawasan tersebut yang hendak dirobohkan.Kubu yang dipasang pihak berkuasa tidak mampu ditembusi penduduk mahupun para wartawan yang menanti untuk membuat liputan.

Begitupun tindakan mereka meroboh empat buah rumah adalah bersandarkan perintah mahkamah yang telah diperolehi, kata seorang penduduk yang berada di tempat kejadian.

"Apa yang kami kesal sebenarnya bukan soal merobohkan rumah kami tetapi soal pampasan dan rumah sementara yang tidak setimpal dengan kami," kata wakil penduduk , Siti Solehah Sani.

Tindakan biadap pihak berkuasa yang tidak mahu berbincang secara baik dengan pihak penghuni amat dikesali, malah penggunaan pihak polis untuk menakut-nakutkan penghuni adalah satu perkara yang amat dikesali, katanya kepada Harakah ketika kejadian berlaku.

Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) dan Parti keADILan Rakyat (KeADILan) melahirkan rasa kesal atas tindakan polis mengasari orang awam dan penghuni Kampung Chubadak Tambahan ketika suasana tegang berlaku dalam proses perobohan empat rumah penghuni di kawasan tersebut.

Meskipun pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai hak meroboh kawasan tersebut berdasarkan perintah mahkamah, tetapi tindakan ganas pihak polis menghalang penghuni untuk mendapatkan penjelasan dan berbincang dengan DBKL melambangkan 'Malaysia kini berada dalam sebuah negara polis' kata Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Noor ketika ditemyui ditempat kejadian hari ini.

Turut serta menyaksikan kejadian itu ialah, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua; bekas tahanan ISA, Abdul Ghani Haroon dan Koordinator Gerak, Badrul Hisham Shahrin.

Dalam kejadian tersebut seorang penghuni yang mahu mempertahankan rumahnya dari turut diroboh DBKL telah dikasari oleh seorang yang disyaki anggota polis berpakaian biasa.

Ketika pergelutan berlaku, anggota polis itu dikatakan melakukan tindakan ganas ke atas seorang penghuni dan ketika seorang jurugambar dari Suara KeADILan mahu merakam gambarnya, kamera beliau dirampas oleh pihak polis.

Akibatnya itu berlakulah pergaduhan antara penghuni dan pihak berkuasa.Seorang pemilik rumah, Sazali Said berkata, beliau kesal dengan tindakan DBKL yang dilihat cuba meroboh rumahnya meskpiun sepatutnya rumah beliau tidak terlibat dalam perobohan itu.

"Sepatutnya pihak DBKL tidak mengusik kawasan rumah kami, dan meskipun ini satu 'misunderstanding' tetapi saya lihat ini satu provokasi yang cuba dimulakan pihak berkuasa," kata Ezam pula kepada Harakah.

Sementara itu Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua berkata, pihak polis tidak harus menyebelahi atau mempertahankan DBKL kerana mereka perlu menjaga keselamatan sahaja.

"Saya kesal pihak polis bertindak sebaliknya dan mangsanya adalah rakyat,"katanya lagi.

Selain itu perobohan itu juga disifatkan sebagai satu hadiah dari Umno kepada orang Melayu selepas parti Melayu itu mengadakan Perhimpunan Agungnya baru-baru ini.

"Inilah yang dikatakan janji tinggal janji, dalam perhimpunan agung mereka kata nak bela orang Melayu tetapi semuanya palsu dan bohong belaka,"katanya.

Sementara itu terdahulu dua penghuni wanita Kampung Chubadak telah ditahan pihak polis ketika mempertahankan rumah mereka.

Mereka telah dikasari semasa diheret ke dalam trak polis, kata seorang penduduk yang menyaksikan kejadian. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com