Tuesday, November 28, 2006

Penduduk setinggan rempuh SUK, bantah perobohan rumah

Oleh Anis Nazri

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Hrkh) - Diselubungi rasa tidak puas hati dengan tindakan kerajaan negeri Selangor merobohkan rumah mereka, lebih 200 penduduk setinggan di sekitar Selangor, termasuk di Kampung Berembang, Ampang dan Kampung Kenangan, Klang merempuh masuk ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK),Shah Alam, biarpun dikawal rapi anggota FRU, pagi tadi.

Photobucket - Video and Image Hosting

Para penduduk dan juga wakil NGO, Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram), wakil parti pembangkang turut serta ke bangunan SUK bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Sementara menanti kedatangan Khir, para penduduk berhimpun di hadapan pondok pengawal dan melaungkan beberapa slogan sebagai tanda protes seperti "PM kata tangguh, MB kata roboh", "waktu pilihan raya jilat kaki, sudah menang pijak kepala", "kes belum tamat, MPAJ khianat" dan "majlis Ampang Jaya, kuli pemaju kaya".

Pada masa sama, Penyelaras Suaram, S. Arutchelvan, berbincang dengan Timbalan OCPD Selangor, Edward bagi memohon kerjasama membawa Khir bertemu rakyat, bagaimanapun diwakilkan kepada Ketua Setiausaha Sulit MB, Dato' Hj. Mohd. Yusof Shafie.

Para penduduk kemudiannya mendesak agar Khir sendiri turun untuk mendengar keluhan rakyat dan suasana perbincangan bertukar agak tegang, khususnya selepas beberapa trak FRU dan sebuah 'water cannon' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor masuk ke kawasan SUK.

Setelah campurtangan Adun Sungai Pinang, Teng Chang Kim, yang mengambil masa kira-kira 20 minit, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato' Ramli Mahmud dan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dato' Abdul Fatah Iskandar, turun untuk mendengar masalah rakyat dan menerima memorandum penduduk berkenaan.

Ramli, ketika menerima memo berkenaan, berkata pihaknya akan membawa perkara ini untuk dibincangkan dan akan memberi jawapan kepada para penduduk segera yang mungkin.

Para penduduk kemudiannya meninggalkan pekarangan bangunan SUK secara aman kira-kira jam 12 tengahari.

Antara pimpinan PAS yang hadir ialah Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub; Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Idris Ahmad; Ketua Muslimat Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan; Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat Pusat, Ustazah Nuridah Salleh dan AJK Muslimat Pusat, Aiman Athirah al-Jundi serta beberapa pemimpin KeADILan. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com