Monday, November 27, 2006

Program angkasawan negara hilang fokus?

PROGRAM angkasawan yang dilancarkan oleh kerajaan baru-baru ini adalah hasil perundingan perjanjian timbal balik pembelian pesawat pejuang Sukhoi-30 MKM antara kerajaan Malaysia dan Rusia.

Menerusi perjanjian pembelian ini, kerajaan Rusia bersetuju untuk membiayai kos latihan dan penghantaran angkasawan pertama dari negara ini ke sebuah Stesen Angkasa Antarabangsa (International Space Station – ISS) menjelang bulan Oktober tahun 2007.

Program angkasawan ini adalah tanggungjawab penuh Agensi Angkasa Kebangsaan (Angkasa yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi (MOSTI).

MOSTI diberikan tanggungjawab penuh untuk memilih calon angkasawan yang akan dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas latihan selama 18 bulan di Rusia.

Dipercayai bahawa dengan adanya program seumpama ini, rakyat Malaysia dan negara akan mendapat faedah di dalam bidang sains dan teknologi.

Ini termasuklah perubatan angkasa, sains hayat, sains persekitaran dan sains fizik di mana penyelidik dan saintis tempatan dapat melibatkan diri di dalam eksplorasi dan eksperimen sains di persekitaran angkasa yang unik itu.

Berasaskan faedah-faedah yang akan diperoleh penyelidik dan saintis tempatan di dalam bidang yang disebutkan itu, maka kerajaan melipatgandakan usaha menjadikan program angkasawan satu realiti.

Bagaimanapun beberapa keraguan mula timbul mengenai objektif utama perlaksanaan program angkasawan negara.

Antaranya seperti penjelasan yang diberikan oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim yang mewakili Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Mengikut jawapan beliau ketika sesi soal jawab di Parlimen, sepanjang angkasawan negara berada di ISS antara program yang akan dijalankan adalah bermain gasing dan batu seremban sebagai satu cadangan eksperimen.

Tidak cukup dengan itu, cadangan juga timbul untuk angkasawan pertama negara itu mencanting batik di luar atmosfera bumi. Ada juga cadangan sesi menjamah makanan seperti teh tarik dan roti canai di angkasa.

Datuk Rohani juga menjelaskan bahawa eksperimen itu dicadangkan untuk mencari jawapan bagi persoalan dunia sains, perubatan, dan penyelidikan.

Persoalan yang ingin penulis utarakan adalah:

* Apakah kaitan permainan gasing dan batu seremban yang dicadangkan dengan objektif utama program ANGKASA bagi eksplorasi sains dan teknologi serta sains hayat angkasa?

* Siapakah yang bertanggung jawab menjadi perunding kepada MOSTI mencadangkan eksperimen bersifat anak-anak dan tiada nilai signifikan kepada perkembangan sains dan tekonologi dan sumbangannya kepada rakyat dan negara?

* Tidak bolehkah eksperimen bersifat anak-anak ini dilakukan di pusat latihan angkasawan Rusia dan masa berharga yang diperoleh angkasawan Malaysia di ISS digunakan sepenuhnya untuk mencari penemuan-penemuan baru yang lebih signifikan untuk pembangunan program angkasa nasional?

Memang tidak dinafikan bahawa program angkasa Malaysia ini mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan Rusia untuk kos latihan dan kos penghantaran angkasawan ke stesen ISS.

Bagaimanapun, peluang ini tidak harus dibazirkan untuk dipenuhi dengan program-program yang jelas tidak mendatangkan faedah langsung kepada rakyat Malaysia.

Penulis ada juga melayari laman web Angkasa (www.angkasa.gov.my) untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai program angkasa ini

Penulis dapati tiada faedah yang signifikan dan hala tuju yang jelas akan pembangunan program angkasa Malaysia ini melainkan hanya untuk meletakkan angkasawan pertama warganegara Malaysia di stesen ISS.

Sebagai contoh, antara soalan yang ditanya di laman web rasmi Angkasa di dalam ruangan undian (poll) ialah – Apakah jenis buah-buahan tempatan yang sesuai untuk dibawa ke angkasa lepas? A. Rambutan, B. Manggis, C. Durian.

Apakah soalan-soalan begitu wajar di tanya di dalam laman web yang bersifat eksplorasi pembangunan sains dan teknologi itu?

Suka penulis untuk berkongsi di sini ketika mula-mula John F. Kennedy mencadangkan program angkasawan di negara Amerika, beliau ada menulis surat bertarikh 20 April 1961 kepada timbalannya iaitu Lyndon Johnson. Berikut merupakan persoalan yang ditanya oleh beliau di dalam surat tersebut:

* Adakah kita mempunyai peluang mengalahkan pihak Soviet untuk meletakkan makmal penyelidikan pertama di ruang angkasa?

* Adakah usaha kita kuat dan adakah kita bekerja 24 jam untuk memastikan program angkasawan kita berjaya?

Jika tidak, bolehkan usaha kita dipercepatkan dan berikan saya cadangan untuk mempercepatkan program angkasawan?

* Di dalam pembinaan alat tujahan enjin (boosters) perlukah kita menekankan penggunaan kuasa nuklear, cecair kimia atau kombinasi ke semua perkara yang disebutkan bagi memastikan ia (boosters) berjaya?

* Adakah usaha yang dilakukan pada tahap maksimum untuk mendapat keputusan yang sepatutnya?

Objektif program angkasa negara perlu dinilai semula bagi memastikan fokus utama program ini tercapai.

Cadangan-cadangan yang bersifat keanak-anakan perlu ditolak bagi memberi laluan kepada eksperimen yang menjurus kepada pembangunan sains dan teknologi mendapat tempat.

Eksperimen seperti mengkaji kesan kuasa sifar graviti serta kesan kepanasan haba 3000 darjah celsius ketika melalui atmosfera bumi perlu diberi ruang berbanding bermain gasing dan batu seremban.

Jika untuk memenuhi objektif asal program angkasa negara, eksperimen seperti kesan sinaran ultra violet, sinaran X dan sinaran gamma ke atas kulit manusia tanpa perlindungan atmosfera bumi perlu dilakukan.

Eksperimen seperti ini jelas memberikan maklumat dan ilmu bagi memenuhi objektif penerokaan perubatan angkasa dan sains hayat yang digariskan di dalam objektif asal program Angkasa ini.

– AHMAD SYAH EJAZ,

Kajang, Selangor.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com