Tuesday, November 28, 2006

Raja Petra tuduh kerajaan berbohong dalam Parlimen

Oleh Abu Bakar Rahman

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Hrkh) - Editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin menuduh kerajaan berbohong dalam Parlimen berhubung peruntukan RM600 juta untuk projek pembangunan luar bandar yang dibahagi-bahagikan kepada Umno bahagian-bahagian oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada pada 13 November lalu ketika Perhimpunan Agung Umno.

Tuduhan berbohong itu berpunca dari jawapan Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Zainal Abidin Osman kepada pertanyaan Ketua Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub ketika sidang Parlimen 15 November lalu.

Salahuddin bertanya mengapakah peruntukan RM600 juta itu diagihkan kepada Umno bahagian-bahagian?

Malah, katanya, seorang ketua Umno bahagian yang tidak mahu namanya disiarkan menyatakan bahawa setiap Umno bahagian akan mendapat RM3 juta.

"Saya ingin penjelasan di sini adakah duit ini peruntukan-peruntukan kerajaan ataupun duit daripada poket Umno sendiri?" beliau bertanya.

Menjawab soalan Salahuddin itu, Zainal Abidin berkata, kementeriannya belum lagi dimaklumkan tentang RM600 juta yang ingin dikemukakan kepada projek-projek luar bandar itu.

"Tetapi menerusi apa yang kita lihat daripada media akhbar, RM600 juta ini adalah diberi oleh duit kerajaan Barisan Nasional dan bukan duit Umno dan akan dibagikan kepada ICU melalui SDO, dan tidak ada faktor yang disebut di sini tentang ketua-ketua bahagian mengikut apa yang difahamkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah secara rasmi," kata Timbalan Menteri itu.

Raja Petra menyifatkan jawapan itu "penuh pembohongan dan bertujuan untuk memesongkan maklumat".

"Wang itu tidak akan – dan saya ulang tidak akan – diuruskan oleh kerajaan tetapi akan diuruskan oleh ketua-ketua bahagian Umno. Kerajaan berbohong dalam Parlimen dan saya tidak tahu apakah implikasi pembohongan ini," tegas beliau.

Beliau seterusnya berkata: "Sebab mengapa mereka berbohong di Parlimen adalah amat mudah. Wang RM600 juta itu adalah dana kerajaan tetapi akan disalurkan kepada Umno untuk kegunaan parti. Sudah tentu ini kerja haram.

"Tetapi mereka perlu lakukannya kerana alasan yang amat mudah. Mereka mahu membeli ketua-ketua bahagian termasuk ahli jawatankuasa bahagian – yang kesemuanya adalah perwakilan di dalam Perhimpunan Agung Umno – sebagai jaminan tidak ada sesiapa yang akan membangkitkan soalan yang memalukan ataupun menghenyak Majlis Tertinggi Umno (MT) kerana kontroversi membabitkan mesyuarat mereka pada 28 September lalu".

Pada mesyuarat MT 28 September itu, katanya, berlaku tindakan menarik balik dan menghapuskan minit mesyuarat sebelumnya.

"Dalam mesyuarat sebelumnya, MT telah membincangkan keinginan (bekas Perdana Menteri, Tun Dr) Mahathir (Mohamad) untuk bertanding sebagai perwakilan (Umno Bahagian Kubang Pasu),

"MT membincangkan perkara itu dan tidak mahu Dr Mahathir menang. Menteri Besar Kedah (yang juga Ketua Perhubungan Umno Kedah, Dato' Seri Mahdzir Khalid) dan ketua Umno Bahagian Kubang Pasu (yang juga Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Johari Baharom) bukanlah anggota MT tetapi telah menghadiri mesyuarat itu dan diberikan arahan untuk memasti Dr Mahathir kalah".

Akhirnya, Raja Petra menceritakan, menjelang berlangsungnya mesyuarat bahagian Kubang Pasu, mereka telah memanggil 450 anggota perwakilan bahagian untuk menemui mereka dan setiap ahli telah diberikan sampul surat mengandungi RM200 dengan arahan tidak mengundi Dr Mahathir.

"Mengikut penilaian yang dibuat oleh ibu pejabat Umno, sekitar 60 peratus perwakilan masih menyokong Dr Mahathir dan mereka telah diberikan perancangan di mana sebahagian dari mereka akan menimbulkan huru-hara dalam Perhimpunan Agung Umno yang baru berlansung itu.

"Ketika itu, kebanyakan perwakilan telahpun sedar tentang mesyuarat MT 28 September yang menarik balik dan melenyapkan terus tiga halaman bukti kesalahan dari minit mesyuarat sebelumnya," katanya.

Lantaran itulah, katanya, peruntukan RM600 juta itu dibahagi-bahagikan untuk "membeli ketua-ketua bahagian termasuk ahli jawatankuasa bahagian – yang kesemuanya adalah perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno – sebagai jaminan tidak ada sesiapa yang akan membangkitkan soalan yang memalukan ataupun menghenyak MT kerana kontroversi membabitkan mesyuarat mereka pada 28 September itu".

Editor yang banyak membuat pendedahan itu juga memberikan 10 sebab mengapa beliau menuduh kerajaan berbohong di dalam Parlimen.

Pertama, katanya, surat Timbalan Menteri Kerjaraya, Dato’ Mohd Zin Mohamed, dengan nombor rujukan TMKRM/0033/20, mengenai peruntukan pelaksanaan projek-projek kecil di Semenanjung dan Sabah dengan nilai keseluruhan RM600 juta, dengan pecahan kecil sebanyak RM3 juta untuk setiap kawasan Parlimen serta perlu dilaksanakan dalam tempoh dua bulan, telah dibuat pada 13 November lalu, iaitu dua hari sebelum bersidangnya Parlimen sesi 15 November.

Kedua, surat itu bertarikh 13 November 2006, iaitu pada hari yang sama Abdullah, yang juga Presiden Umno, mengumumkan perkara itu dalam pertemuan ‘pre-council’ di ibu pejabat Umno.

"Malahan, surat itu telah disiapkan sebelum Abdullah membuat pengumuman pada hari yang sama," kata Raja Petra.

Ketiga, surat yang ditandatangani Timbalan Menteri Kerjaya itu mempunyai salinan kepada Perdana Menteri, Menteri Kerjaraya dan Menteri Kewangan II .

"Ini bererti Timbalan Menteri Kerjaraya telah mendahului mereka yang berjawatan lebih tinggi darinya dan (beliau hanya) boleh berbuat demikian jika ada seseorang yang lebih tinggi jawatan daripada Menteri Kerjaraya dan Menteri Kewangan II memberikan kuasa kepada beliau berbuat demikian," katanya.

Keempat, jumlah wang yang perlu dibahagi-bahagikan ialah RM600 juta seperti yang diumumkan oleh Abdullah pada 13 November lalu.

Kelima, pelaksanaan mesti disiapkan dalam masa dua bulan di mana peruntukan RM600 juta itu mesti dihabiskan menjelang akhir tahun ini ataupun sekitarnya.

Keenam, Sarawak tidak diambilkira dalam perencanaan tersebut kerana tidak wujud bahagian Umno di negeri itu.

Ketujuh, peruntukan RM600 juta hanyalah untuk Umno dan akan diuruskan oleh para pemimpin Umno bahagian.

Kelapan, RM3 juta akan diperuntukkan kepada setiap Umno bahagian dan oleh kerana tidak ada Umno bahagian di Sarawak, negeri itu tidak menikmati sebarang peruntukan.

Kesembilan, surat pengesahan mengenai peruntukan RM600 juta itu dibuat oleh Timbalan Menteri Kerjaraya pada 13 November lalu tetapi dua hari kemudiannya, iaitu pada 15 November lalu, Parlimen telah diberitahu oleh Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bahawa kementeriannya belum lagi dimaklumkan tentang RM600 juta yang diperuntukkan kepada projek-projek luar bandar.

Kesepuluh, wang kerajaan telah diperuntukkan kepada Umno kerana Parlimen telah diberitahu oleh Zainal Abidin bahawa "RM600 juta ini adalah diberi oleh duit kerajaan Barisan Nasional dan bukan duit Umno".

Raja Petra juga menyebut apa yang dilaporkan Malaysia Today dalam dua rencana bertajuk "Constitutional Crisis in Umno" pada 13 November lalu dan "Ali Baba and the 40 thieves" pada 15 November lalu di mana, menjelang Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Abdullah telah memanggil semua pemimpin 191 Umno bahagian dan ahli jawatankuasa mereka untuk satu mesyuarat ‘pre-council’ dan mengumumkan bahawa beliau akan memberikan RM3 juta kepada setiap Umno bahagian.

"Sepatutnya wang itu adalah untuk pembangunan luar bandar. Tetapi wang itu akan diamanahkan kepada ketua-ketua Umno bahagian dan ahli-ahli jawatankuasa mereka. Sesiapa yang mahu sebahagian wang itu ‘pandai-pandai(lah) bodek Ketua Bahagian’".

Sebelum itu, dalam laporan lain, Raja Petra menyatakan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato' Seri Rais Yatim yang menziarahi Dr Mahathir di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini mengakui kebenaran pendedahannya dalam laman web berita itu mengenai konspirasi di peringkat MT untuk memastikan bekas Perdana Menteri dikalahkan dalam pemilihan perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno ketika mesyuarat agung Umno Bahagian Kubang Pasu itu.

"Sah! Rais Yatim menziarahi Tun Dr Mahathir Mohamad di hospital beberapa hari lalu dan mengakui apa yang ditulis Malaysia Today dalam Dolahgate dan Operation Deep Throat adalah benar.

"Siapa kata Malaysia Today menulis perkara tidak benar? Sudah tentu ia benar. Jika tidak, mereka tentu membuat laporan polis dan hari ini saya mungkin berkongsi lokap dengan Razak Baginda," kata Raja Petra.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com