Tuesday, February 28, 2006

Minyak Naik : Pak Lah Perlu Letak Jawatan

Kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen, bermula pada pukul 12 tengah malam tadi (28 Februari 2006) benar-benar menjadi mimpi buruk buat rakyat Malaysia. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) dan ramai pihak sememangnya telah menjangkakan perkara ini berlaku menjelang awal bulan Mac ini, namun Jabatan Perdana Menteri telah mengumumkan perkara ini lebih awal, berkuatkuasa pada hari ini.

Berikutan pengumuman itu, harga baru seliter petrol RON 97, petrol RON 92 dan diesel bagi Semenanjung masing-masing kepada RM1.92, RM1.88 dan RM1.58.1, berbanding harga pada 1 Februari iaitu RM1.62, RM1.58 dan RM1.28.1. Harga baru petrol di Sabah, masing-masing RM1.90, RM1.88 dan diesel RM1.58.4, manakala di Sarawak masing-masing kepada RM1.91, RM1.88 dan RM1.57.8

Harga baru LPG bagi Semenanjung ialah RM1.75 berbanding RM1.45 sebelum ini, manakala Sabah dan Sarawak pula RM1.83 berbanding harga lama RM1.53.

Seperti yang dinyatakan oleh Berita Harian pada hari ini ;

"Kali terakhir kerajaan menaikkan harga runcit barangan petroleum ialah pada 31 Julai 2005 iaitu petrol sebanyak 10 sen seliter, diesel sebanyak 20 sen seliter dan LPG sebanyak 5 sen sekilogram."

DPPWP berasa kesal dengan tindakan pihak kerajaan BN yang cuba mempermainkan rakyat dan cuba melepaskan tanggungjawab mereka terhadap rakyat. Kerajaan masih mengungkit soal subsidi yang selayaknya adalah hak kepada semua rakyat yang membayar cukai.

Menurut kenyataan dari Jabatan Perdana Menteri, harga runcit barangan petroleum ini dinaikkan kali ini kerana pada 2005 jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan ialah RM 7.41 bilion, manakala pengecualian cukai pula berjumlah RM7.85 bilion.

JPM juga menyebut, beban tanggungan subsidi dan pengecualian cukai bagi tempoh Januari hingga Februari 2006, masing-masing sebanyak RM1.19 bilion dan RM 1.44 bilion.

Adakah perlu pihak kerajaan membangkitkan perkara ini, sedangkan itulah sebahagian dari tanggungjawab utama Kerajaan BN yang diamanahkan mentadbir negara ini.

JPM juga cuba mengugut rakyat dengan mengeluarkan kenyataan bahawa;

"Jika tanpa subsidi dan pengecualian cukai oleh kerajaan, harga runcit RON97, RON92, diesel bagi Semenanjung pada Mac 2006 sepatutnya RM2.46, RM2.37 dan RM1.98 seliter, harga Sabah RM2.45, RM2.37 dan RM1.97 serta harga Sarawak RM2.45, RM2.36 dan RM1.97 seliter, kata kenyataan itu.Harga LPG bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak pula masing-masing RM3.21, RM3.35 dan RM3.34 sekilogram."

Selain itu strategi Kerajaan memperkenalkan `fleetcard’ melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KHEDN) kepada 84 peratus kenderaan yang menggunakan diesel dalam sektor pengangkutan darat dikhuari akan menimbulkan masalah baru. Kegiatan rasuah dan pilih kasih atau pemberian `fleetcard’ khas kepada kroni-kroni BN akan berlaku dan ini akan menyebabkan syarikat pengangkutan kecil tertindas.

DPPWP mengesa agar rakyat Malaysia bangkit berfikir secara realistik. Apa perlunya pihak Kerajaan membandingkan kenaikkan ini dengan harga minyak dinegara-negara jiran. Mengapa Kerajaan BN tidak menganalisis akan keadaan hidup dan kadar pendapatan purata rakyat.

Pada bulan Januari baru-baru ini semua Kakitangan awam dalam Gred 1 hingga 54 yang bekerja di 12 bandar besar diberikan bantuan kos sara hidup (Cola) sebanyak RM150 sebulan. Namun dalam masa 30 hari selepas mereka mendapat gaji, Kerajaan Malaysia meminta semula duit itu melalui kenaikan harga minyak yang berkuatkuasa hari ini.

Rekod yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan akhir tahun lepas mencatatkan bahawa terdapat sebanyak 14,816,407 juta buah kenderaan berdaftar di Malaysia. DPPWP menganggarkan bahawa tiap pengguna kenderaan dinegara ini, menggunakan 15 liter minyak sehari. Apabila JPM mengumumkan kenaikkan sebanyak 30 sen, bermakna rakyat terpaksa menambah RM 4.50 sehari dan RM 135 untuk tempoh 30 hari (Sebulan). Jika ditolak dari jumlah bantuan COLA kakitangan kerajaan masih punyai baki sebanyak RM 15.

Jumlah tersebut masih tidak mencukupi kerana bermula esok hari tambang bas sekolah akan dinaikan sebanyak 20% diseluruh negara. Selain itu, minggu hadapan kadar tarif eletrik juga dijangka akan dinaikkan. Walaupun Kerajaan memberi jaminan bahawa, harga barang-barang pengguna tidak dinaikkan hingga hujung tahun ini, tetapi DPPWP menjangka ianya akan naik juga secara sedikit demi sedikit.

Jika kakitangan kerajaan yang mendapat elaun Cola terasa dengan kenaikan ini, bagaimana dengan kakitangan swasta yang tidak semua mendapat kenaikan gaji. Bagaimana nasib para nelayan dan petani? Bagaimana nasib pihak pekerja industri dan peladang di Malaysia?

Oleh itu, DPPWP mengesa agar rakyat berfikir dan bangkit membuat perubahan serta mendesak kerajaan menaikkan kadar gaji dan upah semasa bagi membantu rakyat. DPPWP mengesa agar Pak Lah meletakkan jawatan kerana sehingga kini masih gagal untuk memulihkan ekonomi negara.

DPPWP juga melihat bahawa Pak Lah bukanlah orang yang sesuai dalam mencaturkan ekonomi negara kerana beliau sendiri bersikap terlalu lemah dengan pelbagai isu yang menghambat negara.

Dari Isu runtuhan jejambat hingga ke pada isu AP yang masih belum selesai. Pak Lah juga gagal memainkan peranan utama sebagai Perdana Menteri Malaysia dalam OIC. Malaysia tidak dilihat sebagai juara dalam mempertahankan hak dan kredibiliti umat Islam. Dalam negara sendiri pun, ramai pihak yang berani mempermainkan isu karikatur Nabi Muhammad s.a.w. dan Pak Lah hanya mampu melihat dan tidak serius menangani isu ini.

Pak Lah bangga menghimpun ratusan ribu pengikut UMNO untuk mengenang kembali jasa Dato' Onn, tapi takut berbuat hal yang sama untuk mempertahankan maruah Rasulullah s.a.w. dan umat Islam yang dihina. Adakah pada pandangan Pak Lah, status dan sumbangan Rasulullah s.a.w. itu lebih kecil berbanding Dato' Onn dan pemimpin UMNO lain?

Oleh itu, DPPWP bertegas agar Pak Lah berundur sahaja dari Jawatan beliau sekarang. Cukuplah masalah yang ada pada hari ini. Jangan biarkan rakyat menderita kerana kelemahan yang ada pada Pak Lah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang paling teruk dan lemah. Berhentilah sebelum rakyat hilang kepercayaan seperti mana yang berlaku pada Taksin di Thailand dan Arroyo di Filifina.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.All things belong to Allah, s.w.t.)
pemudawilayah@yahoo.com
khalidabdwalid@yahoo.com